Agenda Melayu sama Malaysian Malaysia - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Agenda Melayu sama Malaysian Malaysia

PERLEMBAGAAN Malaysia, bagi saya, adalah sebuah karya yang mencerminkan betapa serunya debat dan perbincangan berlaku sebelum sesuatu Fasal diterima, terutamanya Fasal-Fasal 152 dan 153 berkenaan penggunaan bahasa Melayu dan status peribumi di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Apabila diterima apa yang dianggap khusus untuk mereka, terdapat pula apa yang berlapis kepada orang lain sebagai imbangan keadilan.

Peribumi boleh mendapat layanan khusus dalam kemasukan ke pusat pengajian tinggi namun layanan itu tidak boleh menyekat orang lain untuk mendapat tempat di situ. Begitu juga dalam hal pengagihan permit untuk menjalankan apa-apa saja perniagaan dan ketukangan.

Hakikat ini boleh dipanjangkan ke dalam semua lapangan, termasuk perkhidmatan kerajaan dan amalan agama.

Apabila berlaku kemacetan dalam peruntukan-peruntukan itu, menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong (atau raja di peringkat negeri) untuk mencari jalan keluar tanpa menjejaskan mana-mana pihak.

Diperuntukkan bahawa perdana menteri yang menjadi penasihat baginda dalam menentukan keputusan baginda.

Walaupun begitu, perdana menteri ialah ‘creature’ atau pembentukan politik. Beliau ialah pemimpin parti politik, sedangkan politik sering didefinisikan sebagai ‘seni segala kemungkinan’.

Kini baik Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat, faktor imbangan kepentingan kaum tidak boleh diketepikan. Dalam prosesnya, tradisi dan sejarah telah memancangkan jalan keluar: berkompromi. Tolak-ansur ini pula dipengaruhi oleh kekuatan pihak-pihak yang terlibat.

Jika satu pihak ternyata kekuatannya dalam mendapat sokongan dalam bentuk jumlah undi dalam pilihan raya, maka kemungkinan besar kompromi itu berat ke arahnya.

Tidak kurang pula kebimbangan kalau-kalau satu pihak yang kurang kuat itu mampu memberikan ruang undi kemenangan atau sebaliknya, kekalahan.

Perdana menteri pasti cenderung mencari jalan agar hasil keseluruhannya tidak menjejaskan parti atau ikatan parti-parti di bawahnya mendapat kuasa untuk menubuhkan kerajaan. Tidak guna menjadi popular kalau kalah pilihan raya, kata si bijaksana politik.                

Kini terdapat tanda-tanda ada grup tertentu mahu menonjolkan apa yang dipanggil Agenda Melayu. Ia tentulah satu inisiatif yang sangat baik, dalam erti kata tidak ada orang lain melainkan Melayu sendiri yang boleh memperjuangkan kepentingannya.

Dulu, dalam tahun 1967, terdapat satu demonstrasi di pekarangan kediaman dan pejabat Almarhum Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri ketika itu, tentang status bahasa Melayu.

Perlembagaan memperuntukkan 10 tahun selepas merdeka, bahasa Melayu bukan saja genap menjadi bahasa kebangsaan dan rasmi, malah harus digunakan di parlimen dan mahkamah, apalagi dalam pusat pengajian tinggi dan perkhidmatan kerajaan.

Bercakap tentang Agenda Melayu, saya terkenang Lee Kuan Yew. Beliau mempromosikan Malaysian Malaysia pada awal pembentukan Malaysia.

Apa yang berlaku ialah Malay Malaysia, katanya. (Ulangannya terdapat dalam program Discovery di Astro dekat dengan Persidangan Umno 2013). Jika dicerakinkan secara halus, Malaysian Malaysia bukanlah satu idea yang tidak baik untuk orang Melayu.

Besar kemungkinan ia boleh menegaskan lagi Melayu dan kepentingannya.

Ambil AS sebagai contoh. Dari jumlah penduduknya sebanyak 310 juta, 70 peratus ialah majoriti Caucasian (kulit putih). Yang selebihnya ialah Hispanics (darah campuran Sepanyol), Afro-Amerika dan lain-lain lagi.

Tindakan penegasan AS, dipanggil ‘affirmative action’, ialah untuk memastikan American America (tanpa menyebutnya) berlaku. Ini bererti majoriti Caucasians harus berada dalam ketenteraman agar seluruh American kekal tenteram.

Justeru, dalam ketenteraman begitu, Hispanics, Afro-Amerika dan lain-lain akan tenteram menjalani kehidupannya.

Dengan kata-kata lain, majoriti Peribumi (termasuk Melayu) di Malaysia harus bertenteraman dengan aspek-aspek kehidupan mereka terlebih dulu demi menimbulkan kemudahan umumnya memenuhi potensi kehidupan Malaysian keseluruhannya. Maka Agenda Melayu harus wujud bersama-sama dengan Agenda Malaysia.

Prinsip ‘mengenali kaum tidak menurut pekerjaan’ dan ‘menghapuskan kemiskinan tanpa mengira kaum’ dalam Dasar Ekonomi Baru yang digubal selepas tragedi 13 Mei 1969 masih relevan dan ia amat wajar diberikan sikap positif oleh semua Malaysian.


* Tan Sri Adam A. Kadir ialah mantan Presiden Senat

0 Komentar untuk " Agenda Melayu sama Malaysian Malaysia "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ