Legasi Tunku Abdul Rahman dipertahan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Legasi Tunku Abdul Rahman dipertahan

Nama Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj memang sinonim dengan rakyat Malaysia. Nama Almarhum cukup gah untuk dikenang sebagai pejuang kemerdekaan negara atau lebih dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan Malaysia.

Namun, di sebalik nama Tunku Abdul Rahman, mungkin sebilangan kita, khususnya anak muda tidak tahu dan tidak sedar pengisian kemerdekaan yang digariskan pemimpin terdahulu bagi membolehkan rakyat Malaysia menikmati keamanan serta kemakmuran walaupun berbilang kaum.

Hari ini adalah hari ulang tahun kelahiran Bapa Kemerdekaan negara itu. Sebenarnya jasa beliau bukan saja berusaha memperjuangkan kemerdekaan negara, malah turut memastikan rakyat berbilang kaum dan agama hidup dalam kerukunan perpaduan, selain merapatkan jurang ekonomi antara kaum.

Hargai perjuangan pemimpin terdahulu

Sesungguhnya nilai perpaduan itu cukup mahal, untuk membinanya mengambil masa yang begitu lama tetapi meruntuhkan perpaduan itu boleh berlaku sekelip mata, khususnya generasi muda jika mereka gagal menghayati nilai perjuangan pemimpin terdahulu.

Memetik kata-kata Tunku Abdul Rahman ketika perisytiharan kemerdekaan negara: "Mulai 31 Ogos 1957, (kita) akan menjadi sebuah negara berdaulat dan demokratik untuk selama-lamanya, yang dibina berdasarkan prinsip kebebasan dan keadilan serta sentiasa memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan rakyatnya."

Tunku Abdul Rahman dari awal lagi menekankan kepada perpaduan, meneliti sejarah terdahulu usaha beliau untuk mendapatkan kemerdekaan negara turut disokong oleh beberapa pemimpin lain seperti Tun VT Sambanthan dan Tun Tan Cheng Lock.

Walaupun Melayu menjadi tuan di negara ini, Tunku Abdul Rahman sentiasa menekankan kepada perpaduan rakyat pelbagai kaum dan agama, malah tidak pernah menghalang penganut agama lain untuk mengamalkan agama mereka.

Berdasarkan kepada kontrak sosial yang dihasilkan pemimpin terdahulu, rakyat di negara ini perlu menghormati agama masing-masing tanpa membiarkan perbezaan ideologi sebagai pemisah kepada kerukunan perpaduan.

Menyedari betapa pentingnya perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini, kepemimpinan Tunku Abdul Rahman bersama pemimpin utama masyarakat Cina dan India memuktamadkan kontrak sosial bagi memastikan kemakmuran negara serta hak masyarakat berbilang kaum dan agama terjamin.


Perpaduan kaum asas kukuh dalam pembinaan Malaysia. - Foto Datu Ruslan Sulai

Masa depan penuh cabaran

Menjangkakan masa depan negara berdepan cabaran dalam mempertahankan perpaduan kaum, Tunku Abdul Rahman sudah memikirkan usaha untuk terus memperkukuhkan perpaduan negara walaupun hari ini kontrak sosial dan Perlembagaan Negara mula dipersoalkan oleh generasi yang 'buta sejarah.'

Kontrak sosial perlu dipelihara dengan kematangan bagi memastikan keutuhan sesebuah negara serta perpaduan yang terjalin sejak sekian lama terus kekal terpelihara dan bagi Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mua'amar Ghadafi Jamal Jamaludin, beliau berpendapat Tunku Abdul Rahman sudah menyediakan asas kukuh dalam pembinaan Malaysia.

Generasi muda perlu kekalkan perpaduan

Baginya, anak muda hari ini perlu menghayati perpaduan dalam erti kata sebuah negara merdeka yang mana roh dan semangatnya terus dihayati dan dipelihara bagi memastikan pembinaan sebuah negara yang diasaskan Tunku Abdul Rahman kekal terpelihara.

"Sememangnya Tunku Abdul Rahman meletakkan asas yang kukuh dalam pembinaan Malaysia, asasnya perlu disantuni dengan perpaduan dan kesepakatan masyarakat berbilang kaum dan agama. Seperti mana diterapkan dalam MBM, kasih-sayang bukan saja sesama bangsa, malah melangkaui sempadan kaum, budaya dan agama.

"Golongan muda hari ini perlu menghayati dan merasai serta mempertahankan nikmat keamanan negara yang dikecapi hasil perjuangan orang terdahulu, keamanan dan perpaduan akan terus terpelihara jika terus berpegang kepada prinsip Rukun Negara," katanya.

Tahun 2015 cukup mencabar untuk Malaysia, apatah lagi negara berdepan dengan sedikit gangguan ekonomi akibat kejatuhan harga minyak dunia, kemerosotan nilai mata wang dan banjir besar yang melanda negara hujung tahun lalu.

Cabaran besar ini bukan saja dilihat dari sudut ekonomi semata-mata, malah kesatuan rakyat Malaysia yang berbilang kaum juga adalah senjata ampuh bagi mendepani situasi ini.

Pelbagai insiden uji ketahanan negara

Kalendar 2014 yang sudah beberapa minggu berlalu dengan pelbagai insiden menguji kekuatan dan ketahanan negara serta keutuhan masyarakat Malaysia untuk terus bersatu tanpa mengira warna kulit mahupun ideologi.

Namun, di awal tahun 2015 ini, ada beberapa insiden yang dilihat cuba melonggarkan kembali kekuatan perpaduan rakyat Malaysia dengan membangkitkan isu membabitkan sentimen kaum dan agama.

"Tunku Abdul Rahman meletakkan asas yang kukuh bagi pembinaan Malaysia yang berbilang bangsa dan agama, kini kitalah penentu kepada kelangsungan dan kejayaan pembinaan negara bangsa," kata Mua'amar Ghadafi.

0 Komentar untuk " Legasi Tunku Abdul Rahman dipertahan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ