Indeks patriotisme pupuk keharmonian bermasyarakat - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Indeks patriotisme pupuk keharmonian bermasyarakat

Jika meneliti perkembangan semasa, apakah benar konsep globalisasi semakin menghakis kepentingan kewujudan negara bangsa? Sesuatu yang menarik ialah berdasarkan apa yang dikatakan De Cillia, Reisigl dan Wodak (1999); "Proses globalisasi nampaknya perlu diiringi dengan melihat semula dan mengukuhkan masa lalu dan ciri komuniti pramoden mengenai perasaan patriotisme yang penuh beremosi dan diwarisi terhadap negara sendiri".

Peristiwa demi peristiwa berlaku di sekeliling kita kini menjadikan kita semakin keliru. Satu demi satu kejadian dilihat seolah-olah membunuh rasa damai dan masyarakat menjadi gusar. Rasa hormat terhadap negara mulai digugat.

Menariknya baru-baru ini apabila Ketua Pengarah Biro Tata Negara (BTN), Datuk Raja Arif Raja Ali mengeluarkan kenyataan BTN sedang menyiapkan Indeks Patrotisme Negara. Beliau juga menjelaskan kajian awal terhadap Indeks Patriotisme Negara yang membabitkan penuntut pengajian tinggi memperlihatkan skor indeks adalah rendah iaitu hanya 3.8. Ini menggusarkan kita mengenai semangat jitu patriotisme generasi pelapis negara.

Inisiatif BTN mewujudkan Indeks Patriotisme Negara adalah langkah yang harus disambut baik. Ia juga adalah satu inisiatif bijak dalam usaha memperkukuhkan Malaysia negara bangsa maju menjelang tahun 2020. Usaha Ketua Pengarah BTN ini memperlihatkan satu lagi usaha transformasi kepemimpinan negara bagi menyelami rasa hati rakyat. Ia membolehkan kerajaan menerusi BTN memperkasakan strategik ke arah meningkatkan jati diri warga negara Malaysia. Apa yang penting, pengukuran Indeks Patriotisme Negara menggambarkan keseriusan kerajaan untuk menjayakan transformasi Malaysia negara maju.

Perpaduan tiada jika tiada patriotisme

Keamanan dan kesejahteraan terbina kerana adanya perpaduan. Adalah sukar membentuk perpaduan jika tidak ada patriotisme. Cabaran Malaysia sebuah negara majmuk bukan boleh dipandang ringan. Keamanan adalah asas kepada pembinaan pembangunan. Ini penting bagi Malaysia dan inilah yang digagaskan oleh Perdana Menteri kita dalam inspirasi Gagasan 1Malaysia.

Walaupun pada zaman ini sering dilaungkan slogan globalisasi dan dunia tanpa sempadan, tetapi semangat patriotik dan cintakan tanah air perlu dipupuk khususnya dalam konteks negara kita Malaysia. Prof Jomo Kwame Sundram, pernah meluahkan rasa hatinya bahawa dalam keadaan negara kita yang berbilang kaum, gerakan nasionalisme masih perlu dibina bukan hanya untuk menghadapi masalah dan cabaran pembangunan kini, tetapi juga untuk menghadapi masalah perpaduan kebangsaan.

Semangat patriotik dapat dijadikan benteng bagi menangkis ancaman dan kebanjiran gejala negatif akibat daripada proses internasionalisme dan globalisasi.

Kebimbangan terhadap isu patriotisme bukanlah isu hari ini, tetapi telah dirasai sejak sekian lama. Harus diingat Kongres Patriotisme Negara pada 24-26 Oktober 2002 yang membincangkan segala aspek patriotisme membuat satu resolusi penting. Resolusi itu telah dikemukakan kepada Kabinet dan telah menghasilkan keputusan mewajibkan pelajar berumur 17 tahun ke atas menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang bermula pada tahun 2004.

PLKN diadakan untuk meningkatkan rasa cinta kepada negara atau patriotisme. Kini ia telah berlangsung selama 10 tahun. Sudah pasti persoalannya kini, apakah matlamat meningkatkan patriotisme dalam kalangan generasi belia yang menyertai PLKN berjaya dilaksanakan? Saya berpendapat Indeks Patriotisme Negara yang dibangunkan BTN boleh digunakan untuk mengukur pencapaian program itu.

Senario semasa memperlihatkan wujud kecelaruan pemikiran dalam kalangan sesetengah generasi muda terhadap penerimaan program yang dilaksanakan kerajaan. Setiap tindakan yang bercanggah dengan nilai perpaduan yang dilakukan generasi kini mencerminkan mereka tidak patriotik. Begitu juga perbuatan menghalang kemajuan juga tidak mencerminkan kecintaan terhadap negara. Tindakan yang berbentuk provokatif dan menyalahi undang-undang juga cerminan tiada patriotisme dalam jiwa.


Generasi muda sertai sukarelawan banjir miliki semangat patriotisme. - Gambar hiasan

Patriotisme boleh dibentuk

Ada berpendapat patriotisme tidak perlu dilatih kerana ia akan muncul dengan sendiri. Sebahagian pendapat ini salah kerana manusia sentiasa memerlukan bimbingan, nasihat dan latihan. Oleh itu, satu hakikat yang harus difahami ialah semangat patriotisme perlu diasuh dan boleh dididik. Persoalannya, bagaimana kaedah berkesan bagi menimbulkan perasaan mulia ini agar ia nampak dari luar dan semangat di dalam jiwa. Di sinilah kepentingan Indeks Patriotisme Negara yang boleh memberi garis panduan berguna untuk kerajaan menyediakan beberapa persediaan prasarana membangkitkan semangat patriotisme.

Dalam konteks pendidikan di Malaysia, penyemaian semangat patriotisme antara matlamat sistem pendidikan negara sememangnya dapat dikesan. Hala tuju pendidikan di Malaysia telah dijelaskan seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Jika kita mengamati pernyataan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, rangkai kata terakhir Falsafah Pendidikan Kebangsaan berbunyi seperti berikut; "..serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara".

Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia telah memberi huraian mengenai rangkai kata ini dan telah menggariskan tujuh aspek yang termasuk dalam pengertiannya. Antaranya ialah bersemangat patriotik dan cintakan negara.

Oleh itu, jika masih ada suara-suara yang mengatakan sistem pendidikan kita tidak menekankan aspek patriotisme, sebenarnya mereka ini tidak faham dan tidak menghayati isu ini. Amat jelas, antara fungsi pendidikan di Malaysia ialah untuk mendidik warganegara agar mempunyai semangat patriotik dan cinta negara.

Namun yang harus kita persoalkan sekarang adalah apakah kaedah yang digunakan dalam sistem pendidikan kita ini berkesan atau tidak untuk membangkitkan rasa cinta negara serta patriotisme. Indeks Patriotisme Negara dijangka mampu membantu menghuraikan jawapan persoalan ini.

Pelajaran sejarah dan patriotisme

Wan Mohd Zahid Mohd Noordin (1992) menyatakan "Pendidikan sejarah boleh dijadikan sebagai pendukung utama memupuk semangat kewarganegaraan dan patriotisme serta dapat membangkitkan semangat nasionalisme. Abdul Shukur Abdullah (1998) menjelaskan mata pelajaran sejarah membantu usaha pemupukan patriotisme yang dilakukan melalui pendekatan menyeluruh dan merentasi kurikulum.

Hubungan mata pelajaran Sejarah dengan sumbangan terhadap perasaan patriotisme telah disokong oleh ramai tokoh seperti Oliver & Shaner (1966), Seixas (1993), Phillips (1998) dan Mohd Yusuf Ibrahim (2000). Kajian Haminah Suhaibo (2010) mendapati sebahagian besar pelajar memahami kebanyakan unsur patriotisme melalui pembelajaran Sejarah.

Persoalannya apakah dapatan awal kajian Indeks Patriotisme Negara yang telah dinyatakan oleh Ketua Pengarah BTN dalam kalangan pelajar IPT membuktikan pengajaran dan pembelajaran sejarah yang dilaksanakan kini kurang berkesan meningkatkan tahap patriotisme? Mungkin ada benarnya kenyataan itu.

Dapatan beberapa kajian yang dilaksana beberapa sarjana di IPT tempatan membuktikan pembelajaran Sejarah tidak membantu atau kurang berkesan meningkatkan patriotisme dalam kalangan pelajar. Kajian Hassan Haris, Abdullah Mohd Noor dan Puteh Mohamad, mendapati guru sejarah lebih memberi keutamaan kepada isu pengajaran daripada melakukan penerapan nilai murni dan nilai patriotisme dalam pengajaran mereka.

Kajian Haminah (2010) turut memperlihatkan terdapat pelajar menengah atas yang tidak memahami unsur-unsur patriotisme. Justeru, timbul persoalan kini, apakah kandungan mata pelajaran sejarah yang diajar itu tidak berkesan atau kaedah pengajaran yang perlu dinilai semula? Kemungkinan dengan wujudnya pelaksanaan Indeks Patriotisme Negara ini, persoalan ini mampu dijelaskan dengan lebih tepat.

Rasuah runtuh patriotisme

Selain kebimbangan aspek perpaduan yang mampu meruntuhkan semangat patriotisme, timbul pula isu gejala rasuah. Lebih mendukacitakan hal ini berlaku dalam kalangan pemimpin dan penjawat awam. Justeru dalam konteks patriotisme, gejala ini sebenarnya mampu membunuh negara. Rakyat semakin hari mempersoalkan apakah gejala ini berlaku kerana kurangnya rasa patriotisme negara atau kerana desakan ekonomi semasa? Jika keadaan ini berterusan, agaknya bagaimana suasana Malaysia pada masa akan datang? Wajarkah senario ini dipersalahkan kepada kerajaan atau sistem pendidikan negara? Pada masa sama, apakah cara terbaik menghapuskan keadaan ini? Meningkatkan rasa cinta negara dan jati diri patriotisme adalah pilihan yang boleh dilaksanakan selain mengutamakan aspek iman dan moral dalam diri warganegara

Harus difahami patriotisme adalah rasa cinta pada bangsa dan negara. Rasa cinta itu wujud dalam tindakan nyata. Ada empat aspek daripada patriotisme. Pertama, patriotisme mencakupi perasaan sayang dan cinta pada negara. Kedua, patriotisme meliputi kebertangungjawaban pada kekayaan negara dan permasalahan negara. Ketiga patriotisme mencakupi aspek beragama dan moral bagi memperbaiki situasi bangsa dan negara. Keempatnya, patriotisme mencakupi kesediaan secara sukarela berkorban demi bangsa dan negara. Disarankan empat perkara inilah yang wajar diterapkan sebagai elemen Indeks Patriotisme Negara dalam pengukuran yang dilaksanakan.

Jika dahulunya pengukuran patriotisme diterjemahkan sebagai tindakan mengangkat senjata melawan penjajah, tetapi hari ini kita telah merdeka dan pengertian kolonialisme sudah tiada maknanya lagi. Maka patriotisme pun harus diertikan dengan cara berbeza. Patriotisme yang harus diindekskan sekarang adalah keupayaan mewujudkan kebaikan bagi semua pihak di Malaysia.

Gagasan 1Malaysia memberi asas teras untuk diterjemahkan dalam pengertian patriotisme lebih luas. Harus disedari musuh utama patriotisme kini adalah sikap yang merugikan perpaduan bersama, ketidakpedulian pada urusan bermasyarakat dan keegoan bangsa yang hanya memikirkan kepentingan peribadi, keluarga ataupun golongannya.

Di sisi lain, patriotisme sekarang harus diertikan sebagai keupayaan memperjuangkan dan menegaskan jati diri membina negara bangsa serta melawan kecenderungan negatif yang membunuh negara seperti rasuah.


Pameran sejarah mendedahkan pelajar kepada semangat

Malaysia sebuah visi bersama

Dalam mempersoalkan semangat patriotisme, wajar juga kita bertanya apa itu Malaysia? Malaysia adalah sebuah visi bersama daripada warganegaranya yang wujud melalui perjanjian sosial untuk membentuk negara bangsa. Malaysia adalah usaha kita bersama walaupun berbeza bangsa dan agama. Berpaksi Rukun Negara, kita membina patriotisme sebuah negara Malaysia.

Sedihnya kini dengan nikmat kemajuan dan pembangunan negara, visi bersama Malaysia itu seolah-olah makin dilupakan. Kita harus kembali mengingati kemerdekaan Malaysia adalah jambatan emas bagi mencipta masyarakat adil, makmur dan progresif. Kegoyahan dan kelemahan patriotisme dalam kalangan generasi kini, sedikit sebanyak seolah-olah menggoyang dan menghakis keharmonian Malaysia.

Kini visi bersama yang luhur kian ditutupi oleh rasuah dan pelbagai masalah sosial lain yang membuat hidup bersama menjadi semakin sulit. Kita boleh membenci pemimpin yang rasuah atau terorisme merosakkan kesejahteraan hidup kita. Namun, kita sebagai warganegara Malaysia tidak pernah boleh dan tidak sepatutnya membenci Malaysia sebagai visi bersama.

Jelas bahawa patriotisme di Malaysia kian luntur. Banyak orang terlena oleh buaian teknologi sehingga sanggup mengorbankan Malaysia. Teknologi moden, iaitu internet, WhatsApp, Twitter, Telegram dan pelbagai medium lagi kini telah dijadikan senjata membunuh rasa sayang negara sendiri.

Teknologi dilihat telah membantu mempercepatkan lagi usaha menghancurkan patriotisme. Teknologi digunakan bagi kepentingan diri sendiri. Bagi mereka ini, sikap patriotisme dalam era teknologi dan dunia tanpa sempadan tiada ertinya untuk mereka. Ada dalam kalangan mereka seolah-olah memiliki patriotisme tinggi, namun hanya menggunakan alasan berbaur patriotisme bagi menyembunyi cita-cita peribadi untuk menjadi mereka terkenal.

Mereka berprestasi tinggi dipelbagai bidang, meraih penghargaan antarabangsa dengan membawa nama Malaysia. Namun jika diselidik lebih mendalam, motif mereka adalah untuk peribadi dan tidak ada hubungannya dengan rasa cinta pada bangsa dan negara. Mereka ini egois berselimutkan cita-cita patriotisme.

Memang sulit untuk mencintai jika kita tidak mempunyai alasan untuk mencintai. Kita diminta mencintai Malaysia. Namun kita tidak pernah diberi alasan yang cukup masuk akal, mengapa kita harus mencintainya? Akibatnya cinta kita separuh hati. Kita perlu mencintai Malaysia kerana seluruh hidup kita berhutang pada sistem mahupun visi bersama yang disebut Malaysia. Kita adalah Malaysia. Kita memiliki, sekaligus dimiliki oleh bangsa dan negara kita.

Miliki integriti

Namun memiliki haruslah dengan cinta dan bukan dengan niat untuk menguasai. Memiliki dengan niat menguasai pada akhirnya sama dengan menghancurkan. Harus dihapuskan perbezaan visi peribadi dan visi bangsa.

Jika kita bertanggungjawab pada diri kita, maka kita juga harus bertanggungjawab pada negara bangsa tempat kita hidup. Perlunya tidak ada perbezaan yang sangat signifikan antara kepentingan peribadi di satu sisi dan kepentingan negara bangsa di sisi lain. Sikap patriotisme hanya dapat berjalan jika kita memiliki integriti.

Patriotisme harus lebih kerap diperkatakan. Wacana mengenai patriotisme harus lebih banyak dilaksanakan untuk generasi muda harapan bangsa. Semuanya demi mewujudkan cita-cita negara bangsa Malaysia maju. Pembentukan dan penyediaan Indeks Patriotisme Negara satu keputusan bijaksana dan tepat serta seiringan dengan usaha transformasi Malaysia. Indeks Patriotisme Negara mampu menggali rasa jiwa visi bersama Malaysia. Indeks Patriotisme Negara adalah aras kecintaan Malaysia. Tahniah BTN kerana mewujudkan Indeks Patriotisme Negara.

0 Komentar untuk " Indeks patriotisme pupuk keharmonian bermasyarakat "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ