Solstis musim dingin cetus ilham mainan cahaya - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Solstis musim dingin cetus ilham mainan cahaya

MALAM lebih panjang pada solstis musim dingin adalah fenomena astronomi menandakan bermulanya musim berkenaan di Hemisfera Utara yang biasa berlaku sekitar 21, 22 dan 23 Disember setiap tahun, mungkin dianggap biasa bagi sesetengah penduduk di rantau sebelah sana.

Namun bagi kalangan pereka, ia adalah satu suasana yang memungkinkan mereka mengilhamkan sesuatu.

Oleh kerana gelap malam selalunya dikaitkan dengan cahaya, solstis musim dingin tahun ini yang dikatakan berlaku pada Ahad, 21 Disember, memberikan sesuatu kepada dua pereka dari negara Scandinavia yang menyuburkan ilham mainan cahaya sebagai penataan di ruang terbuka, bagaikan menyambut kehadiran hari yang hanya dapat dinikmati seketika.

Sememangnya kewujudan cahaya dalam remang malam, mampu menimbulkan pelbagai rasa dan memberikan semacam satu suasana mendamaikan ditambah tiupan bayu utara yang mencengkam hingga ke tulang. Sememangnya juga, kegelapan ini banyak mengilhamkan pelbagai rekaan lampu dan kaki lilin di negara persekitaran Nordic yang sangat dikenali sebagai negara yang banyak menghasilkan pereka sama ada untuk rekaan ruang atau dalaman dan juga rekaan industri.

Mungkin mengambil telur sebagai inspirasi kerana beliau sendiri enggan menjelaskan rekaannya dan lebih senang membiarkan mereka yang berada sekeliling objek dihasilkan bercakap mengenainya, Simon Hjermind Jensen dari firma reka bentuk, Shjworks yang berpangkalan di Copenhagen, Denmark serta rakan kumpulannya, menghasilkan apa yang dipanggilnya, White Shinning Objects.

 Meletakkan objek berkenaan di laluan yang mengunjur sejauh 400 meter di kawasan kejiranan Husum yang terletak di pinggir bandar Copenhagen, ia menimbulkan tanda tanya di kalangan warganya yang lalu-lalang di kawasan berkenaan dan ada yang bercakap sesama sendiri apakah benda itu, yang kelihatan seperti telur dan mengeluarkan cahaya pada waktu malam.

Bagi Jensen, itu juga tujuannya, supaya orang ramai bertanya dan setiap kali pertanyaan diajukan ketika proses memasangnya, jawapan yang diberikan adalah: "Kami pun tak tahu."

Objek keluar cahaya

"Sebenarnya kami pun tidak dapat menjelaskan dengan tepat apakah benda berkenaan. Kami tahu projek yang kami laksanakan ini mengandungi lima objek putih yang bercahaya. Kami tahu objek ini akan mengeluarkan cahaya dari senja hingga fajar menyinsing. Niat dan pemikiran kami terhadap projek ini sebenarnya banyak, tetapi kami sendiri tidak dapat memberi satu jawapan yang jelas," demikian mainan kata-kata yang dikeluarkan Jensen.

Pada temu bual yang dijalankan melalui e-mel, Jensen menjelaskan, apa yang dihasilkan itu adalah objek bagi mengisi ruang sebuah perbandaran.


ARCA cahaya dan bunyi di bumbung bangunan Gothenburg's Röda Sten Konsthal, Sweden dihasilkan Kate Wilkins.

Dengan tiga lagi anggota yang terbabit dalam projek itu, arkitek landskap, Christian Bøcker Sørensen; arkitek, Jakob Ingemansson dan  Hollie Gibbons; Jensen menjelaskan: "Kami percaya bahawa ruang perbandaran bukan saja menawarkan sesuatu yang berfungsi, tetapi juga penampilan yang menimbulkan pertanyaan dan pemikiran.

"Untuk menerima jawapan adalah sesuatu yang menarik, tetapi bertanyakan soalan adalah sesuatu yang lebih hebat. Ia akan menimbulkan kesedaran dan pengetahuan kepada diri kita sendiri, generasi akan datang dan alam sekitar," tambahnya.

 Projek berkenaan yang mengandungi lima objek berbentuk seperti telur berketinggian antara 0.6 meter hingga 4.2 meter memenangi pertandingan berkenaan ruang perbandaran yang dianjurkan pihak perbandaran Conpenhagen. Sebagai pelengkap, ia disulam dengan tujuh kerusi taman, tiga petak tanaman dan 95 batu laluan. Ia menghubungkan dengan ciri-ciri antaranya mencari arah, ruang melakukan sesuatu, lampu anggun dan arca putih yang diadun dengan permukaan licin yang berkilat dan ruang perbandaran untuk rekreasi.

Laluan di mana objek berkenaan diletakkan adalah panjang dan sempit yang mengandungi nilai kawasan pinggir bandar seperti kawasan tanah terbiar dan taman. Di hujung laluan berkenaan adalah jalan yang sibuk ditempatkan objek paling besar, manakala di hujung satu lagi yang berdekatan sebuah sekolah lama dan diubah suai menjadi pusat kebudayaan komuniti, Jensen dan pasukannya menempatkan objek yang paling kecil

Objek daripada polikarbonat

Setiap objek diperbuat daripada polikarbonat setebal 2.4 milimeter yang dijahit menggunakan dawai keluli setebal 1 milimeter. Semua objek dibentuk tidak simetri dan memaparkan bentuk yang unik dengan pelbagai ukuran.

Di dalam setiap objek diletakkan lampu yang disambung dengan lampu jalan yang membolehkan ia menyala dan padam serentak dengan lampu jalan berkenaan.

 Jensen berkata, antara soalan yang diajukan mereka yang melintasi kawasan terletaknya objek itu ialah, adakah ia sejenis telur atau telur dari masa hadapan kerana permukaannya yang bersinar. Atau adakah bayang dan bentuknya yang tidak simeteri memberikan satu hubungan dengan batu. Mungkinkah batu yang diletakkan di sekeliling objek berkenaan sama dengan bentuk batu yang kita tengok pada zaman lampau?

"Sebagaimana dijelaskan sebelum ini, kami tidak dapat memberikan jawapan tepat apakah benda ini, tetapi kami berasa gembira dengan perhatian, soalan dan komen daripada mereka yang lalu-lalang.

"Kami gembira kerana inilah sebenarnya tujuan projek ini kerana kami mereka projek perbandaran yang mempunyai pelbagai fungsi dan projek yang mampu menimbulkan soalan terhadap projek itu sendiri dan asal usul objek berkenaan," kata Jensen.

0 Komentar untuk " Solstis musim dingin cetus ilham mainan cahaya "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ