Bapa bimbing urus perniagaan butik - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Bapa bimbing urus perniagaan butik

DEK minat yang mendalam terhadap perniagaan dan dunia fesyen, ditambah pula atas dorongan insan tersayang dalam hidup iaitu bapanya, seorang wanita tekad untuk menceburi bidang perniagaan.

Demikian kisah permulaan Elia Izzati Zulhisham yang merupakan pengasas butik Muslimah Twenty2 yang terletak di Bangsar, Kuala Lumpur.

Kata wanita berkelulusan dari London School of Business and Finance, United Kingdom (UK), London ini, kerana minat sejak kecil itu dia kembali ke tanah air selepas memperoleh sijil anugerah Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) untuk memulakan perniagaannya.

“Saya mula menceburi bidang perniagaan sebelum saya belajar di luar negara dengan bekerja sebagai akauntan di syarikat pengiklanan ayah saya.

“Mula daripada situ, saya diberi pendedahan sedikit demi sedikit mengenai pengurusan peniagaan terutamanya dari segi pengurusan kewangan,” katanya.

Elia Izzati berkata, selama berkecimpung dalam bidang perniagaan, ayahnya merupakan tulang belakang yang sentiasa membantu termasuk memberi tunjuk ajar kepadanya.

“Ayah saya ada syarikat pengiklanan sendiri. Walaupun perlu uruskan syarikat,  tapi dia tidak pernah membiarkan saya sendirian menguruskan perniagaan butik saya.

“Dia akan meluangkan lebih masa di butik saya berbanding syarikatnya bagi memastikan saya mempelajari dan memahami selok-belok perniagaan dengan baik, ” katanya.

Ikut perkembangan trend berniaga online

Menceritakan perjalanan hidupnya sebagai seorang usahawan, Elia Izzati berkata sebelum membuka Butik Twenty2, dia memiliki butik pakaian Muslimah di Ampang.

“Sebelum saya buka butik di Ampang, saya buat perniagaan secara dalam talian (online) dengan menjual pakaian Muslimah yang dihasilkan pereka tempatan.

“Ia lebih kurang macam laman sesawang lain yang menjual pakaian kepada pengguna tetapi saya fokus pada pakaian Muslimah sahaja ketika itu,” kata Elia Izzati.

Menurutnya, selepas melihat keperluan menubuhkan butik maka wanita itu membuka butik pakaian di Ampang bersama rakan kongsinya.

“Pada masa sama, saya buka booth di Bangsar ketika itu dan saya lihat pembeli di Bangsar begitu menyukai pakaian Muslimah yang saya jual. Sambutan memang begitu menggalakkan.

“Menyedari keperluan ini, saya ambil keputusan buka butik di Jalan Maarof Bangsar selepas jumpa kedai di lokasi sesuai,” katanya.

Elia Izzati turut menghasilkan koleksi pakaian Muslimah dikenali sebagai Abaya di bawah jenama sendiri, Dua.

Pelanggan puji layanan mesra

Bagi Elia Izzati, tempoh dua tahun  menjadi usahawan dilihat amat  mencabar seiring dengan industri fesyen yang semakin berkembang.

“Saya mula berniaga ketika umur 25 tahun. Selama saya berniaga cabaran paling getir adalah dari segi persaingan yang saya hadapi berbanding ketika mula-mula berniaga.

“Pelanggan sekarang sentiasa inginkan produk terbaharu dan mengikut trend serta fesyen masa kini, jadi saya perlu memastikan pakaian dan produk yang saya jual memenuhi kehendak mereka,” katanya.

Ditanya mengenai kejayaan paling membanggakan sepanjang menjadi usahawan Elia Izzati berkata, pujian dari pelanggan mengenai perkhidmatan yang diberikannya.

“Tiada perasaan dapat saya gambarkan bila pelanggan yang datang ke butik memuji kualiti barangan serta kemesraan perkhidmatan kami beri.

“Saya sentiasa menitikberatkan dan memastikan pelanggan merasai kepuasan bila membeli di butik saya dan percaya itu itu akan mendorong mereka berkunjung semula pada masa depan,” katanya.

Akui usahawan ini, dia sentiasa memastikan pekerjanya memberi layanan baik kepada pelanggan.


BIODATA

Panggilan: Elia
Pekerjaan: Pemilik Butik Twenty2
Pendidikan: Universiti Teknologi Mara - Certified Accounting Technician (CAT) London School of Business and Finance - Association of Chartered Certified Accountants (ACCA)
Pengalaman kerja: Eksekutif Kewangan Oranje-ISC Sdn Bhd (2011) Pengarah Urusan EILIYA Shd Bhd (2013-2014)

0 Komentar untuk " Bapa bimbing urus perniagaan butik "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ