Pelihara akhlakmu, berpegang pada teguh al-Quran - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Pelihara akhlakmu, berpegang pada teguh al-Quran

SEGALA puji bagi ALLAH SWT yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Meminta keampunan daripada-Nya dan meminta perlindungan kepada-Nya daripada kejahatan diri serta keburukan amal perbuatan. Sesungguhnya tidaklah masuk hal yang sama bagi Muslim yang menginginkan keselamatan dirinya di dunia dan akhirat.

Berpegang teguhlah kita kepada al-Quran dan As-Sunnah. Dengan pemahaman ulama salafusoleh, ia  adalah penyelamat bagi sesiapa yang menginginkan keselamatan ke atas dirinya.

Sedar atau tidak, jika dilihat dalam masyarakat Islam hari ini, ramai yang tidak menjaga akhlak. Terutama mereka yang berbeza pendapat dan pandangan dalam bab agama. Hilangnya rasa malu dan hormat. Terutama apabila berdiskusi di lapangan media sosial. Dengan lantang mereka mengeluarkan pendapat tanpa memikirkan kesan negatifnya terlebih dahulu.

Akhlak di laman sosial

Di medan media sosial, terdapat pelbagai akhlak buruk dipamerkan. Mencaci, mengaibkan, menghina, dan fitnah dengan sengaja. Sewenangnya mereka menganggap perkara ini gurauan dan bahan untuk membalas ketidakpuasan hati masing-masing dan gigih mempertahankan hujah. Ingatlah pada sabda Rasulullah SAW, yang bermaksud: "Di antara kebaikan Islam seseorang itu iaitu meninggalkan hal-hal yang tidak bermanfaat baginya." (Riwayat At-Tirmizi)

Adakah cara ini dibolehkan? Adakah akhlak ini diajar oleh Islam dan ibu bapa kita? Pastinya tidak. Maka daripada mana datangnya akhlak buruk lagi keji ini. Apa pula pandangan dan persepsi masyarakat bukan Islam terhadap kita?

Semestinya akhlak ini datangnya daripada hati dan jiwa yang kosong tanpa ilmu, iman dan kotor. Berhati-hatilah daripada berkata-kata mengikut kata hati. Firman ALLAH: "Apa pun perkataan yang terucap pasti disaksikan oleh Raqib dan ‘Atid." (Surah Qaff: 18)

Kadangkala perdebatan itu menjadi bertambah parah dan panas apabila membabitkan tokoh agama. Ini kerana apabila berhadapan dengan gajet canggih yang menghubungkan kita dengan media sosial, kita tidak dapat menahan diri untuk berkongsi, bercerita dan mengulas keburukan orang lain. Mengaibkan dan memfitnah sesama saudara Islam.

Bahaya lisan

Bahaya lisan itu sangat banyak. Rasulullah SAW bersabda: "Bukankah manusia terjerumus ke dalam neraka kerana tidak dapat memelihara  lidahnya." (Riwayat Abi Daud)
Baginda SAW turut bersabda: "Tiap-tiap ucapan anak Adam menjadi tanggungjawabnya, kecuali menyebut nama ALLAH, menyuruh berbuat makruf dan mencegah kemungkaran." (Riwayat Ibnu Majah)

Berkata baik atau diam

Tahukah apa tujuan utama kita hidup di dunia ini? Adakah kita hidup untuk berhujah dan bergaduh di laman sosial?. Pernahkah setiap kali kita berhadapan dengan media sosial, kita berfikir dan muhasabah diri sejenak sebelum menulis atau berkongsi sesuatu perkara?

Daripada Abu Hurairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang beriman kepada ALLAH dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau diam, sesiapa yang beriman kepada ALLAH dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jirannya dan barang siapa yang beriman kepada ALLAH dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya." (Riwayat Bukhari)

Akhlak salafusoleh

Benar, setiap daripada kita mempunyai hak untuk menegur dan berhujah mengenai sesuatu yang tidak benar. Namun ia mempunyai batas dalam menggunakan hak tersebut. Dan sesungguhnya mencontohi Rasulullah SAW, sahabat dan salafusoleh adalah yang perbuatan terbaik.

Tahukah kita, golongan salafusoleh sangat mulia akhlak mereka. Mereka hidup saling menyayangi, menyebarkan salam, mengeratkan hubungan persaudaraan sesama Islam, membantu dan menyayangi yang miskin, memelihara bab halal haram, melakukan amar makruf nahi mungkar, jauhi sifat tamak, saling menasihati dalam kebenaran dan bersabar.

Mereka juga mewajibkan haji, berjihad, berjemaah dan melaksanakan solat bersama pemerintah Islam serta membimbing umat ke arah kebaikan. Kerana mereka yakin dengan sabda Rasulullah SAW: "Seorang mukmin dengan mukmin yang lain ibarat bangunan kukuh, di mana bahagian yang satu menguatkan bahagian yang lain." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Dilarang & dituntut

Kita dilarang bergaduh sesama Muslim, memutuskan persaudaraan,  membanggakan keturunan, sombong, riak, ujub dan melampaui batas serta mengganggu orang lain. Malah kita dituntut berbuat baik dengan jiran, anak yatim, orang miskin, kanak-kanak dan orang yang bermusafir serta berbudi pekerti.

Jujur dan ikhlas dalam menasihati orang lain, dengan mengharapkan keredaan ALLAH SWT dengan segala perbuatan yang kita dilakukan di dunia, hanya untuk mendapat keredaan ALLAH.

Asas amalan yang ikhlas adalah memurnikan niat kepada ALLAH SWT semata-mata. Orang yang ikhlas sentiasa takut dan mengingati ALLAH SWT serta menjauhi sifat emosi dan ingin bersaing sesama sendiri.

Bersifat zuhud jauhi ujub

Bersifat zuhud (merendah diri) dan jauhi sifat ujub (bukan untuk kelihatan hebat) dalam melakukan sesuatu perkara. Dalam satu kisah, Ibnu Mubarak berkata: "Aku tidak menemui sesuatu yang berbahaya menimpa orang yang beribadah, selain ujub."

Sabda Rasulullah SAW: "Jika kalian tidak berdosa, maka aku takut kalian ditimpa dengan perkara yang lebih besar darinya (iaitu) ujub! ujub!" (Riwayat al-Baihaqi)
Lihat akhlak Rasulullah SAW dalam berdakwah dan berhujah.

Akhlak ini sangat penting kerana jika dilakukan yang sebaliknya, mereka yang hendak kita  dakwah akan menjauhkan diri daripada dakwah dan memberi gambaran yang negatif kepada dakwah yang dibawa.

Bersifat sabar

Sabda Rasulullah SAW: "Orang yang gagah perkasa tidak diukur dengan kemenangan dalam pertarungan, tetapi kekuatan yang sebenar ialah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Sabar adalah sifat yang sangat berat. Bukan semua orang memilikinya. Namun kita dituntut untuk bersabar. Dan tidak rugi bagi orang yang bersabar. Firman ALLAH: "Wahai sekalian orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang, kerana sesungguhnya ALLAH bersama (menolong) orang yang sabar." (Surah Al-Baqarah: 153)

Pelihara aib saudara lain

Dalam kita berbeza pendapat dan pandangan. Namun janganlah sesekali kita lupa mengenai akhlak menjaga aib saudara kita. ALLAH SWT berfirman: "Sesungguhnya orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji (aib) itu tersiar dalam kalangan orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan ALLAH SWT mengetahui, sedang, kamu tidak mengetahui." (Surah An-Nuur: 19)

Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa menutup aib seseorang Islam, maka ALLAH akan tutupkan aibnya di dunia dan di akhirat." (Riwayat At-Tirmidzi)

Semoga penulisan ini memberi sedikit manfaat dan kesedaran kepada kita semua dalam menjaga akhlak diri. Terutama dalam bab berhujah mengenai ilmu agama.

Semoga kita semua dipelihara dan dilindungi oleh ALLAH daripada segala fitnah serta menutup setiap aib kita.

Rasulullah SAW bersabda: "Setiap daripada kamu adalah orang yang berbuat salah, dan sebaik-baik orang yang berbuat salah adalah orang yang bertaubat." (Riwayat Ahmad)

* Ini adalah pendapat peribadi penulis yang dipetik dari blog beliau sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Sinar Harian Online.

0 Komentar untuk " Pelihara akhlakmu, berpegang pada teguh al-Quran "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ