Pelaksanaan hudud tidak menguntungkan Pakatan, BN, kata Kit Siang - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Pelaksanaan hudud tidak menguntungkan Pakatan, BN, kata Kit Siang

Pelaksanaan hudud tidak menguntungkan Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat, kata veteran DAP Lim Kit Siang. – Gambar fail The Malaysian Insider, 23 Disember, 2014.

Tiada pihak yang akan meraih keuntungan, sama ada Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Rakyat (PR) melalui pelaksanaan hudud di Kelantan seperti yang cuba dilakukan kerajaan PAS di negeri itu, kata veteran DAP Lim Kit Siang.

Lim berkata PR tidak akan bertahan apabila ada parti komponennya bertindak di luar kerjasama mereka termasuk kesepakatan bersama pembangkang berkenaan.

"Kita tidak boleh menipu mengatakan PR mencapai persetujuan dengan PAS dan DAP 'bersetuju untuk tidak bersetuju' berkenaan isu hudud, dan membenarkan PAS meneruskan hudud di Parlimen secara bersendirian.

"Tiada perjanjian sedemikian," kata ketua Parlimen DAP itu.
Kerajaan negeri Kelantan yang ditadbir PAS akan mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 29 Disember depan bagi meluluskan rang undang-undang hudud untuk membolehkan Kelantan melaksanakan hukum syariah tersebut.

"Ia tidak memberikan faedah kepada PR dan BN," katanya.

Lim berkata, Majlis Tertinggi PR juga tidak dimaklumkan lebih lanjut berhubung sidang DUN khas berkenaan.

"Ini menimbulkan persoalan, betapa penting dan bernilai PR di mata kepimpinan PAS," katanya.

Katanya, semua bekas perdana menteri terdahulu juga tidak akan bersetuju untuk melaksanakan hudud.

"Pendirian tiga perdana menteri sebelum ini, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein Onn jelas, hudud bercanggah dengan undang-undang dan Perlembagaan kerana Malaysia adalah negara sekular," katanya.

Beliau turut mengingatkan, prestasi terbaik PAS dan PKR dalam pilihan raya umum adalah pada ketika mereka bersama membentuk pakatan pembangkang.

"Prestasi terbaik PAS dan PKR dalam pilihan raya adalah pada 1999, 2008, dan 2013, bersama DAP pada 2008 dan 2013.

"Saya katakan, sekiranya hudud menjadi isu panas dalam Pilihan Raya Umum 2013, BN bukan saja mampu mencapai kemenangan dua pertiga Dewan Rakyat, PR akan hilang Selangor, selain Kedah. Manakala Johor akan tetap menjadi kubu kuat BN," katanya.

Katanya, berbanding memenangi 89 kerusi Parlimen (21 PAS, 30 PKR dan 38 DAP), mereka berkemungkinan hanya akan memenangi 46 daripada 222 kerusi Parlimen dengan PAS 16, PKR 7, dan DAP 23.

Beliau berkata, jumlah 229 kerusi DUN PR di Semenanjung pula akan menyaksikan hanya 134 kerusi akan dimenangi mereka dengan 62 kerusi daripada PAS, 15 PKR dan 57 DAP.

"PR sudah pasti berdepan rintangan besar, kehilangan Kedah dan Selangor, manakala PAS sudah tentu kehilangan kerusi DUN di Johor dan Melaka.

"Menyedihkan, jika senario politik seperti itu berlaku.

"Terutama sekali rakyat Malaysia mengharapkan perubahan semakin hampir, tetapi rakyat Malaysia tidak mampu mengelak perkara yang tidak boleh dielakkan," katanya. – 23 Disember, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pelaksanaan-hudud-tidak-menguntungkan-pakatan-bn-kata-kit-siang#sthash.S1Ztgtzu.dpuf
0 Komentar untuk " Pelaksanaan hudud tidak menguntungkan Pakatan, BN, kata Kit Siang "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ