Jangan abai buat wang simpanan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Jangan abai buat wang simpanan

KEHILANGAN sumber pendapatan secara mengejut boleh menjejaskan kehidupan kita dan akan menjadi lebih teruk jika kita tidak mempunyai dana kecemasan sekurang-kurangnya sehingga enam bulan dan tidak dapat mencari kerja gantian secepat mungkin.

Inilah yang terjadi kepada Baharom, yang telah kehilangan pekerjaan apabila majikannya diisytiharkan muflis dan syarikatnya terpaksa ditutup.

Dia tidak mempunyai simpanan secukupnya dan kerja-kerja sambilan yang dibuatnya tidak cukup untuk menampung kos sara hidup dan juga gaya hidup yang diamalkannya sebelum ini.

Kejadian tersebut berlaku sekitar lima tahun yang lalu dan sejak itu, Baharom didatangi oleh pihak bank yang mencarinya kerana dia tidak mampu untuk membayar pinjaman perumahan dan keretanya.

Sehingga pada satu tahap di mana rumahnya hampir-hampir dilelong oleh pihak bank sebanyak dua kali. Lebih mengeruhkan keadaan apabila Baharom tidak dapat mencari pembeli untuk membeli rumahnya.

Pekerjaan sampingan yang Baharom ada sekarang berpendapatan tidak sampai separuh daripada gaji yang diterima Baharom di syarikatnya sebelum ini.

Menurut Baharom, dia cuba untuk berunding dengan pihak bank untuk menstrukturkan bayaran balik pinjaman.

Pegawai bank tersebut menasihatkan Baharom untuk pergi ke AKPK dan mendapatkan nasihat di sana.

Setelah meminta pandangan daripada isterinya, akhirnya Baharom datang ke pejabat AKPK berdekatan untuk mendapatkan bantuan.

Pada mulanya Baharom berasa was-was kerana takut jika dia juga gagal mencapai persetujuan dengan pihak AKPK untuk membantunya, tetapi setelah tiba ke pejabat AKPK dan mendengar nasihat dan penjelasan daripada kaunselor AKPK, Baharom yakin dan bersetuju untuk memasuki Program Penstrukturan Kredit (PPK) yang ditawarkan oleh AKPK secara percuma.

Melalui PPK, AKPK berjaya berunding dengan pihak bank untuk menstrukturkan bayaran balik pinjaman perumahan Baharom.

Ketika itu, Baharom merasakan dia mempunyai sinar baharu dalam kehidupannya. Walaupun Baharom masih lagi perlu membayar pinjaman perumahannya itu, tetapi jumlah yang perlu dibayar bersesuaian dengan kemampuan kewangan Baharom ketika itu.

Baharom memberitahu bahawa tindakannya datang ke AKPK merupakan tindakan yang tepat pada masanya kerana ketika itu rumahnya hampir-hampir dilelong oleh pihak bank. Kisah ini mengingatkan kita untuk membuat simpanan bagi mengatasi sebarang masalah yang tidak diduga.


Agensi Kaunseling Dan Pengurusan
Kredit (Akpk )

0 Komentar untuk " Jangan abai buat wang simpanan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ