TERUJA tatkala mata ini melihat anak-anak cilik mendaftar buat pertama kalinya di Kolej Permata Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Nilai, Negeri Sembilan Sabtu lalu sambil ditemani ibu bapa.
Pastinya tiada siapa menduga mereka ini adalah kanak-kanak genius dengan memiliki tahap IQ tinggi berbanding kanak-kanak yang seusia dengan mereka.
Istimewanya lagi, kesemua anak-anak ini boleh membaca al-Quran dengan baik dan berjaya menghafal beberapa juzuk al-Quran sebagai persediaan untuk memasuki Kolej Permata Insan ini.
Pelajari ilmu dunia, ukhrawi
Pelajar Kolej Permata Insan, Ahmad Faiz Yazid, 13, berkata, peluang memasuki Kolej Permata Insan adalah pengalaman paling bermakna buat dirinya.
Jelas tersemat di mindanya untuk melakar kejayaan dan menjayakan aspirasi kolej ini demi agama, bangsa dan negara.
"Saya ada dapat tawaran daripada sekolah dan kolej terkemuka yang lain, tapi saya pilih Kolej Permata Insan kerana kurikulumnya unik dengan menggabungkan ilmu al-Quran dan Sunnah dengan ilmu konvensional seperti sains dan matematik.
“Bukan calang-calang orang yang boleh masuk kolej ni. Saya tak sabar untuk mengikuti pembelajaran di kolej ini dan menjadi pelajar perintis," tambah Faiz yang turut meminati rancangan kartun Transformers sama seperti kanak-kanak lain seusia dengannya.
Menurut anak kelahiran Kelantan ini lagi, dia sering dijemput ke sekolah-sekolah untuk memberi motivasi kepada rakan seusia dengannya. Kerana petahnya Faiz berkata-kata dia pernah dinobatkan sebagai johan Pidato Piala Diraja peringkat kebangsaan pada tahun 2013 hingga 2014.
Tidak sabar ikuti kelas
Hasya Amalina Adnan dari Sabah, kelihatan lebih teruja untuk bersama kenalan barunya bagi mengikuti pengajian di Kolej Permata Insan.
"Saya difahamkan sistem pembelajaran di sini berbeza daripada sekolah biasa di mana ia hampir sama dengan sistem pembelajaran di universiti. Itu yang membuatkan saya tak sabar.
"Perasaan saya membuak-buak untuk mengikuti sesi pembelajaran bersama rakan baru daripada pelbagai latar belakang. Azam saya adalah berusaha untuk menjadi yang terbaik dan membanggakan keluarga," katanya yang meminati makanan sushi dan suka menonton drama Korea.
Faiz dan Hasya adalah sebahagian daripada kumpulan pertama pelajar terdiri daripada 30 lelaki dan 20 perempuan dipilih khas dari seluruh negara untuk mengikuti pengajian peringkat menengah Asas 1 (Tingkatan 1) di Kolej Permata Insan Usim.
Sebahagian besar mereka adalah pelajar yang mengikuti program Permata Insan, dilancarkan secara rasminya oleh Penaung Program Permata, Datin Seri Rosmah Mansor, pada 12 Mac 2010 lepas.
Saringan untuk masuk
Anak-anak genius ini melalui saringan yang dijalankan di seluruh negara untuk kanak-kanak seawal umur 8 hingga 12 tahun. Antara ujian yang perlu dilalui sebelum dipilih untuk menyertai Permata Insan adalah seperti ujian IQ, ujian bertulis dan ujian hafazan dan membaca al-Quran
Pengarah Pusat Permata Insan, Prof Datuk Dr Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim berkata, kanak-kanak ini kemudiannya menyertai kem Permata Insan yang dijalankan sebanyak dua kali setahun semasa cuti persekolahan diseliakan oleh guru pembimbing dengan menggunakan kaedah pembelajaran inovatif melalui teknologi terkini.
0 Komentar untuk " Gabungan aqli, naqli "