Pilih jihad cara aman - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Pilih jihad cara aman

BISNES wajar dijadikan aktiviti pilihan untuk generasi muda Melayu berjihad!” Inilah antara mesej utama yang saya sampaikan di Konvensyen Aspirasi Usahawan Muslim anjuran bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dengan DPIM yang diadakan di Hotel Pullman, Bangsar, Kuala Lumpur pada 17 Disember, 2014.

Organisasi Konvensyen diterajui dengan cemerlang oleh barisan pemimpin muda DPIM iaitu Tuanbri Hashim dan Mohsein Sharif.

Konvensyen dirasmikan Tan Sri Amirsham Abdul Aziz, Pengerusi MIDA.

Selain penceramah berwibawa, beberapa agensi seperti Matrade, SMECorp, MPC, PNS dan Mara turut menyampaikan maklumat kepada hampir 400 usahawan/industrialis PKS peserta konvensyen.

Jumlah besar peserta bukti kesedaran tinggi dan kesanggupan ahli bisnes Melayu melabur mendapatkan ilmu dan informasi terkini, selain kesungguhan membina jaringan ukhuwah bisnes, iaitu sesuatu yang sangat penting untuk meningkatkan kecemerlangan jangka panjang.

Bukan jihad membunuh tanpa kesudahan

Umat Islam di seluruh dunia pasti tidak senang menyaksikan peristiwa pembunuhan sesama umat yang berlaku tanpa kesudahan, terutama di Pakistan dan Afghanistan.

Terakhir dan paling mengecewa dan mendukacitakan ialah apabila 141 jiwa terkorban di Peshawar, Pakistan, membabitkan 132 pelajar remaja tanpa dosa.
Pembunuhan beramai-ramai ini tindakan kejam dilakukan pengganas dan pengebom sanggup mati Taliban, satu tindakan yang tidak masuk akal dan pasti menambah burukkan lagi imej Islam, selain keruhkan suasana dan mencelarukan umat.

Sesungguhnya jihad sesuatu yang wajib umat Islam sempurnakan dalam keadaan di mana syiar Islam dan agama ALLAH terancam dan nyawa serta kehidupan umat tergugat oleh tindakan zalim dan kejam golongan anti Islam dengan niat menghancur atau menghapuskan Islam.

Seperti dinyatakan ulama terkenal, Dr Yusof al-Qaradhawi dalam buku besarnya Fiqih Jihad: “Ada pun hukum jihad adalah wajib bagi setiap Muslim dan Muslimah, baik dengan jiwanya, hartanya, lidahnya atau hatinya … Keimanan seorang Muslim belum sempurna kecuali dengan jihad.”

Namun, sekali pun diwajibkan berjihad, ia tidak langsung menjustifikasikan peristiwa di Peshawar; juga tidak mewajarkan tindakan seorang warga Muslim di Sydney Australia baru-baru ini yang meragut dua nyawa warga Australia dan mencederakan beberapa orang tidak berdosa.

Malangnya, kebelakangan ini terlalu banyak tindakan atas nama jihad dilakukan puak ekstrem, sama ada oleh individu seperti berlaku di Australia, mahu pun secara berorganisasi seperti tindakan Taliban di Afghanistan, Islamic State atau IS di Iraq dan Syria, dan Boko Haram di Nigeria, Afrika.

Kesemuanya bertindak mengguna kaedah lebih merosak, memusnah dan memudaratkan tanpa manfaat strategi jangka panjang. Lebih buruk, kaedah yang diguna langsung tidak Islamik.

Jihad memakmurkan kehidupan

Cabaran kepada bangsa Melayu dan umat Islam Malaysia ialah bagaimana menyempurnakan kewajipan berjihad membela kedudukan umat tanpa menambah kecelaruan dan kerosakan atau mengakibatkan kemusnahan.

Dalam ceramah saya menyeru generasi muda Melayu-Muslim menggunakan hikmah dan kebijaksanaan memilih jalan jihad yang dapat membawa manfaat kepada seramai mungkin warga Malaysia, khasnya dan seluruh umat manusianya.

Sesungguhnya terdapat banyak ruang  berjihad tanpa berperang, terutama menerusi politik dan kepemimpinan; ilmu, pendidikan dan dakwah; juga sosial, budaya, NGO dan amal serta ekonomi dan bisnes, yang kesemuanya berupaya memangkinkan Melayu menegakkan keadilan, memartabatkan kesucian dan kemuliaan Islam.

Dalam ceramah saya tegaskan usahawan dan ahli bisnes muda Melayu tidak perlu segan-silu memburu harta kekayaan kerana Islam tidak anti kekayaan, malah tegas menyatakan sembilan per sepuluh sumber kehidupan berpunca daripada bisnes.

Sebenarnya menerusi bisnes, usahawan Muslim dapat merealisasikan matlamat Maqasid as-Syariah menjana harta kekayaan, dan menerusi harta kekayaan lebih mudah menyempurnakan semua matlamat maqasid lain.

Bisnes juga membawa ganjaran luar biasa untuk merangsang dan memotivasikan semua. Bukan sahaja Jihad Bisnes membuka peluang hidup mewah sehingga berpotensi menjadi jutawan.

Ia juga membuka ruang menyempurnakan salah satu sunnah besar Rasulullah SAW. Bisnes juga memangkin umat Islam menjadi umat “alyadul uliya”, iaitu umat tangan di atas yang lebih mulia kedudukannya berbanding umat miskin tangan di bawah yang sentiasa meminta-minta, menjadi beban dan sentiasa diancam kekufuran apabila melampau bergantung hidup kepada orang lain.

Sesungguhnya, pada saya, sumber motivasi paling hebat bagi usahawan yang menjadikan bisnes satu jihad terdapat pada janji Islam bahawa usahawan yang amanah dan jujur, akan mendapat ganjaran istimewa di akhirat, seperti maksud hadis Rasulullah SAW: “Peniaga-peniaga yang jujur dan amanah (akan ditempatkan) berserta para nabi, siddiqin dan para syuhada.” (R. Termizi).

Kayakan bangsa cemerlangkan tamadun

Dalam ceramah saya turut menegaskan betapa perjuangan Jihad Bisnes mesti diiringi agenda memperjuangkan kepentingan jangka panjang generasi depan bangsa Melayu dan umat Islam.

Sesungguhnya tidak bermakna jika Melayu kaya dan berjaya tetapi harta kekayaan tidak dapat dipertahan untuk manfaat generasi depan menjamin peluang ekonomi anak cucu.

Antara langkah paling penting ialah menghentikan kebocoran yang banyak berlaku terhadap aset, saham dan kepentingan bisnes serta korporat milik Melayu. Dilaporkan sejak DEB dilancarkan, sejumlah RM54 bilion nilai aset, saham dan harta diagihkan kepada Melayu.

Namun hari ini cuma tinggal sekitar RM2 bilion dalam tangan Melayu, selainnya habis terjual atau terlepas hak milik kepada orang lain, termasuk kepada gergasi korporat MNC asing.

Justeru dua strategi besar yang telah lama diperakukan oleh DPIM perlu dilaksanakan. Pertama, kerajaan kekalkan peranan GLC sebagai agensi amanah dan tidak menswastakan GLC.

Selanjutnya, GLC diwajibkan membina jaringan bisnes Melayu bertujuan membangun barisan entrepreneur berkaliber hingga ke peringkat global. Selain itu, DPIM cadangkan supaya kerajaan mentransformasikan beberapa GLC strategik menjadi institusi Waqaf Korporat, mengikut model Waqaf An-Nur Corporation Bhd di bawah Johor Corporation, yang memiliki aset wakaf melebihi RM500 juta, bertambah dua kali ganda berbanding aset sewaktu diwakafkan bernilai RM250 juta.

Kedua, kerajaan menggalak dan memudahkan penubuhan Waqaf Korporat swasta di bawah bimbingan institusi berwibawa membabitkan sumbangan wakaf orang ramai dan masyarakat awam.

Dalam ceramah saya juga umumkan perancangan DPIM menubuhkan Waqaf Korporat anjuran masyarakat (bukan anjuran GLC). Projek pertama yang, insya-Allah, akan DPIM jadikan model Waqaf Korporat anjuran komuniti ialah pembangunan Taman Korporat Putrajaya dianggarkan bernilai RM300 juta, dijangka dimulakan pembangunannya awal 2015.

DPIM yakin apabila critical mass Waqaf Korporat dicapai, ciri korporatnya memudahkan ia diurus tadbir mengikut kaedah amalan korporat terbaik, telus dan profesional, menghimpun harta sekali gus menambah nilai jangka panjang aset korporat.

Selain itu, ciri wakafnya pasti berupaya menjamin kelangsungan harta kekayaan, mengekalkan hak milik korporat dalam tangan umat Islam berkekalan melindungi kepentingan ekonomi dan korporat Melayu.

Dengan cara ini juga “monopoli” golongan kaya ke atas peluang bisnes dan korporat dapat dipecahkan. Waqaf Korporat berupaya membuka luas peluang warga majoriti berpendapatan rendah serta anak cucu mereka mencapai mobiliti sosial dan ekonomi menaiki tangga bisnes dan korporat untuk bersama mendapat tempat sebagai entrepreneur dan ahli korporat.

Tanpa institusi Waqaf Korporat sampai bila pun yang miskin ketinggalan miskin, dan hanya segelintir yang dapat melonjak ke atas, sedangkan golongan kaya akan terus melipat-gandakan kekayaan.

Jelas sekali, perjuangan Jihad Bisnes dengan didampingi institusi Waqaf Korporat berpotensi menegakkan keadilan dan memakmurkan kehidupan seperti dituntut oleh Islam.

Apabila sampai ke tahap itu, ternyata Jihad Bisnes satu pilihan lebih baik bagi umat Islam berbanding dengan jihad perang yang hanya merosak dan memusnahkan.

0 Komentar untuk " Pilih jihad cara aman "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ