Bencana satukan rakyat Malaysia - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Bencana satukan rakyat Malaysia

MUSIBAH yang melanda Malaysia seperti insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370, tragedi pesawat Penerbangan MH17 yang ditembak jatuh dan banjir terburuk yang melanda beberapa negeri ketika ini telah menyatukan rakyat Malaysia, kata seorang pensyarah kanan sebuah universiti di sini.

Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli berkata, bencana yang berlaku itu setidak-tidaknya mencetuskan satu semangat hebat di kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, fahaman politik dan agama.

"Musibah-musibah ini banyak menyedarkan rakyat Malaysia yang walaupun kita berlainan bangsa dan agama, kita tetap satu sebagai rakyat Malaysia. (Oleh itu) rakyat Malaysia patut bersatu hati untuk menempuh tahun 2015 yang penuh dengan pelbagai cabaran dan dugaan untuk negara kita," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Dr Mohd Hazmi berkata, dalam insiden kehilangan pesawat MH370, Malaysia dikecam dunia luar namun banyak rakyat Malaysia yang  menunjukkan sokongan kepada kerajaan bagi mempertahankan maruah negara tercinta.

Satu lagi contoh semangat hebat rakyat Malaysia adalah semasa kerajaan mengadakan Hari Perkabungan Negara sebagai tanda penghormatan kepada mangsa tragedi MH17 apabila ramai rakyat Malaysia memberi perhatian kepada perkara itu dengan teliti bagi menghormati penumpang  pesawat itu.

Dr Mohd Hasmi berkata, dalam bencana banjir yang melanda beberapa negeri terutama di pantai timur ketika ini menyaksikan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum saling membantu di antara satu sama lain.

Katanya, banjir di pantai timur berlaku setiap tahun ketika musim tengkujuh, namun musibah banjir yang berlaku baru-baru ini adalah yang terburuk dan ia mungkin disebabkan oleh aktiviti pembalakan yang tidak terkawal sehingga menyebabkan hilangnya banyak kawasan tadahan air.

Oleh itu, katanya, kerajaan persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri boleh mengambil iktibar daripada musibah yang membawa kerugian jutaan ringgit ini.

Katanya, selain sistem perparitan perlu diperbaiki, pemantauan yang lebih efektif seharusnya dilaksanakan bagi menghalang pembalakan  melampau oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Rakyat Malaysia patut berdiri di belakang kerajaan dengan menyokong projek-projek yang boleh mengurangkan kebarangkalian berlakunya bencana ini.

Daripada mengkritik secara berlebihan, adalah lebih wajar rakyat Malaysia menghulurkan sokongan dengan apa cara sekalipun dan bersatu hati untuk bersama Malaysia sewaktu negara diuji dengan masalah.

"Perbuatan sesetengah rakyat Malaysia yang lari dan meminta suaka di luar negara setelah memburukkan Malaysia secara tidak beradab adalah suatu yang tidak seiring dengan konsep 1Malaysia yang diuar-uarkan oleh pemerintah negara," katanya.

Mohd Hazmi berkata, Malaysia memang adalah sebuah cerita tentang kejayaan dan tidak banyak negara di dunia (terutama negara berbilang kaum) yang mampu dalam satu generasi, mentransformasikan kedudukan ekonomi, sosial dan pendidikan rakyatnya sepantas Malaysia.

Katanya, kejayaan ini menyebabkan sesetengah rakyat Malaysia menjadi alpa dan merasakan Malaysia ini tidak cukup bagus buat mereka.

"Perasaan 'tidak suka' terhadap kerajaan sedia ada juga menyebabkan sesetengah rakyat membenci apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan melalui medium media sosial walaupun apa yang dilaksanakan oleh kerajaan itu adalah baik," katanya. - Bernama

0 Komentar untuk " Bencana satukan rakyat Malaysia "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ