Masyarakat perlu miliki kesedaran lindungi data peribadi - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Masyarakat perlu miliki kesedaran lindungi data peribadi

Pernahkah timbul perasaan was-was pada setiap kali kita berurusan dengan pelbagai pihak industri membabitkan transaksi komersial? Persoalan yang kerap timbul pastinya juga berkisar kepada status keselamatan butiran peribadi yang kita berikan kepada mana-mana pihak termasuk ketika membuat urusan pembelian rumah.

Sebagai individu, kita sebenarnya perlu memastikan semua kutipan data dilakukan pihak pemaju hendaklah digunakan untuk satu tujuan sahaja iaitu membeli rumah. Malangnya, ada sesetengah pihak mengambil kesempatan dengan menggunakan data peribadi anda untuk tujuan lain. Ini timbul kerana satu syarikat sebagai contoh, akan berkongsi data peribadi pelanggan yang diperoleh untuk digunakan oleh anak syarikat mereka.

Penyalahgunaan data peribadi

Oleh itu, bagi mengatasi permasalahan mengenai penyalahgunaan data peribadi ini, orang ramai mesti memahami hak-hak mereka seperti yang terkandung dalam Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709).

Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) atau APDP adalah antara perundangan siber yang diperakukan dalam pelaksanaan Koridor Raya Multimedia. Akta ini adalah matlamat Dasar Kesepuluh dinyatakan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu bagi menjamin keselamatan maklumat dan kebolehpercayaan serta keutuhan rangkaian dalam perlindungan data di Malaysia.

Akta 709 sudah diluluskan di Parlimen pada 5 April 2010 dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 2 Jun 2010. Akta ini dikuatkuasakan sepenuhnya pada 15 November 2013 melalui pewartaan oleh Jabatan Peguam Negara.

Untuk pengetahuan semua, objektif utama Akta 709 adalah untuk mengawal selia pemprosesan data peribadi dalam transaksi komersial oleh pengguna data dan melindungi kepentingan data peribadi umum.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Data Peribadi, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Mazmalek Mohamad, berkata Akta 709 adalah terpakai bagi mana-mana orang yang memproses dan yang mempunyai terhadap atau membenarkan pemprosesan apa-apa data peribadi berkenaan transaksi komersial.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi berkata, orang awam perlu mempunyai kesedaran terhadap kepentingan melindungi data peribadi mereka.

"Setakat ini, Jabatan Perlindungan Data Peribadi dapati sudah ada kesedaran dalam kalangan individu mengenai APDP, tetapi bergantung kepada sektor.

Pengguna bank

Pengguna bank sebagai contoh, tahap kesedaran mereka lebih tinggi berbanding sektor lain kerana membabitkan duit.

"Oleh itu, kesedaran mengenai perlindungan data peribadi ini tidak boleh dibebankan kepada Pesuruhjaya Data Peribadi, tapi pada masa sama pihak bank kena memaklumkan hak pengguna setiap kali membuat urusan perbankan.

"Kejayaan pelaksanaan APDP ini adalah tanggungjawab bersama. Pada masa sama, industri yang terbabit dalam penggunaan data peribadi, mesti bertanggungjawab kepada pelanggan mereka dengan cara memelihara data serta mengurusnya dengan lebih berhemah," katanya pada pertemuan di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.

Oleh kerana teknologi baharu dan aliran pasaran yang kian berubah menyebabkan peranan maklumat data peribadi semakin penting dalam ekonomi pasaran transaksi globalisasi.

Transaksi komersial akan menjadi komoditi pasaran Data Besar (Big Data) yang sangat pantas dan bernilai jutaan dan bilion ringgit sehingga mewujudkan suatu tekanan transaksi data komersial yang perlu dikawal selia terutama dalam pemprosesan data peribadi.

Sesungguhnya mengikut APDP adalah menjadi satu kesalahan bagi Pengguna Data mendedahkan data peribadi kepada pihak ketiga tanpa persetujuan pemilik.

Akta 709

Pelaksanaan Akta 709 memerlukan Pengguna Data menilai semula polisi privasi data, pemprosesan dan pengurusan data peribadi sedia ada.

Golongan Pengguna Data diklasifikasikan kepada beberapa golongan tertentu mengikut suatu perintah yang dibuat oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) atas syor Pesuruhjaya Data Peribadi.

Terdapat 11 klasifikasi Golongan Pengguna Data iaitu sektor komunikasi, perbankan dan institusi kewangan, kesihatan, insurans, pelancongan dan hospitaliti, pengangkutan, pendidikan, jualan langsung dan perkhidmatan, hartanah dan utiliti.

Pengguna Data bermaksud seseorang yang sama ada berseorangan atau bersesama atau bersama dengan orang lain memproses apa-apa data peribadi atau mempunyai kawalan terhadap atau membenarkan pemprosesan apa-apa data peribadi, tetapi tidak termasuk seorang pemproses data.

Sehubungan itu, Mazmalek berkata, Subjek Data yang merujuk kepada orang awam dan individu mesti mengetahui hak-hak mereka.

Katanya, Subjek Data perlu dimaklumkan oleh Pengguna Data sama ada data peribadinya diproses oleh Pengguna Data atau bagi pihak Pengguna Data.

"Mereka perlu membuat permintaan capaian kepada Pengguna Data bagi maklumat mengenai data peribadi; disampaikan kepada beliau maklumat data peribadinya yang diminta dalam bentuk difahami dan dalam tempoh masa ditetapkan oleh Pengguna Data; membetulkan data peribadinya yang tidak tepat yang disimpan oleh Pengguna Data; menarik balik persetujuan untuk memproses data peribadinya dan pemberhentian pemprosesan itu dalam keadaan-keadaan tertentu.

"Hak seterusnya ialah mengkehendaki Pengguna Data mendapatkan kebenaran semula penzahiran data peribadi beliau bagi tujuan selain daripada tujuan asal semasa data itu dikutip pada mula-mulanya; melarang pemprosesan data peribadi sensitif Subjek Data, tertakluk kepada syarat-syarat tertentu; menghalang pemprosesan data yang mengakibatkan kerugian dan kesengsaraan dan menghalang pemprosesan data untuk tujuan jualan langsung," katanya.

Dalam pada itu, program kesedaran dan pematuhan APDP turut dilaksanakan. Pelbagai inisiatif dasar sudah dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia bagi memastikan pelaksanaan penguatkuasaan Akta 709 berjalan dengan teratur.

Pelbagai program kesedaran perlindungan data peribadi sudah dilaksanakan dan giat dirancang oleh Jabatan Perlindungan Data Peribadi bagi memberi pendidikan kepada Pengguna Data dan orang ramai.

Tidak ketinggalan, kerjasama antara jabatan dan agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Cyber Sekuriti dan Bank Negara serta pelbagai organisasi lain seiring perlindungan data peribadi.

Beliau berkata, melindungi maklumat data peribadi adalah tanggungjawab sosial kerana Industri Besar Data (Big Data) di Malaysia sedang berkembang pesat, malah ia merangkumi data-data peribadi dan maklumat penting sesebuah organisasi.

"Sudah pastilah semua organisasi akan menitikberatkan isu-isu keselamatan, privasi dan sistem keselamatan siber kerana ia adalah aset yang cukup berharga dalam sesebuah organisasi khususnya Pengguna Data," katanya.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sudah menekankan kepentingan penyimpanan data.

"Penyimpanan data ini memerlukan tahap keselamatan penyimpanan yang terbaik dalam alaf siber sama ada Pengguna Data yang terdiri daripada agensi kerajaan mahupun swasta tanpa mengira siapa.

"Risiko keselamatan siber ini akan menjadi nadi penting bagi Pengguna Data mengurus penyimpanan dan keselamatan data mereka. Tiada siapa atau organisasi yang mahu data organisasi mereka diceroboh oleh penggodam atau spam kerana ia adalah maruah organisasi terbabit.

"Sebarang penyalahgunaan data dan pencerobohan sesuatu data sehingga menyebabkan data peribadi yang disimpan oleh Pengguna Data terbabit dicerobohi atau menyebabkan kerosakan oleh dikenakan tindakan mengikut Akta 709," katanya.

Etika Pengurusan Data perlu ditambah baik

Justeru itu, norma Etika Pengurusan Data sedia ada di semua organisasi Pengguna Data perlu ditambah baik dengan pelaksanaan Akta 709.

Mengikut Forum Pengguna Data, Pejabat Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi akan menyelaraskan Kod Tata Amalan semua golongan Pengguna Data bagi memastikan pengurusan data peribadi diurus secara penuh berintegriti, penyimpanan yang terbaik bagi mengurangkan risiko penyalahgunaan data dan kebocoran maklumat data.

Sesungguhnya keselamatan data peribadi pengguna perlu dilindungi bagi mencegah sebarang bentuk penyalahgunaan terhadap penyimpanan atau pemprosesan data peribadi, individu, awam dan swasta di negara ini secara transaksi komersial adalah termaktub mengikut Akta 709.

0 Komentar untuk " Masyarakat perlu miliki kesedaran lindungi data peribadi "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ