Sebaik banjir melanda di beberapa daerah di Kelantan, banyak usaha bantuan sudah digerakkan bagi memastikan mangsa banjir dipindahkan serta mendapat bantuan sewajarnya. Itulah langkah persediaan yang telah disusun pihak bertanggungjawab untuk menghadapi banjir.
Namun, kali ini banjir melanda bukan banjir yang 'biasa-biasa' berlaku dan sudah dijangka seperti setiap kali tiba musimnya. Kali ini, air yang datang sungguh memeranjatkan apabila yang kelihatan hanya bumbung bangunan tinggi sahaja, manakala yang rendah sudah ditenggelami air.
Ibarat tsunami kecil
Pemandangan selepas air surut pula lebih memeranjatkan, sampah berselerak, kereta di merata-rata tempat dan rumah hanya tinggal tapaknya saja. Banjir kali ini ibarat 'tsunami kecil' yang mengganas dalam arus deras air banjir yang menenggelamkan kawasan tertentu.
Bagaimanapun, di sebalik musibah menimpa itu, banyak sisi positif dapat dilihat khususnya keprihatinan serta semangat saling membantu dalam kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama di negara ini melalui sumbangan selain pertolongan yang tidak putus-putus.
Sehingga kini, program bantuan serta sokongan terus digerakkan baik oleh individu, kumpulan, pertubuhan, jabatan dan kementerian kepada mangsa banjir termasuk pihak sekolah yang terjejas teruk. Kerja-kerja sukarelawan terus disemarakkan dengan prinsip 'yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul'.
Pelbagai cara serta usaha dapat dilihat termasuk pembinaan rumah transit yang giat dalam pembinaan sebagai tempat perlindungan sementara untuk mangsa banjir yang kehilangan rumah tempat berlindung. Kerja pembersihan dan menyusun keperluan belajar di sekolah juga tetap diteruskan walaupun sekolah sudah memulakan sesi baharu.
Bagi sekumpulan individu yang bergabung di bawah nama 'East Coast Aftermath', satu projek pasca banjir dinamakan 'Kampung Angkat' yang lahir daripada idea bersama disusun merangkumi perancangan jangka pendek dan panjang.
Pengerusinya, Dr Mai Sargeant berkata, konsep projek Kampung Angkat ini akan membolehkan bantuan diberi kepada penduduk satu kawasan yang musnah akibat banjir dibuat secara berterusan dan berperingkat dengan melihat keperluan mengikut keutamaan.
RUMAH mangsa banjir yang ranap selepas dibadai arus deras dalam tragedi Bah Kuning di Jalan Geale, Kuala Krai, baru-baru ini. - Foto Azlan Hafeedz
Katanya, melalui konsep Kampung Angkat itu bentuk bantuan yang diberi juga akan lebih tersusun dan ia dapat mengelak pertindihan atau lambakan barangan, sebaliknya keluarga yang dibantu mendapat barang yang benar-benar diperlukan mereka.
East Coast Aftermath yang membuat tinjauan di kawasan terjejas banjir pada awal Januari lalu sudah mengenal pasti kampung serta 30 keluarga yang akan dibantu sebagai projek perintis kepada konsep Kampung Angkat itu.
Bantu penduduk di pedalaman
"Kami sudah pergi dan mendapati Kampung Lubuk di Pasir Mas yang terletak agak pedalaman kurang mendapat bantuan. Jadi mereka memang sesuai dijadikan Kampung Angkat dan sekarang kami sedang menyediakan keperluan asas diperlukan mereka.
"Kami berpendapat pendekatan ini lebih baik berbanding semua pihak menghantar bantuan hingga berlaku lebihan barangan. Jadi, apabila kami tumpukan kepada 30 keluarga ini, kami dapat menyediakan barang yang benar-benar mereka perlukan.
"Apabila kita jadikan kampung itu dan penduduknya sebagai kumpulan yang ingin dibantu, kita tidak akan hantar bantuan kemudian pandai-pandailah mereka. Tetapi kita akan buat susulan, datang dan lihat apa pula yang boleh dibantu lagi," katanya.
Beliau berkata, perancangan yang tersusun, menyeluruh serta berterusan itu akan memberi impak besar kepada usaha membantu mangsa banjir. Malah, sokongan padu ditunjukkan dapat mengembalikan keyakinan serta emosi mereka yang turut terjejas selepas berdepan ujian.
Dr Mai berkata, pihaknya akan pergi ke kampung berkenaan untuk menghantar keperluan asas seperti tilam, selimut serta peralatan memasak antaranya periuk nasi elektrik supaya keluarga yang menjadi keluarga angkat mereka dapat meneruskan kehidupan lebih selesa.
Pada masa sama, mereka juga sedang merancang membina perigi sebagai sumber air bersih untuk kegunaan keluarga berkenaan yang kehidupan mereka memang terjejas teruk selepas banjir dan ada antara mereka hilang rumah.
Beliau berkata, tidak dinafikan proses membantu penduduk yang kebanyakan bekerja sebagai penoreh getah akan mengambil masa panjang, tetapi 'East Coast Aftermath' bertekad memastikan mereka mendapat sokongan hingga mampu untuk membina kembali kehidupan.
MANGSA banjir memilih pakaian yang disumbangkan oleh orang ramai. - Foto Baharom Bakar
Baiki TADIKA, masjid
"Selain itu kita juga akan membantu memperbaiki TADIKA KEMAS yang juga mengalami kemusnahan serta masjid supaya dapat digunakan kembali. Justeru, kami mengalu-alukan pihak yang ingin menghulurkan bantuan untuk bersama membina semula Kampung Lubuk di Tanah Merah," katanya.
Katanya, pihak yang ingin membina semula kehidupan mangsa banjir khususnya syarikat besar serta pertubuhan yang memiliki dana wajar mengambil konsep Kampung Angkat ini kerana dengan cara itu program pembangunan semula kawasan serta penduduk dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
0 Komentar untuk " Projek Kampung Angkat lebih berkesan bantu mangsa banjir "