Padah apabila kebencian ditanam - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Padah apabila kebencian ditanam

KETIKA menulis artikel ini, penulis berada di Quito ibu negara Ecuador bagi menyertai Persidangan Ahli-ahli Parlimen Asia Pasifik kali ke-23. Tentu sekali antara isu yang bakal dibincangkan adalah mengenai keperluan meningkatkan kesejahteraan dan keselamatan dunia.

Sama ada kebetulan mahupun tidak, persidangan kali ini berlangsung ketika dunia digemparkan dengan insiden pembunuhan 12 wartawan termasuk dua polis, pengarah editor dan empat kartunis di pejabat akhbar berbentuk satira Charlie Hebdo di Paris yang terkenal dengan ibu kota cinta dan kasih sayang.

Kejadian yang yang berlaku Rabu minggu lalu ini terus dikaitkan dengan militan Islam lantaran laporan yang mendakwa terdengar laungan ‘Allahuakbar’ yang dilaungkan penembak bertopeng tatkala melepaskan tembakan kepada mangsa.

Dunia pantas bersolidariti dengan pelbagai kutukan dan kecaman dilaungkan terhadap keganasan yang tidak berperikemanusiaan. Di Paris, 3.5 juta daripada pelbagai kelompok masyarakat berdemonstrasi menyatakan pendirian menentang keganasan dan militan Islam.

Apakah ini juga akan membangkitkan sentimen baru Islamophobia atau rasa fobia dan benci pada Islam dalam kalangan masyarakat Eropah belum dapat dipastikan.

Namun dalam pelbagai ruangan media, nama Islam terus menerus dikaitkan dengan insiden keganasan yang dilakukan oleh segelintir yang tidak mewakili majoriti umat Islam yang cintakan keamanan dan berpegang kepada prinsip agama yang sebenar.

Dalam semangat kita bersolidariti dengan masyarakat Eropah menentang keganasan, persoalan mendasar yang perlu diperhalusi secara tuntas tentunya apakah punca sebenar yang membangkitkan kegiatan keganasan seumpama ini.

Perlu diingat bahawa akhbar berbentuk satira Charlie Hebdo telah banyak kali mencetuskan kemarahan umat Islam lantaran menyiarkan siri-siri karikatur yang menghina Nabi Muhammad SAW dan kesucian agama Islam.

Pernah pada November 2011, pejabat operasi akhbar ini dibom selepas menyiarkan karikatur Nabi Muhammad SAW di muka hadapan akhbar dengan menggambarkan Baginda sebagai Editor tamu akhbar berkenaan.

Pada September 2012 pula akbar ini terus menyiarkan lebih banyak karikatur Nabi Muhammad SAW yang lebih menghinakan dalam bentuk lucah. Polis Perancis malah pernah menasihatkan pengarah editornya Stephane Charbonnier supaya menarik balik rancangan untuk menyiarkan karikatur-karikatur Nabi Muhammad secara hina dalam keluaran mingguannya.

Namun beliau begitu angkuh mempertahankan akhbarnya dengan meneruskan penyiaran siri-siri penghinaan terhadap Islam dan Nabi Muhammad SAW atas nama kebebasan media dan bersuara.

Malah beliau pernah mengeluarkan kenyataan bongkak dengan mengatakan, “Aku tidak takut berlakunya reaksi penentangan balas. Aku tidak punya anak, isteri, kereta mahupun hutang. Aku lebih rela mati berdiri daripada hidup berlutut”.

Mungkin atas kehendaknya itulah, beliau antara yang menjadi mangsa terbunuh dalam kejadian tembakan di pejabat Charlie Hebdo minggu lalu.

Persoalannya, apakah kebebasan bersuara sebagaimana justifikasi editor Charlie Hebdo ini tiada batasnya? Atau apakah atas nama kebebasan bersuara maka terhalallah segala tindakan dan cara walaupun jelas melampaui batas prinsip, norma dan etika sesuatu bangsa mahupun agama?

Yang pasti kebebasan bersuara bukan bermakna kebebasan menghina. menfitnah dan mengadu-domba. Kebebasan bersuara juga tidak akan bermakna sekiranya natijah yang berlaku lebih memporak-perandakan hidup manusia sehingga mampu menjejaskan keharmonian dunia.

Sebab itulah konsep kebebasan mutlak seperti yang dicanangkan Barat dengan meletakkan pertimbangan manusiawi sebagai faktor utama penentuan baik buruk sesuatu perkara tidak bersesuaian dengan ajaran Islam.

Penolakan Islam terhadap kebebasan mutlak bukan bermakna Islam menentang kebebasan bersuara secara total. Islam juga tidak pernah mengekang hak dan kebebasan individu menyatakan pandangan mahupun pendapat. Malah Islamlah satu-satunya agama yang menjelaskan secara tuntas maksud kebebasan bersuara berbanding agama-agama lain.

Islam mendukung kebebasan bersuara selagi kebebasan tersebut dilakukan dengan penuh tanggungjawab - berada dalam lingkungan batas-batas akhlak dan adab tanpa sekali-kali mencetuskan kemudaratan sama ada kepada diri sendiri mahupun orang lain.

Justeru, atas nama kebebasan bersuara jugalah Barat tidak harus memaksakan umat Islam untuk menuruti segala idea dan nilai yang mereka cuba ketengahkan.
Dalam konteks ini jugalah, media barat harus ada rasa tanggungjawab untuk tidak mencetuskan konflik dan menanam kebencian hanya atas nama memperjuangkan kebebasan bersuara.

0 Komentar untuk " Padah apabila kebencian ditanam "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ