Malaysia tuan rumah debat dunia - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Malaysia tuan rumah debat dunia

BUDAYA debat negara meningkat satu mata tangga lagi apabila Kejohanan Debat Universiti-universiti Dunia 2015 (Worlds 2015) diadakan di Kuala Lumpur pada 28 Disember 2014 hingga 3 Januari 2015.

Worlds adalah pertandingan debat yang paling berprestij. Menjadi juaranya adalah kemuncak cita-cita setiap pendebat. Worlds 2015 dihadiri 1,000 pendebat dari 400 universiti dari 90 negara. Antara pasukan terkuat yang hadir ialah Harvard, Yale, Oxford, Cambridge, Monash dan Sydney.

Tuan rumahnya ialah Universiti Teknologi Mara (UiTM). Penganjurnya ialah Institut Debat dan Pengucapan Awam Malaysia (MIDP). Saya bersyukur kerana terlibat dengannya, iaitu selaku Penaung MIDP dan kerana Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) menjadi Rakan Strategiknya.

Malaysia punya sejarah debat yang amat menggalakkan. Ia bermula sejak begitu lama dahulu, terutamanya di sekolah-sekolah premier dan agama. Di peringkat sekolah, 1974 adalah tahun mercu tanda.

Ini kerana Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak, telah mengilhamkan Pertandingan Piala Perdana Menteri (PPM) antara Sekolah-sekolah Berasrama Penuh (SBP). Ia diadakan dalam Bahasa Melayu (BM) dan Bahasa Inggeris (BI) sehingga hari ini.

Kemudiannya, PPM diteladani dengan pertandingan peringkat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sekolah-sekolah harian (SH). Kira-kira sedekad yang lalu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menganjurkan Pertandingan Debat Antara Sekolah-sekolah.

Kini, ia pertandingan debat sekolah-sekolah yang paling utama kerana ia satu-satunya yang dijalankan dalam tiga bahasa (BM, BI dan Bahasa Arab) yang menemukan semua jenis sekolah: SBP, MRSM, SH, sekolah swasta dan sekolah antarabangsa.

Bagi universiti pula, pertandingan debat mula popular sejak pertengahan 1980-an. Contohnya, bagi BM: Debat Piala Menteri Besar Selangor dan Debat Alam Sekitar; manakala bagi BI: Debat Kolej Kelima Universiti Malaya (UM).

Menjelang pertengahan 1990-an, telah terdapat banyak pertandingan debat antara universiti sehingga ditubuhkan Majlis Debat Universiti Malaysia (Madum) pada 1994. Sejak 1995, Madum menganjurkan pertandingan Debat Diraja, iaitu kemuncak pertandingan antara IPTA dan beberapa IPTS undangan.

Bagi debat BI, pada 2014, MIDP telah menganjurkan pertandingan kebangsaan (Nationals) yang terbuka untuk semua IPTA dan IPTS. Nationals diharap menjadi acara tahunan paling berprestij kerana ia menjadi persediaan terakhir sebelum universiti-universiti kita menyertai Worlds.

Di peringkat antarabangsa, pencapaian pasukan-pasukan BI sekolah dan universiti kita amat menggalakkan. MIDP dilantik Kementerian Pendidikan untuk membentuk, melatih dan menghantar pasukan Malaysia menyertai Pertandingan Debat Sekolah Menengah peringkat Asia dan Dunia. Setakat ini, pasukan Malaysia telah menjadi johan Asia tiga tahun berturut-turut (2012-2014).

Manakala pasukan-pasukan universiti kita, khususnya UiTM, UIAM dan UM, telah beberapa kali memasuki pusingan akhir pertandingan-pertandingan peringkat Asia. Beberapa pendebat kita telah memenangi beberapa gelaran. Yang terbaru ialah Maizura Mokhsein (UiTM), yang dinobatkan Pendebat Terbaik Asia di Kejohanan United Asian 2014.

Tetapi, debat bukannya terhad pada pertandingan semata-mata. Ia jauh lebih luas dan penting daripada itu. Sebenarnya, ia adalah sebahagian daripada amalan Budaya Ilmu. Malahan, ia sepatutnya diajar kepada mahasiswa.

Richard Andrews dalam bukunya, Argumentation in Higher Education menawarkan penghujahan, melalui, antaranya debat, sebagai antidot terhadap sistem yang membosankan yang memfokuskan hanya kepada “jawapan yang betul” sehingga mahasiswa menjadi seakan-akan robotik.

Tidak semua mahasiswa perlu bertanding. Tetapi, debat (yang boleh diadun pelbagai bentuk dan cara) mampu membantu berfikir kritikal dan kreatif serta berinteraksi dan berkomunikasi dengan artikulatif dan sistematik.

Dalam konteks yang lebih besar, debat ialah sebahagian daripada strategi dakwah, amalan demokrasi dan ruang khalayak yang amat mustahak.


0 Komentar untuk " Malaysia tuan rumah debat dunia "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ