Populariti lonjak nama Ameera - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Populariti lonjak nama Ameera

DIKURNIA pakej yang cukup sempurna telah meletakkan nama Nor Ameera Zaini, 26, sebaris dengan personaliti televisyen terkenal lain. Mempunyai sifat lemah lembut melayakkan dirinya menjadi ikutan wanita di luar sana.

Menyingkap pengalaman awalnya dalam bidang pengacaraan dan peragaan, Ameera atau mesra disapa Meera menyatakan langkah pertamanya bermula apabila menjadi juara Pencarian Covergirl Dara.Com pada 2011.

Sebelum itu, ketika berusia 21 tahun penglibatan dalam dunia peragaan hanyalah sekadar suka-suka dan menambah duit poket. Selepas menjadi juara gadis penghias kulit muka majalah Dara.Com kehidupan Meera berubah sepenuhnya.

Melihatkan potensi dalam bidang glamor itu, rezeki Meera makin murah apabila ditawarkan menjadi pengacara rancangan Hijab Stailista selama dua musim dan kini menerajui program Safiyya TV9 pula.

Bekas penuntut jurusan Farmasi dari Management Science University (MSU) ini menyatakan walaupun berlainan bidang ketika menuntut di universiti tetapi kerana kesungguhan dan minat dalam bidang pengacaraan semuanya dilalui dengan tenang.

Kini selepas beberapa tahun terlibat secara sepenuh masa, pengalaman yang diperoleh sesuatu yang sukar diungkapkan. Biarpun masih dianggap mentah tetapi dari sehari ke sehari bakat Meera semakin menyerlah.

Tiada istilah takut untuk mencuba dalam diri Meera kerana setiap cabaran adalah suatu pelajaran baru buatnya. Malah berjiwa lembut dan sensitif bukanlah halangan mengembangkan karier kerana pada masa sama ketegasan membuat keputusan menjadikannya istimewa daripada wanita sebaya dengannya.

Pengalaman banyak membantu

Pada usia pertengahan 20-an, Meera menganggap pencapaian yang diperoleh hari ini satu hadiah cukup bermakna buat dirinya dan keluarga. Kesibukan menjadi pengacara dan duta produk kesihatan dan kecantikan tidak mengehadkan aktiviti peribadi.

“Buat pengetahuan umum, sekarang saya turut mengusahakan perniagaan hijab di bawah jenama AMEERAZAINI Hijab Revival dan terbaru perniagaan pakaian TIARA.

“Berkecimpung dalam dua bidang berbeza memerlukan saya untuk menjadi seorang yang sabar dan bijak menguruskan masa kerana kedua-duanya perlu diberi tumpuan dan komitmen tinggi.

“Secara tidak langsung menjadikan saya seorang yang fokus dan komited dalam apa sahaja yang dilakukan,” kata anak kedua daripada empat beradik ini.

Wanita bertuah yang mempunyai semangat tinggi sebagai personaliti muda berjaya ini turut mengakui, jika tiada disiplin dalam diri mungkin tidak ke mana. Pengorbanan kedua ibu bapa yang cukup tegas dan amat mementingkan kejayaan anak-anak menjadi salah satu faktor kejayaan sekarang.

“Restu kedua orang tua juga membuatkan saya boleh berada di tahap ini di samping sokongan adik-beradik dan teman rapat di sisi.

“Selain itu, saya sentiasa berpegang pada prinsip alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Apabila diberikan sesuatu tugasan, saya akan lakukan dengan bersungguh-sungguh.

“Bagi saya cabaran paling utama adalah dari segi pengurusan masa, di mana saya terpaksa mengorbankan masa remaja seperti bersosial bersama rakan-rakan demi memenuhi tuntutan kerjaya dan jadual yang padat,” ujarnya.

Dilabelkan sebagai wanita muda yang kian berjaya, Meera tidak sesekali berasakan status tersebut membuatkan dirinya diulit mimpi indah. Pada usia muda ini adalah waktu untuknya bekerja dengan lebih gigih sementara khidmat masih diperlukan.

“Mungkin selepas ini akan ada ramai bakat baharu yang lebih menonjol. Jadi rezeki yang ada sekarang perlu dimanfaatkan sebaiknya.

“Kesibukan menjadi pengacara dan dalam masa sama terpaksa ke luar kawasan banyak membantu saya untuk menjadi wanita yang lebih matang. Tambah-tambah apabila melihat keadaan masyarakat yang pelbagai latar belakang banyak mengajar diri ini untuk terus bersyukur dengan nikmat kurniaanNya,” katanya.

Bakat terus dihargai

Mempunyai senyuman yang manis antara keistimewaan diri Meera ketika berdepan dengan orang ramai. Biarpun dikategorikan personaliti televisyen yang mempunyai ramai pengikut Meera tidak kekok untuk bermesra.

“Mungkin ini salah satu rahsia kejayaan saya terus bertahan dalam bidang ini. Kadang-kadang tanpa peminat kita tidak akan ke mana.

"Pada masa sama, seboleh-bolehnya Meera nak elakkan daripada sebarang kontroversi. Maklumlah dalam dunia glamor ini macam-macam boleh jadi. Oleh itu, untuk menjaga maruah Meera dan keluarga, lebih baik bersikap profesional," katanya.

Apa yang membuatkan Meera bersyukur adalah walaupun kerjaya baru setahun jagung, dia telah tersenarai dalam pencalonan awal Anugerah Bintang Popular (ABP) baru-baru ini.
“Bagaimanapun, saya tidak meletakkan apa-apa harapan untuk berada pada kedudukan lima terbaik kerana pengacara lain yang tersenarai semuanya hebat belaka.

“Tersenarai dalam pencalonan ini pun sudah cukup membuatkan saya berasa gembira kerana bakat saya tetap dihargai oleh pihak terbabit dan peminat setia saya,” kata anak jati Selangor ini.

Menurut Meera, kesibukan menjalani penggambaran bukan alasan untuk tidak mengikuti aktiviti amal.

"Sebenarnya saya suka lakukan kerja amal sekiranya ada masa terluang. Kesempatan ini biasanya akan diambil jika ada aktiviti yang dianjurkan oleh Raudah TV9 di seluruh Malaysia," katanya.

Membaca beri kepuasan

Ditebak persoalan yang menyentuh mengenai dirinya, Meera berkata, membaca adalah hobinya sejak dari kecil lagi. Jika zaman kanak-kanak pantang melihat kedai buku, saya akan singgah untuk beli buku.

"Hobi ini berterusan sampailah sekarang walaupun tiada masa lapang. Saya rasakan seolah-olah satu kepuasan apabila dapat memiliki buku kegemaran.

"Namun sejak sibuk dengan jadual yang begitu padat, apa yang boleh saya lakukan untuk merehatkan fikiran adalah dengan membaca artikel-artikel di internet. Cara ini sekurang-kurangnya membantu saya mendapatkan info terkini dari pelbagai sumber," katanya.

Meera turut mengharapkan kehadiran 2015 yang baru menginjak ke bulan Februari ini akan menjadi tahun yang lebih baik dari tahun sebelumnya dan semoga apa yang dirancang menjadi kenyataan. Baginya tahun lalu penuh cabaran dan berharap tahun ini dia dapat menjadi seorang yang lebih baik setiap hari serta sentiasa positif menghadapi apa sahaja cabaran.

0 Komentar untuk " Populariti lonjak nama Ameera "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ