Perjalanan di Madinah... - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Perjalanan di Madinah...

SEPERTI dijanjikan pada siri lalu, penulis berkongsi pengalaman di Madinah al-Munawwarah dalam kembara umrah dan ziarah tajaan KRS Travel Sdn Bhd (KRS Travel).

Kini Semenanjung Tanah Arab dilanda musim sejuk yang dijangka berterusan sehingga pertengahan Mac, dan disusuli musim panas yang berakhir penghujung Disember, setiap tahun. Musim sejuk di sini mencecah 24 hingga 16 darjah selsius manakala suhu 50 hingga 54 darjah selsius di musim panas.

Berlumba amal ibadah

Sebagai persediaan, jemaah perlu membawa pakaian tebal berserta ubat-ubatan sesuai untuk demam, selesema, sakit tekak dan batuk. Suasana di Madinah cukup nyaman di siang hari, tetapi amat sejuk waktu malam.

Iklim sedemikian menyebabkan malam lebih panjang lebih kurang dua jam berbanding siang, di mana keadaan sebaliknya berlaku ketika musim panas.Jarak antara setiap waktu solat masuk lebih awal berbanding di tanah air.

Pengalaman di Madinah, sejam sebelum Subuh, penulis sudah mengatur langkah ke Masjid Nabawi dengan harapan menjadi antara individu awal sampai.

Rupa-rupanya ramai jemaah sudah memenuhi ruang untuk beriktikaf, bersolat sunat dan membaca al-Quran. Masing-masing berlumba-lumba hendak melakukan amal ibadat sejajar dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Solat di masjidku lebih afdal daripada 1,000 solat di masjid lain, kecuali Masjidil Haram".
Semasa di Masjid Nabawi, jemaah disarankan menyimpan kasut dalam uncang atau beg plastik agar mudah untuk dibawa bersama ke mana-mana.

Ini bagi mengelakkan mereka ditimpa masalah kehilangan kasut, sama ada diambil orang lain atau terlupa tempat meletakkannya, memandangkan pintu masuk cukup banyak.

Seusai solat, penulis kembali ke hotel untuk bersarapan. Di sini, soal makan tidak perlu dirisaukan kerana KRS Travel menyediakan masakan Malaysia yang cukup enak untuk jemaah.

Makanan dihidangkan secara bufet tiga kali sehari iaitu selepas Subuh, Zohor dan Isyak. Selain itu, jemaah juga boleh mencuba pelbagai juadah yang dijual di sekeliling kawasan penginapan.

Tepat jam 7.30 pagi, penulis bersama 41 jemaah lain diminta berkumpul di lobi Al-Fayroz Season Hotel untuk mengikuti aktiviti ziarah pertama.
Ziarah makam Nabi SAW.

Kami dibawa mengunjungi makam Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar as-Siddiq RA dan Saidina Umar al-Khattab RA melalui pintu utama dikenali sebagai Babus Salam.

Walaupun terpaksa bersesak dan berasak-asak, penulis sempat mendirikan solat sunat tahiyatul masjid dan solat hajat semasa di Raudhah, berdekatan mimbar Nabi Muhammad SAW.

Rasa sebak tiba-tiba menerpa jiwa penulis. Air mata bercucuran tanpa dapat dikawal, lebih-lebih lagi ketika berada di depan makam kekasih ALLAH dan Khalifah-Nya.

Saat itu, perkataan malu sama sekali tidak wujud dalam kamus penulis. Demi Rasulullah SAW, apa sahaja sanggup dilakukan. Terlerai segala kerinduan dalam hati.

Penulis turut berkesempatan melawat Makam Baqi di pekarangan Masjid Nabawi, tempat bersemadinya sahabat, isteri dan keluarga Nabi SAW seperti Saidina Uthman Affan RA, Siti Aisyah RA dan Fatimah az-Zahrah RA.

Hari berikutnya, penulis dan rakan-rakan jemaah dibawa ke beberapa lokasi menarik seperti Masjid Quba, Bukit Uhud dan Ladang Tamar Fahd di bawah kendalian mutawif, Ustaz Wan Naqi Wan Akil, 24.

Berdasarkan penerangan diberikan, Masjid Quba terletak kira-kira 3 kilometer dari Masjid Nabawi merupakan masjid pertama dibina Rasulullah SAW, setibanya di Madinah dalam peristiwa Hijrah.

Mengunjungi Masjid Quba di Kampung Quba mempunyai fadilat tersendiri. Mengikut hadis Nabi SAW, barang siapa melaksanakan solat di situ akan diberikan ganjaran pahala seperti mengerjakan satu umrah.

Keistimewaan Bukit Uhud

Lawatan ke Bukit Uhud di Utara Madinah pula cukup menyentuh perasaan. Di kawasan pergunungan inilah tercetusnya Perang Uhud pada tahun ke-3 Hijrah (625 Masihi) yang menyaksikan syahidnya bapa saudara Baginda SAW, Saidina Hamzah Abdul Muttalib RA.

Keistimewaan Bukit Uhud diperjelaskan melalui hadis Baginda SAW yang bermaksud: "Uhud adalah sebuah gunung yang mencintai kami dan kami pun mencintainya".

Dikhabarkan bukit ini juga pernah bergegar, tetapi ditenangkan oleh Nabi SAW yang berkata: "Tenanglah wahai Uhud. Di atasmu kini berdiri seorang Nabi, seorang siddiq dan dua orang syahid".

Bagi Ladang Tamar Fahd, jemaah tidak digalakkan membeli-belah di situ kerana harga ditawarkan didakwa agak mahal, lebih kurang tiga kali ganda berbanding di tempat lain.

Melalui pemerhatian penulis, ternyata perkara itu benar. Sebagai contoh, kurma Ajwaa dijual sekitar SR70 (RM67) hingga SR100 (RM96) sekilogram di ladang tamar, sedangkan harganya antara SR25 (RM24) hingga SR35 (RM34)  di pasar kurma atau kedai tepi jalan.   

Dalam perjalanan pulang ke hotel, penulis berkesempatan melihat Masjid Qiblatain (dua kiblat) dan Masjid Sab’ah (tujuh) dari dalam bas.

Menurut penjelasan mutawif, di Masjid Qiblatain berlakunya pertukaran kiblat daripada menghadap Masjid al-Aqsa ke Masjidil Haram (Kaabah) pada tahun ke-2 Hijrah (624 Masihi) berdasarkan perintah ALLAH dalam Surah al-Baqarah, ayat 144.

Peristiwa bersejarah di Masjid Sab’ah yang terletak di kawasan Bukit Sila’ pula merupakan Pertempuran Khandaq (parit) yang berlaku sekitar tahun ke-5 Hijrah (627 Masihi).

Begitulah serba sedikit catatan perjalanan penulis sepanjang di Madinah al-Munawwarah. Pengalaman bertolak ke Masjidil Haram pula akan penulis ceritakan dalam siri akan datang, insya-ALLAH.


KHAIRULKHEIZA MOHD NAJIB
0 Komentar untuk " Perjalanan di Madinah... "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ