Kerusi Damia ilham anak tempatan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kerusi Damia ilham anak tempatan

KADANG - KALA dengan melihat kesusahan orang lain, akan memberikan inspirasi kepada kita untuk mencipta sesuatu rekaan atau barangan yang hebat.

Kekurangan dihadapi kanak-kanak istimewa, Nur Damia Irsalina Daeng Malis, 8, misalnya mencetuskan idea kepada Zull Design Autotronic mencipta sebuah kerusi roda untuk memudahkan pergerakan kanak-kanak itu.

Perekanya, Zulkifli Harun menamakan rekaannya itu sebagai Kerusi Damia.

Zulkifli berkata, Kerusi Damia adalah salah satu tanggungjawab sosial syarikatnya untuk membantu Nur Damia Irsalina yang sukar untuk bergerak ke sekolah dan menguruskan kehidupan hariannya.

Katanya, dia mereka cipta Kerusi Damia hanya dalam masa sebulan iaitu pada Oktober 2014 selepas bertemu kanak-kanak istimewa kurang upaya berkenaan.

“Pada pertemuan itu, saya lihat sendiri pergerakan Damia. Alhamdulillah, saya dapat ilham mencipta Kerusi Damia untuk kegunaannya.

“Saya lihat Damia seperti anak saya sendiri dan membayangkan  keadaan anak saya sekiranya berkeadaan begitu. Lalu saya tekad membantu Damia supaya dia senang bergerak bagi menguruskan kehidupan hariannya,” katanya.

Zulkifli mengakui, semuanya adalah rezeki kanak-kanak comel itu kerana usahanya berjalan dengan lancar dan dipermudahkan ALLAH SWT.

Dia tidak mengambil masa lama untuk membuat penyelidikan serta mengkaji pergerakan Nur Damia Irsalina sama ada di sekolah atau di rumah.

“Saya cuma ambil masa sebulan untuk mencipta Kerusi Damia.

"Pada  masa sama apabila melihat Damia sebagai seorang kanak- kanak yang tabah, ia menguatkan lagi semangat saya untuk menghasilkan sesuatu yang terbaik kepada Damia bagi membantunya,” kata Zulkifli penuh semangat.

Guna barangan tempatan

Zulkifli berkata, Kerusi Damia mudah dibaiki jika rosak kerana materialnya daripada barangan tempatan.

“Kerusi ini guna bateri dan langsung tidak guna arus elektrik. Semua komponennya boleh didapati dalam pasaran negara saja.

“Saya hanya beli barang utama dengan nilai RM10,000 dan selebihnya menggunakan barang sedia ada. Komponen utama digunakan ialah kerusi besi keluli," katanya yang mesra memanggil kanak-kanak itu Damia sahaja.

Zulkifli berkata, sebelum berjaya Kerusi Damia diuji beberapa kali dan diperbetulkan.

“Saya sentiasa menambah baik dan mencari kaedah terbaik untuk membantu Damia.

"Harga kerusi ini jika di luar negara adalah AS$ 100, 000 (RM363,173.99) dan disiapkan dalam masa sembilan bulan.

“Akibat harganya yang terlalu mahal, menyebabkan saya mahu memberikannya kepada Damia kerusi roda yang membantunya bergerak dengan harga yang berpatutan,” katanya.

Sediakan meja makan

Zulkifli berkata, selain kerusi itu, Nur Damia Irsalina juga perlukan meja makan yang sesuai dengan keadaannya.

“Meja makan itu dibiayai oleh Kementerian Pendidikan bernilai RM10,000 yang juga boleh digunakan untuk  menulis.

“Meja khas itu dilengkapi kawalan automatik. Jika sebelum ini, ia perlu ditolak untuk keselesaan Damia,” katanya.

Tambah Zulkifli, komponen yang digunakan untuk meja berkenaan juga boleh didapati dalam pasaran tempatan sahaja supaya mudah sesiapa jua membaikinya memandangkan senang mendapatkan peralatan itu.

“Saya menyifatkan  rekaan Kerusi Damia dan meja ini sebagai tanggungjawab sosial kepada Damia,” katanya.

Dalam pada itu Zulkifli menambah, dalam fikirannya dia merancang mereka cipta sesuatu untuk menyelesaikan masalah Nur Damia Irsalina seperti  ke tandas, bergerak di rumah dan  juga di tempat tidur.

Nampaknya inilah sebuah lagi ciptaan produk inovasi daripada anak tempatan yang memberi manfaat kepada manusia sejagat.

0 Komentar untuk " Kerusi Damia ilham anak tempatan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ