Lu tak sayang gua, gua tak sayang lu - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Lu tak sayang gua, gua tak sayang lu

“SIAPA yang tidak sayang, tidak akan disayangi (man laa yarham, laa yurham)” Ini adalah terjemahan sabda Nabi Muhammad SAW Hadis Sahih Bukhari. Cukup padat dan power.

Tidak kira sama ada kamu Muslim, penganut agama lain atau ateis, kamu pasti setuju dengan kenyataan di atas. Kalau kita kata dakwah adalah memberi kasih sayang, semua akan takbir! Mengapa?

Dr.Yamin Cheng, bekas pensyarah perbandingan agama di Amerika dan Malaysia, mentakrifkan dakwah (daripada perspektif seorang Cina Muslim yang faham falsafah Cina), sebagai bagaimana menjadikan manusia itu seorang insan sejati (ren dalam Mandarin).

Beliau tanya lagi apakah hakikat ren? Hakikat ren terletak pada ai xin (hati yang penyayang). Seorang pendakwah perlu faham, tanpa ai xin, dia adalah tin kosong yang sangat kuat berbunyi.

Bahkan ini akan menimbulkan kekeliruan umat kalau dia buat majlis selawat beribu-ribu ringgit, dihadiri sejuta peminat dan dia menyangka, ALLAH SWT akan menolong umat berdasarkan berapa harga majlis selawat, berapa penyokong yang hadir dan berapa kuat jeritan selawat!

Seorang hamba yang mempunyai ai xin yang turun padang menolong mangsa banjir dan wabak, serta berdoa bersungguh-sungguh kepada ALLAH SWT untuk membantu mangsa adalah jauh lebih hebat daripada selawat sejuta penyokong berhati tin kosong atau syeikh-syeikh yang berdoa di hotel-hotel mewah!

Adakah tanda sayang itu sekadar syeikh-syeikh berserban, berjubah dan berdoa bersama anggukan kepala penyokong-penyokong di pentas mewah? Atau tanda sayang itu adalah doa seorang hamba ALLAH SWT yang hampir-hampir mengorbankan nyawanya sendiri ketika mengharungi tsunami yang deras untuk menolong hamba-hamba ALLAH SWT yang sudah tidak makan empat hari?

Kata Baginda SAW, siapa yang tidak sayang, tidak akan disayangi. Maka, siapa yang lebih disayangi? Seorang hamba yang berkorban nyawa atau sejuta pengikut yang berselawat? Yang jelas, ALLAH SWT akan mengabulkan doa hambanya yang lebih disayangi-Nya.

Saya juga melihat bagaimana sebahagian agamawan mempunyai logik ketuhanan yang tidak mencerminkan ai xin seperti kenyataan malapetaka banjir ingatkan umat Islam agar jauhi murka-Nya. Maka, ia wajarkan pelaksanaan hudud.

“Xifu, apa dosa bayi-bayi yang terlibat dalam malapetaka?” Saya kerap ditembak soalan ini oleh bukan Muslim yang cuba kenal siapa ALLAH SWT. Kalau saya beri jawapan, malapetaka banjir berlaku kerana ALLAH SWT murka pada kita yang tidak laksanakan hudud, adakah sesuai untuk gambarkan Islam sebagai rahmat untuk semua?

Saya boleh bayangkan jika saya beri jawapan di atas, saya sudah pasti ditembak oleh hujah ini, “Isu hudud tengah hangat, that is why you bagi alasan hudud! Mungkin juga Tuhan bagi banjir kerana sebahagian umat Islam mempolitikkan agama. Mau kalahkan lawan, bukan mau menangkan kemanusiaan dalam agama!”

Agama yang benar ialah agama yang menangkan kemanusiaan, bukan mempolitikkan ketuhanan. Seorang pendakwah tidak patut meletakkan agenda partinya mengatasi segala-galanya.

Sosial media juga melaporkan, ada yang sanggup luangkan masa untuk membalut kotak-kotak bantuan mangsa banjir dengan bendera parti politiknya. Kalau anak kita menangis kerana nak susu, berapa saat kita ambil untuk bancuh susu baginya! Kalau berita ini benar, ia akan menjadi fitnah kepada umat Islam yang sepatutnya tunjukkan akhlak sebagai khairu ummah (umat terbaik, terikhlas!).

Agama yang benar ialah agama yang menangkan kemanusiaan, bukan mempolitikkan bantuan kemanusiaan. Kalau saya ditanya, “Adakah bencana banjir dan nahas kapal terbang itu disebabkan murka Tuhan?”

Saya jawab, “WhatsApp le Tuhan! Tanya Dia! Saya bukan Tuhan! Yang wajib saya ambil tahu sekarang ialah apa yang saya perlu buat sekarang. Kalau saya tidak sayang pada mangsa bencana, saya pasti tidak akan disayangi pula!”

Pengisytiharan darurat memang patut dibuat seawal yang boleh supaya seluruh tenaga kerajaan dapat dikerah dan pentadbiran bencana lebih efektif. Semua ini kerana dakwah adalah memanggil kepada jalan yang melahirkan ren (insan sejati) yang punya ai xin (hati yang penyayang). Inilah “sabiil rabbika” (jalan Tuhan kamu).


* Abdul Naser Abdul Rahman ialah tokoh pendakwah Perak

0 Komentar untuk " Lu tak sayang gua, gua tak sayang lu "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ