Biochar penyubur tanah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Biochar penyubur tanah

DENGAN hanya menaburkan arang sisa buangan kelapa sawit atau dikenali biomas sawit ke permukaan tanah, tanah mampu menjadi subur dalam masa beberapa hari, bergantung pada proses pereputan dan penguraian kepada tanah untuk mendukung kehidupan tumbuhan di muka bumi.

Meskipun biomas sawit hanyalah dianggap ‘sampah’ selepas tandanya diproses menjadi minyak, namun siapa sangka ia sebenarnya boleh menjadi penyelamat kepada hidupan hijau, di mana tumbuhan menyediakan makanan dan oksigen, kemudian menyerap karbon dioksida dan nitrogen.

Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa sisa buangan sawit mampu menghasilkan baja yang berkualiti. Biomas sawit juga boleh dianggap sebagai sumber boleh diperbaharui yang sangat sesuai untuk tujuan ini.

Menyedari potensi itu, sekumpulan penyelidik Bioteknologi Alam Sekitar dari Universiti Putra Malaysia (EB Group UPM) yang diketuai oleh Prof Dr Mohd Ali Hassan melakukan penyelidikan untuk membangunkan teknologi biokompos daripada sisa tandan sawit kosong (EFB), pada 2009.

Hasil penyelidikan itu, teknologi bio-arang (biochar) dibangunkan mulai 2011. Penyelidikan itu hasil kerjasama antaranya UPM, KyuTech, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Felda.

Ia telah dimasukkan ke dalam Strategi Biomas Nasional 2020 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kuala Lumpur pada 2011.

Menurut Pengurus Kompleks Biorefineri EB Group UPM, Mohd Ridzuan Othman, biokompos dan biochar diperbuat daripada EFB yang diambil daripada kilang minyak sawit.

“Untuk menghasilkan biochar yang berkualiti tinggi, EFB akan dibakar dalam keadaan oksigen terhad (carbonization) selama beberapa hari sebelum dibungkus. Manakala biokompos pula dihasilkan melalui teknik fermentasi selama 40 hari.

“Selain menjadi bahan bakar, biochar EFB juga boleh digunakan untuk proses pemuliharaan tanah di mana ia membantu menyediakan habitat untuk mikroorganisma pengikat nitrogen yang menyuburkan tanah.

“Biokompos EFB pula akan memberikan nutrien tambahan kepada tanah tersebut untuk meningkatkan proses penyuburan tanah dan pertumbuhan pokok,” katanya.

Biochar juga boleh kekal stabil untuk jangka masa panjang di dalam tanah bagi membantu memperbetulkan nilai keasidan tanah, di samping mengekalkan kelembapan nutrien dalam tanah.

Cabaran pasarkan produk baharu

Melihat potensi besar inovasi biomas kelapa sawit, Pengasas World Garage Resources, Jebat Putra Mohd, mengambil peluang memasarkan produk inovasi baja yang diproses daripada EFB itu.

Ini kerana, katanya, berbanding tanaman lain, kelapa sawit merupakan antara industri terbesar di Malaysia yang menghasilkan biomas paling banyak dalam sisa buangan pertanian.

“Sebanyak 115 juta tan sisa biomas pepejal dan 80 juta tan sisa biomas cecair dihasilkan setiap tahun.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 18 juta tan adalah sisa tandan sawit kosong EFB,” katanya.

Jebat Putra sendiri mengakui agak sukar untuk memasarkan produk inovasi yang baru sahaja diperkenalkan di negara ini memandangkan persepsi masyarakat yang sukar menerima perkara baharu kerana rasa kurang yakin.

Namun, sebagai usahawan, Jebat Putra akhirnya mula mengeluarkan dan menjual baja EFB menerusi jenama Bunch Biochar buat pertama kalinya pada Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (Maha) 2014, November tahun lalu.

“Saya hanya memperkenalkan 100 beg pada promosi pengenalan yang dijual pada harga RM5 sekilogram dalam pameran Maha 2014 di Serdang, baru-baru ini.

“Alhamdulillah, sambutannya agak menggalakkan dan baja Bunch Biochar habis dijual pada pameran itu,” katanya yang menubuhkan World Garage Resources, sejak 2008.

Jebat Putra yang juga usahawan tani menerusi program inkubasi UPM berkata, ketika ini, pengeluaran baja Bunch Biochar bergantung kepada permintaan daripada pelanggan.

“Buat masa ini, baja ini diproses di Pusat Teknologi Biomass, EB Group UPM, memandangkan mereka tidak membuat pengeluaran secara besar-besaran.

“Bagaimanapun, jika ada permintaan tinggi daripada pelanggan, saya akan meminta kilang untuk memprosesnya dalam kuantiti yang lebih besar untuk memenuhi kehendak pelanggan,” katanya.

Pada tahun ini, dia merancang meningkatkan promosi produk baharu ini secara agresif kepada pihak industri, nurseri dan pengguna isi rumah.

“Kami bercadang untuk mengikuti program yang dianjurkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam usaha untuk menarik potensi pelanggan baharu,” katanya.

Selain Bunch Biochar, World Garage Resources mengeluarkan dan memasarkan baja daripada hampas sawit, Bunch Bio Fertilizer juga berperanan sebagai agen penyubur tanah.

0 Komentar untuk " Biochar penyubur tanah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ