Ujian ini amat getir untuk semua - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Ujian ini amat getir untuk semua

KERING setelah hampir dua minggu terendam, kawasan-kawasan landaan banjir di negeri-negeri Pantai Timur bagaikan dilanda tsunami. Apa yang terlihat di sana-sini adalah kemusnahan.

Rumah runtuh dihanyutkan air, perabot dan barang-barang peribadi berserakan dalam lumpur. Pokok tumbang, jambatan roboh, ternakan menjadi bangkai. Serba-serbi lintang-pukang.

Walaupun tidak diisytiharkan, suasana keliling seperti darurat. Air mata sudah tidak bererti. Semua diselimuti kepiluan melihat kehancuran. Setelah melalui banjir paling buruk dalam sejarah, Kelantan, Terengganu dan Pahang, hampir lumpuh.

Isnin lalu banjir mengganas pada puncaknya. Jumlah keseluruhan mangsa banjir seluruh negara, termasuk Perak, Johor dan Selangor ialah 225,731 orang, dengan Negeri Serambi Makkah paling tinggi 151,072 orang, Terengganu 33,292, Pahang 33,225, dan Perak 7,813.

Dua puluh satu nyawa hilang. Jalan-jalan utama ke Pantai Timur sudah ditutup kerana ditenggelami air di beberapa laluan. Berpuluh ribu mangsa hidup bergelap sebab tiada bekalan elektrik, berikutan penutupan banyak stesen penjana elektrik. Sudahlah bergelap, tiada bekalan air bersih untuk minuman.

Lebih menyedihkan tiada bekalan makanan. Seperti yang dilapor media ada yang terpaksa menadah air hujan untuk merendam mi segera sebagai makanan.

Meski orang ramai bermurah hati menderma makanan juga keperluan, dan kerajaan menyediakan makanan yang cukup untuk membantu, banyak tidak dapat diagihkan ke pusat pemindahan mengikut jadual, gara-gara terputusnya hubungan darat.

Baik di kawasan banjir, juga tempat-tempat lain yang tidak terjejas, kita semua kena mengakui dan menginsafi! - bahawa negara dalam keadaan berduka. Bayangkan sekiranya yang merintih dan menderita di pusat-pusat pemindahan itu adalah kaum keluarga dan sanak-saudara kita.

Banjir memang cerita duka. Air melimpah di mana-mana, tetapi tidak ada air bersih untuk minuman. Makanan bertan-tan telah disediakan, tetapi tidak boleh diagihkan kerana masalah pengangkutan.

Kita selalu mendabik dada mendakwa ada segala kecanggihan. Tetapi terbukti ada ketikanya kecanggihan pun tidak boleh membantu. Secanggih-canggih peralatan dan prasarana yang kita miliki, ada lagi yang lebih canggih...

Kita semua dilanda musibah, dan menghadapi ujian amat getir sekarang. Pada saat-saat getir inilah kita perlu bersama untuk membantu. Teruskan doa - bagi yang Islam doa dalam solat hajat dan solat-solat lain.

Selain doa penuh keinsafan, lakukan apa yang kita boleh untuk membantu mangsa. Sumbangkan apa yang kita ada - makanan, pakaian, ubat-ubatan, RM, dan lain-lain keperluan-menerusi NGO-NGO yang mengendalikan bantuan.

Sayang sekali dalam keadaan genting seperti ini pun, ada sahaja yang tidak kena dengan kita. Di Johor ada yang hendak membantu tetapi dihalang. Adun DAP Mengkibol, Tan Hong Pin mendakwa, beliau dihalau oleh pihak berkuasa tempatan ketika mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir di Kluang, Johor.

“Kami dipaksa membawa balik bekalan yang diagihkan di pusat pemindahan itu,” katanya seperti yang dilaporkan media. Beliau bersama rombongannya turut diminta beredar dari sebuah lagi kawasan, Kampung Bentong Dalam oleh ketua kampung tersebut dengan alasan kehadiran mereka tidak diundang.

Di Kelantan, Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub menempelak mereka yang menuduhnya melambatkan bantuan banjir kerana mahu wajahnya dan logo BN dicetak pada kampit beras yang diagihkan itu.

Memang pada kampit beras yang diedarkan kepada mangsa banjir itu tertera wajahnya, tetapi katanya itu adalah baki beras ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-13.

Ketua Umno Machang itu menegaskan, seperti yang ditulis di laman Facebook: “Bila bencana berlaku pada hari 1 & 2, keadaan bekalan tak cukup, saya keluarkan semua stok 500 kampit untuk diagihkan segera.”

Harap-harap dua insiden ini - di Johor dan Kelantan - adalah kes terpinggir. Cukup sudah kita bercakaran politik selama dua pilihan raya ini. Orang ramai sudah bosan dengan pertelagahan politik yang tidak habis-habis ini. Sudah terbukti politik yang keterlaluan selama ini telah memecahkan kita.

Ini masa berduka, hentikan serang-menyerang. Semua orang tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik perlu bersatu dan menjadikan musibah ini sebagai asas membuktikan ‘Kitalah Malaysia’. Mudah-mudahan banjir menyatukan kita semula.

0 Komentar untuk " Ujian ini amat getir untuk semua "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ