5 Persoalan Tragedi QZ8501 Yang Perlu Dijawab - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

5 Persoalan Tragedi QZ8501 Yang Perlu Dijawab

KUALA LUMPUR: Penemuan serpihan rangka pesawat dan mayat penumpang pesawat malang, AirAsia Indonesia QZ8501 semalam membuktikan bahawa kehebatan pasukan mencari dan menyelamat akan terus diuji.

Tragedi terburuk sebagai penutup kisah duka tahun 2014 ini bukan saja memberi kesan pada anggota keluarga penumpang dan kru kabin pesawat itu tetapi juga pemerhati, ahli politik, pakar penerbangan dan masyarakat di seluruh dunia yang mahu mengetahui lanjut kisah sebenar yang berlaku.

Namun, persoalan utama dan seterusnya akan sentiasa diaju untuk mendapatkan kepastian dan jawapan. Berikut antara soalan yang menjadi tanda tanya umum.

1. Punca pesawat terhempas?

Merujuk kejadian pada Ahad lalu, pusat menara kawalan udara Jakarta terputus hubungan dengan QZ8501 selepas juruterbang meminta kebenaran untuk menukar laluan bertujuan mengelak cuaca buruk ketika dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura.

Pakar penerbangan sebelum ini menjelaskan meskipun ribut menyebabkan pesawat Airbus A320-200 itu terhenti secara tibat-tiba, tetapi ia tidak semestinya boleh menyebabkan pesawat itu terhempas.

Kenyataan Naib Presiden Persatuan Pengurusan Keselamatan Penerbangan Antarbangsa Asia Pasifik, Desmond Ross kepada portal berita antarabangsa menyatakan walaupun terdapat perubahan tiba-tiba yang menyebabkan pesawat hampir terhenti, juruterbang biasanya mempunyai masa untuk memulihkan keadaan.

Jadi, kunci untuk memahami apa yang berlaku mungkin terkandung dalam perakam suara kokpit dan data penerbangan pesawat iaitu kotak hitam.

2. Kemungkinan penumpang terselamat?

Menurut Presiden Majlis Keselamatan Negara yang juga bekas Pengerusi Lembaga Keselamatan Pengangkutan Amerika Syarikat, Deborah Hersman,  adalah satu senario mustahil untuk menemui mereka yang hidup daripada pesawat QZ8501.

“Berdasarkan insiden nahas udara yang berlaku sebelum ini, tiada seorang mangsa pun yang terselamat,” katanya kepada CNN.com.

3. Bagaimana pasukan mencari dan menyelamat ingin mendapatkan jasad mangsa?

Proses untuk mendapatkan semula jasad atau mayat mangsa yang terkorban dalam nahas akan menjadi keutamaan pada mereka yang terlibat dalam operasi tersebut.

Justeru, pelbagai kecanggihan dan aset yang ada dikerah antaranya, helikopter yang menghantar penyelam untuk membantu mendapatkan semula serpihan pesawat dan mangsa.

Selain itu, kapal selam juga memainkan peranan khususnya dalam operasi mencari bangkai pesawat atau badan yang tenggelam di dasar laut.

Menurut bekas pengarah urusan Lembaga Keselamatan Kebangsaan AS, Peter Goelz, beberapa mangsa akan kelihatan berada di permukaan air manakala kemungkinan yang lain terperangkap di dalam bangkai pesawat di bahagian bawah Laut Jawa dianggarkan 140 kaki (43 meter) ke bawah.

“Ia akan menjadi satu cabaran pada penyelam untuk mendapatkan semula badan mangsa dalam kedalaman yang jauh.

“Penyelam mungkin akan menggunakan pelbagai peralatan keselamatan untuk mencari yang akan memudahkan mereka mengesan mangsa secara terus dan ia mungkin mengambil masa sehingga seminggu atau 10 hari,” katanya.

4. Bagaimana mereka (mangsa) akan dikenal pasti?

Sehingga hari ini, Badan Mencari dan Menyelamat (Basarnas) Indonesia memaklumkan sudah menemui enam mayat penumpang QZ8501 dan pusat perubatan di bandar Surabaya, Indonesia bersedia membantu dan mengenal pasti mayat mangsa yang ditemui.

Untuk memudahkan urusan mengenal pasti mangsa yang terkorban, waris terdekat dan saudara mara diminta membawa bersama foto anggota keluarga yang juga penumpang pesawat berkenaan dan memberi sampel DNA.

Bagaimanapun, ia menjadi satu tugas besar yang menguji kepakaran pihak terlibat mencari dan mengenal pasti mereka yang terbabit dalam tragedi ini iaitu seramai 162 penumpang.

5. Kenapa perlu menjaga hak keluarga mangsa?

Pengesahan penemuan bangkai pesawat semalam memberi kesan besar dan mengejutkan kepada keluarga mangsa yang terlibat.

Sesetengah daripada waris mereka pengsan selepas mendengar berita penemuan tersebut termasuk video yang memaparkan sebuah helikopter menurunkan penyelam untuk memastikan objek yang terapung di permukaan laut membuatkan mereka terus menangis.

Hersman juga menyatakan elemen utama dalam tragedi seperti ini adalah menjaga hak saudara dan keluarga mangsa sepanjang penyiasatan diteruskan.

“Ia adalah penting untuk melindungi hak keluarga mangsa dalam kegilaan media mendapatkan maklumat terutama berdepan situasi yang menyedihkan.

“Ini juga penting untuk membuat keputusan dalam berkongsi maklumat. Mereka yang bertanggungjawab perlu mengekalkan kredibiliti dengan memastikan mereka mempunyai fakta yang sahih sebelum berkongsi dengan cara dan mengikut kesesuaian masa,” ujarnya.

0 Komentar untuk " 5 Persoalan Tragedi QZ8501 Yang Perlu Dijawab "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ