Pelaburan MARA Jawap Laporan Kerugian Atas Kertas Yang Besar - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Pelaburan MARA Jawap Laporan Kerugian Atas Kertas Yang Besar

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Pelaburan MARA yang terkejut dengan satu laporan berita yang diterbitkan baru-baru ini, bertajuk "Pelaburan MARA Sees Huge Paper Losses", menyifatkannya sebagai "tidak tepat dan tidak munasabah".

Ketua Pegawai Eksekutif, Nazim Rahman, yang melahirkan rasa kesal terhadap artikel tersebut, berkata wartawan tersebut bergantung hanya pada sumber-sumber dan tidak berusaha untuk membuat pengesahan.

"Laporan itu bukan sahaja salah tetapi juga berunsur fitnah," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Artikel yang disiarkan pada 2 dan 3 Januari lepas oleh akhbar bisnes berbahasa Inggeris secara talian itu, menyimpulkan bahawa "Pelaburan MARA....dipercayai menghadapi kerugian atas kertas sebanyak RM1 bilion daripada pelaburannya."

Laporan tersebut juga menambah kerugian atas kertas berpunca daripada pegangan saham secara langsung dalam syarikat tersenarai serta melalui dana unit amanah yang diurus oleh PMB Investment Berhad.

Nazim berkata, pelaburannya dalam pasaran ekuiti adalah tidak melebihi 40 peratus daripada pelaburan keseluruhan yang turut merangkumi pasaran wang, sekuriti berpendapatan tetap dan pelaburan alternatif.

"Dengan jumlah keseluruhan pelaburan ekuiti sebanyak RM260 juta pada 31 Dis, 2014, ia menyangkal logik untuk Pelaburan MARA mengalami kerugian atas kertas sehingga RM1 bilion.

"Seandainya semua pelaburan dilupuskan, jumlah kerugian jika ia berlaku hanya melibatkan jumlah pelaburan awal," katanya lagi.

Beliau menambah, Pelaburan MARA mempunyai sistem tadbir urus dan pengurusan risiko bagi aktiviti pelaburannya termasuk dalam hal pengagihan aset strategik yang bertindak sebagai panduan prinsip bagi mencapai satu portfolio yang pelbagai dan seimbang.

PMB Invesment yang merupakan entiti berlesen di bawah Akta Perkhidmatan Pasaran Modal (CMSA), beroperasi secara berasingan sebagai syarikat pengurus dana Islam dan syarikat pengurusan saham amanah, dan bukan menjadi "penyalur" untuk Pelaburan MARA seperti yang dibayangkan oleh artikel itu.

"Ia perlu mematuhi proses pelaburan yang tegas yang diluluskan oleh Jawatankuasa Pelaburan," katanya.

sumber 

0 Komentar untuk " Pelaburan MARA Jawap Laporan Kerugian Atas Kertas Yang Besar "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ