Minyak turun, barang tetap naik - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Minyak turun, barang tetap naik

SEBAGAI  orang biasa tidak banyak yang hendak saya komen mengenai penurunan harga petrol, Isnin lalu. Lagi pun saya tidak mahu termasuk dalam kumpulan ‘pakar ekonomi mi segera’ seperti yang dikatakan oleh Khairy Jamaluddin.

Menteri Belia dan Sukan itu bersinis, ramai sangat ekonomis mi segera yang mengulas dan mengemukakan pelbagai teori berhubung kaedah pengapungan harga bahan api mulai 1 Disember, tanpa merujuk fakta.

Namun sebagai pengguna sekolah atap @ sekolah pondok, faham jugalah saya bahawa pengapungan itu bermakna harga petrol RON95, RON97 dan diesel akan ditetapkan mengikut pasaran sebenar minyak dunia. Mudah cakap, subsidi minyak dimansuhkan.

Maka, seperti yang diumumkan oleh kerajaan mulai tengah malam awal Disember itu harga runcit RON97 turun sebanyak sembilan sen seliter kepada RM2.46 seliter, RON95 turun empat sen kepada RM2.26 seliter, manakala diesel naik tiga sen menjadi RM2.23.

Bahan bakar, khasnya petrol, adalah pengukur kos kehidupan di tempat kita. Seperti yang telah dibuktikan selama ini, sekiranya petrol naik – walaupun setengah sen –  harga barang-barang lain akan ikut naik.

Setiap kali petrol naik, menteri akan bercakap – penuh semangat – dua perkara. Pertama: “Kenaikan harga petrol, tidak akan menjejaskan kehidupan rakyat.” Kedua: “Kita akan mengambil tindakan tegas ke atas peniaga yang naikkan harga barang sesuka hati!”

Seperti yang telah dibuktikan juga, biasanya kata-kata itu tidak berkesan @ tidak ada makna @ auta. Contoh, hanya beberapa jam setelah pengumuman kenaikan harga petrol, ada pekedai menaikkan harga teh tarik dan roti canai.

Lebih menyakitkan hati, petrol naik 10 sen seliter, teh tarik naik 10 sen segelas, roti canai – makanan No.1 rakyat 1Malaysia – naik 10 sen sekeping. Hatta cendol mamak pun naik 10 sen semangkuk.

Kata mamak: “Petrol sudah naik 10 sen seliter, saya pun kena naikkan harga cendol.” Pada hal dia tidak pun menggunakan petrol, sebab jual cendol atas basikal. Mana ada basikal pakai petrol! Jadi, ikrar kenaikan harga petrol tidak menjejaskan kehidupan, ternyata hanya cakap kosong.

Sama juga ikrar untuk bertindak tegas, itu pun hanya klise untuk menyedapkan hati sendiri. Memang, cakap berdegar-degar untuk bertindak tegas ke atas lintah darat yang menghisap darah pengguna dengan menaikkan harga sesuka hati.

Tetapi, apabila banyak peniaga menghisap darah, yang dikenakan tindakan tidak banyak. Si penghisap darah bukan sahaja lintah, tetapi puntianak, drakula dan lain-lain jin, semua tidak diambil tindakan. Darah saya kering, puntianak terlepas begitu sahaja.

Pendek kata, perihal kenaikan harga minyak, memang sesuatu yang mengecewakan. Maka berharap benarlah saya dengan penurunan petrol untuk tempoh awal pengapungan ini, ada sesuatu yang menggembirakan. Sekurang-kurangnya teh tarik dan roti canai turun harga.

Tetapi setakat tiga-empat hari ini teh tarik, roti canai, juga makanan-makanan lain tidak turun. Kalau tanya pada penjual cendol, mesti dia akan kata: “Saya guna basikal, minyak turun atau minyak naik tiada kena-mengena dengan basikal saya. Jadi, minyak turun pun harga cendol tidak boleh turun.” Pendek kata, jika petrol naik barang lain cepat naik. Jika petrol turun, barang lain tidak turun.

Bulan hadapan juga bulan-bulan seterusnya, petrol mungkin naik lagi mengikut harga pasaran dunia. Pasti teh tarik dan roti canai naik lagi. Pendek kata bagi orang ramai, ada subsidi atau hapus subsidi, barang terus naik, naik dan naik.

Pun begitu saya bersangka baik bahawa dengan terhapusnya subsidi minyak, negara boleh menjimatkan RM20 bilion setahun. Itulah yang ditegaskan oleh kerajaan apabila hendak menghentikan subsidi minyak.

Kata kerajaan lagi: “Duit penjimatan subsidi minyak akan digunakan untuk pembangunan, akan dikembalikan semula pada rakyat.” Semua orang berharap kata-kata ini bukan auta.

Penjimatan RM20 bilion boleh buat banyak benda – buat klinik, dirikan sekolah baru, baiki jalan berlubang, bina jambatan, macam-macam. Dengan pemotongan subsidi, harga minyak boleh naik, boleh turun. Tetapi barang yang naik susah hendak turun. Itu pun rakyat boleh terima.

Tetapi rakyat mahu penjimatan RM20 bilion itu perlu betul-betul digunakan untuk kepentingan rakyat, kalau tidak rakyat akan naik darah. Semua orang tahu, naik darah @ naik angin lebih berbahaya daripada naik minyak atau naik barang.

0 Komentar untuk " Minyak turun, barang tetap naik "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ