Perkembangan teknologi pinggir bahasa Melayu - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Perkembangan teknologi pinggir bahasa Melayu

Perkembangan teknologi maklumat dipercayai dapat melenyapkan atau mengembangkan sesuatu bahasa. Pada dekad 1990-an sewaktu internet tersebar luas, tanpa kita sedari bahasa Inggeris sebenarnya telah menjelajah ke seluruh dunia. Penjajahan bentuk baharu ini mengetepikan semua bahasa yang ada di dunia ini.

Bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa utama dalam aplikasi teknologi maklumat ini. Jadi, semua bangsa yang ada di dunia ini perlu mempelajari atau memahami bahasa Inggeris untuk menguasai teknologi maklumat yang begitu cepat berkembang.

Penjajahan bentuk baharu ini, tidak perlu lagi menghantar angkatan tentera bersenjata untuk menyerang dan menakluk sesebuah negara. Ia lebih menumpukan kepada 'penjajahan pemikiran.' Apabila fikiran atau gaya fikir rakyat sesebuah negara itu dapat dijajah, maka lambat laun rakyat akan bangun memberontak dan menggulingkan sesebuah kerajaan. Inilah yang berlaku dalam dunia hari ini.

Perkembangan teknologi komunikasi memberi satu tamparan hebat terhadap bahasa Melayu. Bahasa Melayu diserang akibat perkembangan teknologi komunikasi ini.

Generasi akan datang tidak lagi dapat menjiwai bahasa Melayu sebagaimana generasi sebelum ini. Bahasa Melayu yang suatu ketika dahulu menjadi lidah atau medium dalam perjuangan bangsa untuk menentang penjajah dan perjuangan menentang Malayan Union kini dicemar oleh penutur bahasa itu sendiri.

Sejarah juga membuktikan bahawa bahasa Melayu menempuh beberapa zaman getir dan mencabar. Kedatangan Portugis, Belanda dan Inggeris memberi tamparan hebat kepada bahasa Melayu. Justeru, evolusi bahasa Melayu turut berlaku secara perlahan-lahan kesan daripada penjajahan berkenaan.

Kini, perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi sekali lagi menyerang bahasa Melayu, seterusnya mencorakkan bentuk masyarakat yang baharu, struktur ekonomi baharu yang lebih berpaksi kepada alam maya serta pasaran sengit dalam pasaran antarabangsa.

Justeru, bahasa Melayu perlu kukuh dan mantap untuk membolehkannya memperkatakan apa sahaja bidang yang begitu cepat muncul dan berkembang dalam kehidupan manusia.

Dalam keluaran akhir Februari 2012, The Economist muncul dengan 'Embracing the Future,' mengingatkan penggunaan teknologi atau kehilangannya. Menurut David

K Harrison, ahli linguistik dari Swarthmore College di Pennsylvania bahawa teknologi moden dapat menyelamatkan bahasa, di samping memusnahkannya.

Teknologi ancam bahasa

Harrison yang pernah menjalankan kajian dan menulis kepupusan bahasa optimis dan percaya bahawa teknologi maklumat sesuatu yang dianggap oleh ramai orang sebagai ancaman terhadap kepelbagaian bahasa.

Bahasa Melayu rojak kini semakin berkembang tanpa ada sebarang halangan dan sekatan. Penggunaan bahasa Melayu dalam ruang siber ini menyaksikan berlakunya ancaman yang ketara, khususnya ruang sembang siber yang memperlihatkan bahasa Melayu semakin dilacurkan.

Penggunaan bahasa Melayu dalam SMS, Facebook, WhatsApp, Telegram, WeChat dan berbagai-bagai lagi aplikasi tidak lagi menggunakan bahasa Melayu yang betul atau standard.

Contoh bahasa Melayu yang sering digunakan di ruang siber adalah seperti: "Perggh..gempak giler, terbaek, OK..orait, Ellemak ..lupa lak, Eeee..teruknya, chow, opocot, hek eleh." Singkatan yang sering digunakan pula ialah seperti: Pulak jadi lak, pergi jadi p, minta diri dulu jadi chow, serta beratus-ratus lagi atau mungkin beribu-ribu lagi.

Fenomena sebegini dikhuatiri akan mencemarkan nilai asli bahasa Melayu. Ayat yang dibentuk juga tidak mematuhi hukum tatabahasa bahasa Melayu dan kelihatan janggal.

Keupayaan bahasa Melayu untuk bertahan dalam era siber banyak bergantung kepada keupayaan masyarakat penuturnya. Sikap masyarakat terhadap bahasa Melayu telah menyebabkan kesukaran untuk meletakkannya di persada antarabangsa.

Ketidakyakinan kita terhadap bahasa ibunda berkembang menjadi bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa mengakibatkan bahasa Melayu terus tercicir dalam persaingan bahasa lain di dunia. Penutur bahasa Melayu lebih senang menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa rojak yang kini semakin menjadi ancaman terhadap kemurnian bahasa Melayu.

Mereka menganggap bahasa Melayu tidak setanding dengan bahasa Inggeris serta berasakan lebih elit menggunakan bahasa Inggeris, walaupun bertutur dengan orang Melayu. Mereka juga menganggap bahasa rojak dikatakan lebih santai dan tidak begitu formal.

Kita juga terpaksa menerima hakikat bahawa bidang teknologi maklumat dan komunikasi ini adalah ilmu yang datang daripada luar. Ilmu ini tidak dapat ditemui dalam dunia Melayu. Namun, ini tidak bermakna kita harus kiblatkan Barat dalam menghasilkan istilah bidang ini.

Merujuk kepada rencana dalam Dewan Bahasa pada bulan Mac tahun 2012, menyatakan bahawa mengikut Ethnologue, pada tahun 2005, terdapat sejumlah 6,912 bahasa di dunia. Daripada jumlah itu, 516 menghadapi ancaman kepupusan.

Guna bahasa lebih santai

Generasi muda hari ini lebih mementingkan bahasa yang mempunyai nilai ekonomi serta bahasa yang santai dan mudah digunakan dalam ruang siber. Faktor lain mungkin tidak dipentingkan sangat.

Jika autoriti bahasa itu tidak dipelihara, maka akan terhakislah keutuhan bahasa Melayu yang dahulunya digunakan sebagai bahasa pergaulan yang bersifat perhubungan (lingua franca) di wilayah kepulauan Melayu sejak abad ketujuh pada zaman kerajaan Srivijaya sehinggalah abad ke-14 dan pada zaman kerajaan berikutnya seperti Empayar Melayu Melaka.

Dengan terhakisnya keutuhan bahasa Melayu, nilai budaya serta identiti bangsa kita sebagai bangsa Melayu juga akan turut lenyap ditelan zaman.

Mengikut Ibnu Khaldun dalam kitabnya Muqaddimah, yang menentukan jatuh bangun sesuatu bangsa adalah kekuatan asabiyahnya. Salah satu perkara yang menjadi penentu kepada kekuatan asabiyah itu adalah bahasa yang menjadi alat komunikasi sesuatu rumpun bangsa.

Menurut Profesor Dr James T Collins, pula apa yang perlu disedari adalah kewibawaan sesuatu bahasa itu tidak terletak pada wibawa bahasa itu sendiri, akan tetapi kepada kesetiaan pendokong dan penuturnya.

Sebagai renungan, satu ketika dahulu, apabila pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris diperkenalkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2003, pelbagai reaksi yang kita terima bersifat menentang penggunaan bahasa Inggeris itu terutama daripada mereka yang kononnya dianggap sebagai pejuang bahasa.

Tetapi kini apabila bahasa Melayu di ruang siber itu dilacurkan setiap saat, apakah peranan pejuang bahasa itu?

Penulis ialah Felo Kanan Pusat Sains dan Alam Sekitar Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Related Post

0 Komentar untuk " Perkembangan teknologi pinggir bahasa Melayu "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ