Corat-coret Tahun Baharu Cina - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Corat-coret Tahun Baharu Cina

KUALA Lumpur 20 Februari - Pada hari kedua perayaan Tahun Baharu Cina 2015, sebelum dan selepas sembahyang fardu Jumaat, saya bermimpi siang hari - satu kegemaran saya - mendapat sesuatu yang mungkin tidak dapat dicapai lagi.

Apa pun saya telah menasihati seorang kawan yang tidak putus-putus berangan dan ingin menduduki tempat tertinggi dalam kepimpinan negara, jangan putus asa selagi dia bernafas.

Selagi bernyawa selama itulah ada harapan! Sama ada kepinginnya itu realis atau sebaliknya cerita lain. Saya juga mempunyai satu dua hajat, termimpi-mimpi menunggu tercapai cita-cita itu.

Tidak salah, bahkan digalakkan bercita-cita hatta bermimpi apa yang diidami. Ramai antara kita selalu bermimpi jadi masyhur, mendapat kehormatan (honour), kekuasaan (power), kekayaan (wealth), kesihatan (health) dan bagi wanita lelaki/kekasih kacak, tinggi dan hitam manis (tall, dark and handsome). Lelaki pula wanita cantik molek yang mengagumkan.

Saya banyak masa lapang - malas, selalu lesu dan lengai (lethargic); tatkala bosan, boring saya suka membelek-belek buku atau membaca ulasan buku. Mutakhir esei End of an Empire tentang buku berjudul The Fall of the Ottomans: the Great War in the Middle East, 1914 -1920 oleh Eugene Rogan, penerbitan Allen Lane berharga 25 Pound Sterling atau lebih kurang RM150, tebalnya 512 muka surat atau duduk termenung, di hujung minggu ini berkenaan media digital, media cetak dan tugas wartawan sekarang.

Ringkasan buku The Fall of the Ottomans mengikut esei Mark Mazower (dalam FT Weekend 14 Februari) kerana salah hisab, pilih sekutu / kawan / pakatan  dalam kes ini the Central Powers. Empayar Ottoman hancur, maka lahirlah apa yang dikenali geopolitik Timur Tengah tetapi sekarang disebut sebagai Near East.

Dengan kelahiran Timur Tengah bermulalah penglibatan secara besar kuasa barat, terutama British di wilayah itu, sekali gus mencetuskan rebutan telaga minyak atau emas hitam yang membawa konflik dari masa itu sehinggalah kini. Untuk memperkuatkan kedudukannya imperialis British mengguna monarki Arab.

Siapa yang diragui taat setia kepada London digulingkan dan diganti dengan seorang yang boleh dimanipulasi oleh Whitehall. Manipulasi British telah mengakhiri 400 tahun pemerintahan empayar Ottoman dan diganti oleh monarki Arab yang membenarkan imperialis British terus menguasai Suez Canal sehingga tahun 1954.

Lagi teruk, tidak memeranjatkan, imperialis British telah memusnahkan institusi, jentera pentadbiran dan ketenteraan empayar Ottoman yang telah berjaya mengekalkan empayar itu selama empat kurun. Mustapha Kemal Ataturk muncul daripada keruntuhan empayar Ottoman. Republik Turki lahir dari sisa empayar Ottoman.

Dalam peperangan Dunia Kedua, bijak belajar daripada pengalaman pahit terdahulu, Turki berkecuali. Kenapa, tanya Mazower, Istanbul tidak berkecuali dalam tahun 1914? Mula-mulanya berkecuali tetapi akhir bersama dengan the Central Powers yang membawa padah pada Istanbul.

Tanpa Israel - dibentuk dan dianjurkan oleh kuasa Barat tahun 1948 - peta Timur Tengah serupa seperti dalam tahun 1920-an. Membaca buku Rogan, tegas Mazower, “takes us back to the moment of their birth, a moment in which one imperial order collapsed and gave way to another.” Buku ini menolong kita memahami masalah yang wujud di  Timur Tengah semenjak itu dan cabaran yang terus dihadapi.

Peranan wartawan kini

Ramai juga pembaca memberitahu saya mereka seronok, gembira, meradang dan rengas dengan sesetengah tulisan wartawan, baik wartawan media digital atau media cetak.

Sungguhpun mereka kecualikan saya, saya tidak percaya mereka suka dengan semua komen saya. Mungkin mereka berbudi bahasa, menghormati pendapat saya sungguhpun mereka tidak bersetuju dengan semuanya.

Apa pun, kelihatan lebih ramai peminat daripada pembenci. Kalau mereka tidak suka jangan baca!. Saya faham dan majoriti penulis mengerti jika pembaca tidak bersetuju dengan pendapat kami, pembaca bebas berbuat demikian.

Begitu juga penulis bebas menulis asalkan jangan memfitnah dan menghasut. Penulis wajar menulis kepercayaan mereka dan isu yang relevan dengan tuntutan zaman sama ada tersirat atau berterus-terang dengan segala risikonya.

Dulu dan kini pun ada wartawan liberal, kiri, sederhana, ada konservatif dan pelampau kanan, ramai pula oportunis, ada penulis “sampul surat” atau upahan; ada juga spy bertopengkan journalisme.

Ada yang kerjanya to distort and spin facts and news  - mereka yang mengilas, mengherotkan dan menyengetkan berita seperti memintal benang atau memberi maklumat dengan gambaran yang paling positif walaupun keadaan sebenarnya tidak.

Wartawan yang pro parti tertentu atau kerajaan boleh menulis mengikut dasar parti atau kerajaan atau seperti ditegaskan oleh Speaking, toe the party or the government line tetapi janganlah keterlaluan sangat hingga hilang pembaca, pengaruh dan kredibiliti.

Kini wujud satu trend untuk menulis apa yang dikatakan politically correct. Walaupun saya dinosaur di alam siber, saya jangka media cetak akan terus hilang pembaca dan pengaruh. Suka-duka tempatnya akan diambil alih oleh media digital. Tetapi buku, pada pendapat saya, akan terus popular; sekurang-kurangnya survive lebih lama daripada media cetak!

Wartawan dan pengarang, pada keseluruhannya, bukan wira juga bukan pengecut. Mereka yang sederhana dan berkredibiliti adalah propagandis - lebih tepat saya harus namakan mereka rekoder atau pencatat draf sejarah.

Salah faktor dan slant laporan mereka draf sejarah itu akhirnya akan menjadi sejarah tidak benar. Sekumpulan wartawan dan pengarang atau editor semua zaman berpengaruh, ada juga yang amat berpengaruh yang menjadi kingmaker dalam politik negara.

Ramai antara mereka menjadi penasihat dan penulis ucapan politikus utama. Ada juga yang menjadi politikus kanan. Wartawan pertama di Malaysia yang menjadi anggota jemaah menteri atau Kabinet ialah Allahyarham Abdul Aziz Ishak, pemberita kanan Utusan Melayu di Kuala Lumpur dalam lewat 50-an.

Dia Menteri Pertanian kita yang pertama dalam Kabinet pertama Tunku Abdul Rahman. Dia akhirnya dipecat kerana pertelingkahan dengan Tunku. Selepas pembentukan Malaysia, ada beberapa bekas wartawan lagi yang menjadi menteri - bukan semuanya berbakat tetapi mereka, kata seorang pemerhati were the wrong persons at the right time!

Sekarang wujud beberapa jenis media dan mungkin pada masa depan akan wujud media yang lebih canggih dari apa yang ada sekarang. Apa pun media arus perdana tidak sepopular berbanding  dengan media baharu iaitu online news dan commentaries.

0 Komentar untuk " Corat-coret Tahun Baharu Cina "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ