Rancang percutian anda, jimat belanja - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Rancang percutian anda, jimat belanja

KUALA LUMPUR - Disember tiba lagi. Pada hujung tahun, lazimnya ramai yang merancang aktiviti 'makan angin' dengan melancong atau bercuti bersama ahli keluarga mahupun sahabat handai.
 
Tidak kira destinasi pilihan percutian mereka sama ada dalam atau luar negara, yang penting nikmat percutian itu dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan di samping memberi suasana ceria dan pengalaman baru.
 
Kicauan burung, deruan ombak dan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa menjadi terapi terbaik buat mereka menikmati ketenangan sekaligus menghilangkan tekanan kerja.
 
Namun ramai yang teragak-agak dan membatalkan hasrat percutian untuk memastikan perbelanjaan dan kewangan mereka mencukupi bagi memastikan segala-galanya berjalan lancar.

Benarkah percutian memerlukan bajet yang besar?  
 
Bernama mendapatkan tips dan panduan daripada beberapa individu berpengalaman mengenai selok-belok melancong dan percutian.
 
Seorang penjawat awam Abdul Adib Zakaria, 28, berkata bercuti atau melancong tidak semestinya memerlukan bajet yang besar. Ia bergantung kepada tujuan individu ber
kenaan.
 
"Kalau kita pergi melancong untuk membeli-belah, memang kita perlukan bajet  tinggi. Tetapi kalau tujuan kita nak melancong untuk melihat tempat orang, merasai suasana negara lain atau melihat keindahan alam semula jadi, ia tidak memerlukan bajet besar," katanya.
 
Untuk bercuti atau melancong di luar negara, ia memerlukan perancangan awal bagi memastikan kos perbelanjaan termasuk pengangkutan dan penginapan.
 
"Saya lebih suka melancong atau bercuti di luar negara. Apabila ada promosi harga tiket rendah, masa itulah saya beli. Kita boleh rancang dalam jangka masa panjang, kumpul duit untuk buat bajet ke sana.
 
"Percaya atau tidak... sepuluh hari saya di Korea saya hanya berbelanja sekitar RM3,000 sahaja. Jimat kerana dari Malaysia saya sudah bawa makanan seperti mee segera, serunding dan roti kerana kita tahu untuk mencari makanan halal di negara bukan Islam agak susah," katanya yang baru balik melancong di Korea Selatan.
 
Abdul Adib berpendapat sama ada bercuti dalam atau luar negara, ia adalah ganjaran dan peluang untuk merehatkan diri setelah penat bekerja mencari rezeki.

"Kalau ada rezeki lebih, mungkin boleh sampai ke Jepun, China, atau Istanbul tetapi jika masa menjadi kekangan, cukup sekadar di pulau atau tempat-tempat peranginan dalam negara seperti Cameron Highland sudah memadai," katanya.
   
Bagi Azzah Abdul Rahman,35, bercuti dalam atau luar negara mempunyai keistimewaan tersendiri kerana destinasi yang berbeza memiliki keunikan berlainan.
 
"Saya suka kedua-duanya (dalam dan luar negara) dan paling suka jika perjalanan itu perlu menaiki kapal terbang atau kereta api. Saya seorang yang teliti dalam merancang perjalanan.
 
" Selalunya, saya akan pastikan harga tiket sebelum beli, sehingga dapat yang paling murah dan memuaskan hati. Untuk tujuan ini saya menggunakan aplikasi Skyscanner," katanya.
 
Beliau berkata Skyscanner adalah sebuah aplikasi untuk membantu mendapatkan harga murah tiket penerbangan. Aplikasi ini akan memaparkan hasil carian dengan butiran lengkap penerbangan seperti syarikat penerbangan, waktu, dan harga.
 
Azzah turut memberikan tips untuk tempahan hotel yang boleh dirujuk melalui  www.booking.com dan www.tripadvisor.com.my bagi membantu seseorang mendapatkan maklumat sama ada hotel berkenaan masih beroperasi atau tidak, serta apakah tarikan yang terdapat di sekitar hotel.
 
"Saya mempunyai impian untuk menjejakkan kaki ke semua destinasi yang mempunyai keajaiban dunia. Selalunya saya melancong bersama ibu bapa atau kawan-kawan dan hanya pernah solo 'backpack' ke Singapura beberapa kali dan semasa menetap di Turki," katanya yang meminati fotografi sebagai hobi.
 
Azzah, yang merupakan seorang penulis dan jurulatih penulisan, telah mengunjungi 18 negara antaranya Turki, Australia, Korea Selatan, Mesir, Kemboja, Indonesia, Brunei, Saudi Arabia, Jordan, Palestin dan merancang untuk melancong ke Sepanyol Jepun, India, dan Vietnam.
 
Pemilik akaun Facebook 'Nota Perempuan Backpacker' ini berkata erti kepuasan baginya ialah apabila dapat menyelami gaya hidup masyarakat tempatan, melihat keajaiban alam, dan menjejaki sejarah dunia.
 
Sementara itu, Norsaifullah Ramada, 28, berkata apabila bercuti di luar negara perkara pertama yang perlu dielakkan ialah jangan sesekali membuat perbandingan harga mengikut tukaran nilai mata wang asing.
 
"Selalunya mereka suka bandingkan harga barang mengikut nilai mata wang negara yang dilawati misalnya Singapura atau Australia dengan Ringgit Malaysia. Pastinya barang itu akan menjadi mahal," katanya.
 
Beliau berkata, mereka juga perlu bijak untuk tawar-menawar ketika membeli-belah supaya tidak mudah tertipu dengan peniaga yang mencari peluang untuk mengaut keuntungan lebih.
 
Norsaifullah berkata, selain itu aspek keselamatan harus dititikberatkan terutamanya bagi mereka yang merancang untuk bercuti ke luar negara kerana  risikonya lebih besar.
 
"Apabila bercuti di luar negara saya lebih gemar memakai pakaian yang ringkas dan berlagak seperti rakyat tempatan.
 
"Bagi wanita pula saya nasihatkan supaya tidak memakai barang kemas dan tidak membawa wang terlalu banyak. Paling penting bergerak secara berkumpulan dan bukan berseorangan," katanya.
 
Beliau berkata, cara termudah untuk menikmati percutian adalah dengan mendisiplinkan diri dengan menabung sebelum melakukan percutian.
 
"Apabila nak bercuti dalam atau luar negara simpanan perlu ada. Tidaklah kita rasa teragak-agak untuk mengeluarkan duit sehingga menyebabkan keseronokan bercuti itu tidak dirasai," katanya. - Bernama

0 Komentar untuk " Rancang percutian anda, jimat belanja "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ