Pertingkat kualiti produk menuju pasaran global - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Pertingkat kualiti produk menuju pasaran global

USAHAWAN tani yang mengeluarkan pelbagai produk berasaskan makanan menerusi jenama Bera Best menyasarkan mendapatkan sijil Skim Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), menjelang akhir tahun ini.

Usahawan Bera Best, Khairol Amin Mohd Tahir berkata, sijil yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan itu bagi membolehkan usahawan mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat antarabangsa.

“Sijil ini menjadi batu loncatan kepada usahawan di bawah Bera Best untuk meningkatkan sistem jaminan keselamatan makanan kepada tahap memenuhi piawaian antarabangsa seperti Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP).

“Kami juga berhasrat mendapatkan pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya produk lebih diyakini dalam usaha untuk memajukan perniagaan kami,” katanya ketika ditemui di Putrajaya, baru-baru ini.

Khairol Amin berkata, ketika ini, terdapat sejumlah 21 usahawan tani mengeluarkan 36 produk makanan jenama Bera Best.

“Daripada jumlah itu, terdapat tiga produk Bera Best yang berjaya menembusi pasaran Agro Bazar di Singapura iaitu jejari pedas, kerepek ubi dan biskut buatan sendiri.

“Fokus kami untuk memasuki Agro Bazar di Singapura, Dubai dan China selaras dengan hasrat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya.

Menurutnya, bagi merealisasikan hasrat itu, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM1.4 juta untuk membangunkan dua kilang sebagai pusat memproses dan pembungkusan di Felda Bukit Puchong dan Felda Tementi, Bera, Pahang untuk membantu usahawan tersebut.

“Sebagai usahawan terpilih di bawah program ini yang dibantu Pertubuhan Peladang Kawasan Bera, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, kami akan berusaha mempertingkatkan mutu produk dari segi label, ketahanan dan jangka hayat,” katanya.

Tahun lalu, Ismail Sabri berkata, sebanyak RM3 juta diperuntukkan kepada 343 usahawan tani di daerah Bera, Pahang bagi membeli pelbagai mesin dan peralatan berkaitan industri kecil dan sederhana (IKS).

Menurutnya, 100 usahawan berwibawa dijangka dilahirkan di daerah itu menjelang akhir tahun ini dengan mengeluarkan pelbagai produk tempatan menggunakan jenama Bera Best.

0 Komentar untuk " Pertingkat kualiti produk menuju pasaran global "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ