Kes buli jadi jenayah di sekolah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kes buli jadi jenayah di sekolah

MINGGU orientasi di sekolah berasrama sejak berdekad sering dikaitkan dengan 'ragging'. Jika setakat cuci kasut, ambil makanan untuk senior, tiup kipas, jilat stokin dan calit muka dengan warna air, ia umpama mahu menjalinkan hubungan lebih rapat dengan senior.

Jika perbuatan buli itu sudah ke tahap ugutan, pukul, menjatuhkan maruah serta memalukan, apakah itu juga dikira sebagai ragging yang dianggap mahu mengeratkan hubungan antara pelajar baharu dan lama.

Tidak dinafikan, ada juga kes 'ragging' atau buli ini yang menyebabkan kematian seperti yang terjadi pada 1988, meragut nyawa seorang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Teknik Cheras yang dibelasah beberapa pelajar senior dalam tandas sekolah.

Lebih membimbangkan kini, buli bukan saja terjadi dalam kalangan penuntut institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah tetapi sudah dikesan dilakukan murid sekolah rendah.

Kes buli babit pelajar perempuan bertudung

Bukan itu saja, kes buli juga membabitkan pelajar perempuan yang berbaju kurung dan bertudung tanpa segan silu menyepak dan memukul rakan sebaya atau junior mereka.

Presiden Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG), Prof Madya Datuk Ali Hasan, berkata masyarakat umum termasuk ibu bapa, guru dan komuniti tidak seharusnya merasa selesa terutama apabila ada yang mencanangkan bahawa perkara ini terkawal sedangkan realitinya ia wujud.

"Senario yang membimbangkan, jika dulu buli hanya dalam kalangan pelajar sekolah menengah, sekarang murid sekolah rendah pun terbabit, dulu hanya pelajar lelaki, tetapi kini membabitkan pelajar perempuan.

"Dulu kita biasa dengar kes buli berlaku di sekolah berasrama, tetapi kini ia turut berlaku di sekolah aliran agama. Rasa tidak masuk akal apabila kes buli juga berlaku di sekolah aliran agama," katanya dalam Bicara Persada Canselori bertajuk Buli di Sekolah: Igauan atau Realiti anjuran Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ali berkata tradisi yang dijalankan di sekolah berasrama yang bersifat negatif ketika minggu orientasi termasuk ragging wajar dihapuskan.

"Tradisi baik yang ada dikekalkan, tetapi yang buruk tidak perlu dikekalkan. Ada tradisi yang tidak senonoh kononnya ragging atau buli dilakukan untuk menjadikan pelajar lebih 'keras'. Tetapi banyak lagi cara untuk menerapkan ketahanan diri pelajar bukannya secara yang bukan-bukan," katanya.

Dalam isu buli ini, semua pihak perlu memikul tanggungjawab bukan hanya menuding jari kepada pihak tertentu saja untuk menyalahkan isu ini.

Ibu bapa perlu sedar ini tanggungjawab bersama. Dalam isu buli ini, pendekatan dalaman perlu ditekankan berbanding luaran.

"Isu dalaman ini ialah melengkapkan pelajar dengan jati diri yang terdiri daripada akhlak yang baik, pendidikan agama mencukupi, budi bahasa, mengamalkan nilai murni dan mempunyai hubungan baik dengan ahli keluarga serta rakan taulan," katanya.

Ibu bapa patut kesan perubahan diri anak

Ibu bapa dan pihak sekolah boleh menyelami jiwa anak menerusi sistem amaran awal dengan melihat perubahan kelakuan dan sikap, pergaulan dan prestasi akademik mereka.

Hubungan antara pihak sekolah dan ibu bapa juga penting. Realitinya, sekolah yang berjaya dari segi akademik dan pelajar yang kurang masalah disiplin termasuk tiada ciri jenayah dapat dilihat pada sekolah yang mewujudkan hubungan dan kerjasama baik dengan ibu bapa.

Dalam usaha menangani masalah buli di sekolah, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung (NUTP) mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan mewujudkan jawatan ketua guru disiplin di sekolah. Guru ini diberi latihan dari segi undang-undang dan psikologi menangani masalah disiplin sekolah termasuk buli.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, berkata ketika ini, tugas menangani masalah disiplin sekolah dibebani guru. Dengan saiz kelas bertambah setiap tahun, beban tugas guru semakin berat. Bukan hanya mengajar, guru juga dibebani tugas pentadbiran lain seperti mengisi data.

"Peratusan kes buli yang dilaporkan sebenarnya masih kecil kerana kebanyakan kes berlaku di luar waktu kelas atau di luar kawasan sekolah. Masyarakat tidak boleh menyalahkan guru semata-mata kerana jumlah pelajar yang terlalu ramai dengan nisbah guru.

"Bukan hanya menyampaikan ilmu, guru juga terbabit dalam hal pentadbiran termasuk mengisi data, menghadiri mesyuarat. Justeru, dengan bilangan pelajar yang ramai sukar bagi guru menumpukan perhatian mendalam kepada setiap pelajar.

"Kita ada budaya membiarkan pembuli kecil lepas dengan kesalahan mereka dengan menukar ke sekolah lain. Selepas beberapa bulan, ibu bapa datang merayu dan anak mereka kembali ke sekolah asal. Di sekolah asal, mereka kembali melakukan aktiviti buli. Jadi, tradisi ini tiada kesudahan. Kumpulan pembuli ini perlu diberikan program kesedaran," katanya.


KES buli bukan saja berlaku dalam kalangan pelajar lelaki, tetapi juga pelajar perempuan. - Foto hiasan

Pembuli alami masalah emosi

Mengikut kajian, kata pensyarah Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia UKM, Prof Madya Dr Rozmi Ismail, pembuli biasanya mengalami masalah emosi dengan kurang rasa empati, kebanyakan mereka kurang keyakinan, menggunakan kekerasan untuk membalas dendam dan jika berdepan masalah gagal untuk berinteraksi.

"Secara normal, jika kita lihat orang yang dicederakan kita akan rasa kasihan, tetapi bagi mereka yang tidak mempunyai perasaan empati tidak merasa apa-apa. Ada juga sikap pembuli ini berkait rapat dengan pengambilan dadah sehingga menghilangkan rasa empati," katanya.

Remaja yang terbabit dengan buli selalunya datang daripada keluarga yang mengambil pendekatan hukuman dalam mendidik tanpa kasih sayang. Tidak bertolak ansur dengan anak. Dengan ini, anak menyimpan dendam dan melepaskan kepada orang lain termasuk adik beradik dan rakan sekolah yang lebih lemah.

"Apabila kita tanya mengapa sanggup membuli rakan mereka, jawapan diberikan kehidupan harian mereka penuh dengan sepak terajang ibu bapa dan perkataan kasar.

"Saya percaya kaunseling boleh membantu dalam proses pemulihan. Setiap masalah boleh diselesaikan jika bawa berbincang. Sesi kaunseling adalah sesi luahan jika tidak, kita tidak tahu secara mendalam apa sebenarnya berlaku," katanya.

Banyak faktor yang menyumbang perbuatan buli ini. Justeru, semua masalah perlu ditangani. Faktor utama yang menyebabkan ada sifat pembuli adalah keluarga sendiri, seterusnya keadaan sekeliling termasuk pengaruh media, filem, video serta internet.

Menyentuh hal yang sama, Urusetia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Foo Check Seng, berkata dari segi aspek pencegahan, polis melantik pegawai perhubungan sekolah dari sekolah rendah hingga menengah.

"Kita mahu menambah konsep anda diperhati dengan menambah ejen yang boleh membantu terdiri daripada pelajar sendiri, polis sukarelawan, warden dan guru bagi mengurangkan statistik kes buli," katanya.

Mengulas mengenai komen daripada orang ramai bahawa ada sekolah yang sanggup melakukan apa saja bagi menutup kes buli, beliau berkata, ada beberapa langkah yang boleh diambil termasuk ibu bapa perlu mendapatkan kesanggupan sekolah untuk menjaga dan memastikan keselamatan anak terjamin jika berlaku kes buli.

"Jaga nama baik sekolah memang bagus. Adakah pihak sekolah mampu untuk menjaga anak saya. Jika sekolah tidak mampu, saya akan melaporkan kepada pihak polis. Jika anak terlalu trauma, tindakan lain adalah menukar sekolah dengan segera.

"Jika anak kita rasa masih mampu berdepan dengan situasi itu, biarkan saja dia meneruskan persekolahan di sekolah itu dan ia akan menjadikannya lebih kuat dan sekolah perlu bantu melindunginya," katanya.

0 Komentar untuk " Kes buli jadi jenayah di sekolah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ