Selepas kemelut MB, kini timbul pula krisis timbalan speaker Selangor - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Selepas kemelut MB, kini timbul pula krisis timbalan speaker Selangor

KOMEN: Selepas kesemua tikam-menikam dan taktik kotor yang berlaku dalam saga menteri besar Selangor, semuanya mungkin belum kembali tenang di negeri ini, apabila isu kontroversi jawatan timbalan speaker kedua telah timbul.

Walaupun persepakatan telah banyak kali dicanangkan, DAP atau sekurang-kurangnya cawangan Selangornya, seolah-olah lebih mahu bersikap partisan, mencerminkan sikap parti-parti komponen kecil BN yang dahulu ia kritik kerana melakukan perkara yang sama.

Memang benar, seperti parti-parti komponen BN yang berbaik-baik dengan Umno bagi mendapatkan jawatan-jawatan kabinet dan rasmi, DAP seolah-olah sedang melakukan perkara yang sama, apabila ia merapati PKR dalam hal yang sepatutnya menjadi isu Pakatan, semasa krisis MB Selangor itu.

Dengan kuat dan jelas, DAP negeri itu meminta supaya jawatan timbalan speaker kedua diwujudkan dan diserahkan kepada parti itu, walaupun ia sudah diberi kerusi speaker negeri.

Ini setelah rakan kongsi Pakatan-nya, PAS diberikan jawatan timbalan speaker. PKR memegang jawatan MB dan juga empat kerusi exco manakala DAP dan PAS mempunyai tiga setiap satu, manakala ahli DAP juga menduduki kerusi speaker Dewan Undangan Negeri itu.

Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua dilaporkan berkata bahawa ia berhak mendapatkan kerusi itu selepas memberikan sokongan penuh kepada PKR apabila mereka menghadapi perbezaan pendapat PAS, berkenaan rampasan kuasa terhadap bekas Menteri Besar PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim yang diketuai PKR dan disokong DAP.

Pua dilaporkan berkata yang ini wajar kerana ia telah dinafikan kerusi exco tambahan yang kononnya dijanjikan kepada mereka, kerana menyokong PKR dalam menentang PAS.

Perlu diingatkan bahawa sokongan mereka adalah terhadap PKR, bukan untuk Pakatan Rakyat sendiri dan ini harus menjadi pengecualian dan bukannya peraturan, dan tidak harus dicanangkan sebagai bukti sokongan terhadap pakatan pembangkang itu.

Pakatan merupakan satu perikatan berdasarkan persetujuan tiga parti manakala pakatan anti-Khalid terdiri daripada hanya PKR dan DAP, dengan PAS menentang.

Sama seperti apabila PAS telah mempromosikan hudud dengan sokongan tersirat PKR, manakala DAP tidak bersetuju. Anehnya DAP tidak pernah dihukum dan PAS tidak pernah diberi ganjaran, pada masa itu.

DAP bagaimanapun dilaporkan berkeras mahukan PAS dihukum selepas krisis MB Selangor. Dan kini ia seolah-olah ingin diberi ganjaran kerana setia kepada PKR, parti Pakatan yang dominan.

Sebaliknya, ia perlu malu kerana masalah dalaman sebuah parti dibenarkan mengancam keseluruhan gabungan itu tanpa segan silu.

Tetapi lebih daripada itu, tindakan meminta jawatan secara terbuka sebagai balasan bagi sokongan yang bersifat partisan, adalah budaya BN.

Gerakan boleh mengkritik DAP untuk ini, tetapi ini adalah ibarat periuk mengata belanga.

Bukankah Gerakan telah dianugerahkan dengan jawatan menteri atas sumbangan mereka kepada BN di Teluk Intan?

Jadi adakah Pakatan hanyalah sebuah BN lain dengan nama yang berbeza, dengan PKR memainkan peranan Umno yang memutuskan semua perkara, dan DAP komponen tukang angguk yang meminta-minta jawatan dan ganjaran?

Jika hujah Pua berkenaan sokongan bersifat partisan dianggap wajar, maka perkara yang sama mungkin perlu digunapakai jika isu hudud dibincangkan secara serius dalam Pakatan.

Jadi apabila PKR dan PAS menyuarakan pendapat mereka, patutkah yang DAP menentang, dihukum? Patutkah PAS dan PKR kemudiannya mendapat lebih banyak jawatan dan kerusi?

Seperti yang telah ditunjukkan oleh saingan DAP bagi sokongan PKR iaitu PAS, apa gunanya mewujudkan satu lagi jawatan timbalan speaker atas sebab-sebab politik semata-mata.

Seperti yang diperkatakan beberapa pihak, ia hanya akan membazirkan wang cukai bagi memenuhi ego sebuah parti politik.

Tindakan mewujudkan jawatan tambahan akan menjadi ironis, memandangkan Dewan Undangan Negeri Selangor baru sahaja meluluskan usul untuk memotong gaji pegawai-pegawai kerajaan negeri, yang kononnya mejimatkan berjuta-juta wang Selangor, sebuah usul yang mereka sendiri luluskan.

Sudah pastinya saga kenaikan dan kemudiannya penurunan ini adalah akibat dari persaingan dalaman PKR, yang bukan hanya merugikan masa yang berharga, tetapi juga wang negeri dan rakyat.

Jadi, adakah mereka akan menjimatkan wang melalui potongan gaji ini, hanya untuk mencurahkannya terhadap sebuah jawatan yang tidak diperlukan, hanya kerana DAP mahukannya?

Apa kejadahnya, Pakatan? Anda telah berjanji, jadi anda harus menjadi lebih baik daripada apa yang sedang anda tunjukkan. - Semut Harian

0 Komentar untuk " Selepas kemelut MB, kini timbul pula krisis timbalan speaker Selangor "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ