Isu rotan: Tidak perlu melatah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Isu rotan: Tidak perlu melatah

ORANG ramai tidak perlu melatah dengan cadangan untuk menetapkan tindakan merotan kanak-kanak sebagai kesalahan jenayah dalam Rang Undang-Undang Kanak-Kanak baharu, kerana hanya mereka yang menghukum anak sehingga mendatangkan kecederaan sahaja bakal berdepan dengan tindakan itu.
 
Tambahan pula, kesalahan mencederakan kanak-kanak sememangnya telah termaktub di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
 
Ini jelas menunjukkan bahawa bukan dengan tindakan merotan sahaja yang boleh dikenakan hukuman, bahkan dengan menggunakan apa-apa cara sekalipun, yang membawa kepada kecederaan, boleh dikenakan tindakan.
 
Isu berkenaan menimbulkan pelbagai polemik selepas Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mencadangkan tindakan merotan dalam akta baharu yang dikenali sebagai Akta Kanak-Kanak 2015 bagi menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001.
 
Hakikatnya, ramai yang tersalah tafsir cadangan itu tanpa memahami keseluruhan cadangan berkaitan rotan berkenaan.

Ada yang menuduh kerajaan memutuskan perkara itu atas desakan luar, meminggirkan syariat Islam, seolah-olah menjadikan ibu bapa penjenayah, bertujuan meruntuhkan institusi kekeluargaan di Malaysia, melahirkan generasi 'besar kepala' dan sebagainya.
 
Berikutan keadaan itu, Menterinya, Datuk Rohani Karim kemudian tampil membidas kenyataan yang disalah tafsir itu dengan menegaskan bahawa peruntukan yang dicadangkan kementerian itu dalam Rang Undang-Undang Kanak-Kanak baharu bukanlah bermaksud setiap perbuatan merotan menjadi kesalahan jenayah.
 
Mengulas kenyataannya berhubung perkara itu, Rohani berkata apa yang dicadangkan dalam Rang Undang-undang itu ialah memasukkan peruntukan yang lebih terperinci mengenai tindakan yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal atau mental kepada kanak-kanak, dan ini termasuklah perlakuan merotan.
 
Kenyataan balas Rohani itu menunjukkan bahawa tidak mungkinlah hanya disebabkan merotan sedikit sahaja (untuk mendidik) seseorang itu (ibu bapa atau penjaga kanak-kanak) boleh dianggap melakukan jenayah.
 
Malah dalam agama Islam, sekalipun membenarkan perbuatan itu, ia tetap berlandaskan garis panduan tertentu.

Memang benar terdapat hadis Nabi Muhammad SAW yang menyebut bahawa 'perintahlah anak-anak kamu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun, dan pukullah mereka kerana tidak solat ketika mereka berumur sepuluh tahun'.
 
Namun, ia perlu dilakukan dengan cara yang betul tanpa menyeksa, mencedera atau meninggalkan kesan kepada kanak-kanak itu sendiri dengan niat mendera.
 
Pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah berkata apa yang pentingnya ialah menggalakkan ibu bapa supaya menggantung rotan di dinding rumah agar anak-anak takut melakukan kesalahan.
 
"Adab merotan anak di dalam Islam adalah dengan cara membaringkan anak atas dua kerusi. Kalau ayah yang nak rotan, mak mesti ada di sebelah untuk pastikan ayah tidak hilang pertimbangan.
 
"Bahagian badan yang baik untuk merotan adalah di tapak kaki kerana walaupun sakit, namun tidak langsung mendatangkan bahaya malahan diyakini bagus untuk refleksologi," katanya.
 
Isu rotan hanya disalah tafsir dan tidak perlu diperbesarkan atau dipolitikkan lagi.
 
Setiap undang-undang yang akan dilaksanakan, pastinya tidak akan menghukum sewenang-wenangnya, tambahan pula terhadap mereka yang mahu mendidik anak-anak untuk menjadi generasi harapan negara. - Bernama

0 Komentar untuk " Isu rotan: Tidak perlu melatah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ