Nikah sindiket, jangan ambil jalan mudah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Nikah sindiket, jangan ambil jalan mudah

NIKAH sindiket, kahwin lari, nikah ejen atau apa sahaja istilahnya, perbuatan ini sama sahaja.

Sama ada bersandarkan faktor kepuasan, kekangan undang-undang atau bermatlamatkan tujuan peribadi semata-mata, ia sememangnya satu perbuatan yang membawa kepada keruntuhan institusi kekeluargaan.

Dewasa ini, kes nikah sindiket sebegini masih berlaku walaupun pelbagai usaha dilakukan.

Kewujudan kes-kes nikah sindiket ini memberi gambaran seolah-olah peruntukan sedia ada di bawah akta dan enakmen keluarga Islam di Malaysia terlalu ketat dan menyusahkan rakyat sedangkan undang-undang yang disediakan adalah untuk maslahah institusi kekeluargaan.

Perlu diingat bahawa setiap peraturan dan undang-undang bukan bertujuan menekan masyarakat sebaliknya bagi melindungi status perkahwinan dan hak pasangan.

Apakah nikah sindiket juga merupakan penyakit sosial yang kian menular dalam kalangan masyarakat? Mengapa wanita rela memilih jalan singkat dan mudah?

Hakikatnya ia mudah bagi tempoh jangka pendek, tetapi jangka masa panjang, lebih merumitkan. Sudahnya, wanita terngadah dan menyesal di kemudian hari.

Fikir masa depan

Fenomena kahwin sindiket merupakan isu yang sekian lama wujud di Malaysia.  Ia merupakan salah satu bentuk perkahwinan yang tidak mengikut saluran yang diktiraf oleh perundangan Malaysia.

Sehinga kini, isu ini masih belum dapat ditangani oleh perundangan sedia ada, biarpun beberapa langkah undang- undang telah diambil.

Bagi pasangan yang terlibat dengan pernikahan ini pula, matlamat mereka adalah semata-mata untuk berkahwin tanpa memikirkan sama ada pernikahan tersebut mematuhi kehendak hukum syarak dan perundangan sedia ada atau sebaliknya.

Wanita hanya tersedar setelah mempunyai anak dan melalui kesukaran untuk mendaftarkan nasab anak serta urusan persekolahan. Ada juga kes di mana wanita tertipu dengan kehendak lelaki yang hanya mahukan perkahwinan tetapi tidak mahu menunaikan tanggungjawab sebagai suami dan ketua keluarga.

Awas wanita, jangan letakkan diri anda sebagai mangsa dalam apa pun kes seperti disebutkan di atas. Ikuti kupasan WOW mengenai nikah sindiket dan pengalaman-pengalaman wanita yang pernah melaluinya untuk kepentingan bersama.

Status nikah diragui

Saya dan suami bernikah pada usia muda, iaitu 19 tahun umur saya manakala 17 umur suami. Kami bernikah di Narathiwat dengan bantuan abang dan kakak sebelah suami.

Keputusan untuk bernikah diambil selepas saya disahkan hamil sebulan. Kami sangat takut dengan apa yang berlaku tapi untuk memberitahu keluarga kedua-dua belah pihak, inilah tindakan yang diambil, dua tahun lalu.

Sebagai pasangan bawah umur kami perlu memohon kepada mahkamah dengan keizinan ibu bapa. Disebabkan takut, kami meminta bantuan kakak dan abang ipar suami untuk mengaturkan perkahwinan kami di Thailand.

Selepas melahirkan anak, saya dan suami bersemuka dengan kedua-dua ibu bapa. Memang malu dan bersalah di hadapan keluarga, tetapi ibu bapa terpaksa menerima. Bapa mertua saya mengamuk dan kecewa.

Bapa merujuk ke pejabat ugama dan meminta kami menyerahkan sijil perkahwinan untuk mendapatkan pengesahan. Malangnya selepas siasatan, sijil kami tidak sah. Barulah kami sedar kesilapan kami.

Disebabkan hal itu, kami dan bapa mertua terpaksa berulang alik ke Narathiwat dan Songkla untuk mendapatkan pengesahan sijil dan melalui beberapa prosedur rumit sebelum dapat menyerahkan dokumen kepada mahkamah. Mahkamah menjatuhkan hukuman denda.

Dahulu kami berfikir jika bernikah nama anak boleh dibinkan kepada nama suami. Tetapi ia tidak boleh berlaku kerana pernikahan bukan disahkan di Malaysia dan anak dibinkan atas nama Abdullah.

Saya ingin sekali menyampaikan kepada wanita dan remaja di luar sana agar tidak berfikiran singkat seperti saya. Nasib saya boleh lagi dikategorikan baik kerana mempunyai bapa mertua yang sangat mengambil berat dan membantu urusan kami walau pun kami berdua telah menjadi anak yang mengecewakan hatinya.

Jika tidak dengan bantuannya, tentu kami berdua masih hidup sebagai pasangan yang berdosa dan berzina sepanjang hayat kerana status pernikahan yang diragui.

NOR, 23, Melaka.

Ambil mudah soal nikah, status tergantung

Jiwa remaja yang mudah terikutkan nafsu dan keseronokan cinta sembilan tahun lalu buat saya lupa akan kesan yang berlaku pada hari ini. Setiap kali terpandangkan wajah anak, hati saya semakin sayu dan hiba.

Saya berharap kesilapan saya tidak dilakukan oleh anak mahupun sesiapa sahaja di luar sana. Ingatlah ibu bapa setiap kali kita mahu melakukan sesuatu perkara. Baik atau buruk perbuatan itu, ia pasti memberi kesan sepanjang hidup.

Saya bernikah dengan suami orang yang ketika itu sudah berumur 35 tahun. Saya pula, baru habis SPM. Sebab pertama kami mahu bernikah di Thailand adalah kerana suami tidak mendapat izin daripada isteri pertama.

Saya pula, baru berumur 17 tahun dan niat saya dihalang keluarga.

Dengan bantuan ejen, kami dibawa ke sempadan Thailand. Suasana pernikahan seperti sebuah kenduri kecil-kecilan. Dengan bayaran serendah RM1,000, segala-galanya disediakan termasuk kadi, saksi dan jamuan makan.

Tiada apa di fikiran saya ketika itu melainkan hajat untuk menjalani kehidupan bahagia bersama insan tersayang yang telah pun terlaksana.

Saya tidak pernah terfikir bahawa satu masa saya akan mempunyai anak dan anak itu perlu dibinkan atas keturunan dan nasabnya yang sahih.

Disebabkan buta dengan cinta dan kasih sayang seorang lelaki, saya abaikan semua itu malah tidak pernah terdetik hatta sekali pun untuk merujuknya kepada orang tua atau pihak yang lebih arif. Akhirnya, saya yang menjerat diri sendiri.

Setahun selepas bernikah, saya melahirkan anak sulung kami tetapi malangnya anak tidak boleh didaftarkan sebagai anak sah taraf kerana sijil nikah saya tidak berdaftar dengan mana-mana jabatan agama di Malaysia.

Apabila saya merujuk hal itu kepada suami, suami enggan ambil tahu. Hidup saya susah dan melarat sejak perkahwinan terbongkar. Suami tidak bertanggungjawab dan melarikan diri.

Sedarlah saya hanya ditipu dengan permainan suami. Perkahwinan dengan sindiket itu hanya sandiwaranya untuk menunjukkan konon bersungguh-sungguh memperisterikan saya.

Apabila dirujuk dengan mereka yang lebih arif, saya dimaklumkan bahawa pernikahan itu barangkali sah berdasarkan sijil nikah dikeluarkan. Bagaimana pun, ia tetap perlu didaftarkan di Malaysia bagi melayakkan saya menerima atau menuntut hak-hak sebagai isteri.

Saya dianiaya oleh suami saya sendiri.

Saya sedar, sekiranya saya mendahulukan orang tua, tentu saya dan anak tidak menerima nasib sebegini.

Status nikah tidak diketahui, status cerai apatah lagi. Sedangkan hakikatnya saya telah pun digantung tidak bertali.

FATIYA, 30, Pahang

0 Komentar untuk " Nikah sindiket, jangan ambil jalan mudah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ