Menjawab kritikan Cina Muslim - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Menjawab kritikan Cina Muslim

TULISAN  ini bertujuan menjawab beberapa persoalan yang ditimbulkan oleh Xifu Naser dalam ruangan “Pandanganku” pada 5 Disember 2014.

Saya menyokong tulisan Xifu berkenaan Tunku Abdul Rahman Putra yang merupakan pelopor dakwah dan kebajikan saudara yang baru memeluk Islam.
Tunku adalah pengasas Perkim (1960) dan Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP, 1961).

Objektif penubuhan IDIP adalah untuk memberikan kefahaman asas agama Islam kepada mualaf, atau insan cross over, istilah yang diperkenalkan oleh Xifu Naser.

Institut ini melatih dan menghasilkan mubaligh dalam kalangan mereka yang baru mendapat hidayah. Semua pelajar akan diusahakan tajaan kewangan bagi menampung kos yuran dan sara hidup selama mereka di IDIP. Mereka yang cemerlang berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Persepsi bahawa insan cross over  hanya kelihatan berbicara dalam rancangan “Mengapa saya peluk Islam” seperti dinyatakan oleh Xifu Naser adalah tidak tepat.

Benar, tiada Cina Muslim mengetuai mana-mana parti politik Cina atau Islam, atau institusi Islam yang berautoriti dan sebagainya.

Mungkin agak mustahil untuk melahirkan seorang lagi tokoh politik seperti Allahyarham Tun Omar Ong Yoke Lin, seorang daripada pengasas MCA dan juga anggota Kabinet semasa pentadbiran Tunku.

Namun, ada juga insan  cross over yang berjaya dalam bidang politik; contohnya, Drs Khalil Idham Lim (Lim Chuan Hing), bekas Adun Titi Serong, Perak, dan YB Datuk Anuar Tan (Tan Teng Loon), Adun Kota Lama, Kelantan sejak 1999 dan sekarang merupakan Exco Kanan Kerajaan Negeri Kelantan.

Pelaburan dan tenaga untuk menghasilkan sesuatu seperti masjid bukanlah sia-sia. Idea penubuhan masjid berseni bina Cina ini telah diutarakan sejak Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) ditubuhkan pada 1994.

Antara tujuannya untuk membuang persepsi Cina belum Islam bahawa masuk Islam adalah masuk Melayu. Masjid berseni bina Cina ini dapat dijadikan medium dakwah dan menunjukkan Islam adalah universal dan milik semua bangsa, bukan milik Melayu atau Arab sahaja.

Alhamdulillah, dengan usaha yang tidak kenal jemu oleh gerakan Cina Muslim ini, maka masjid berseni bina Cina yang pertama telah dibina di Rantau Panjang, Kelantan pada 2005 dan dirasmikan pada 2009.

Masjid ini dinamakan Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra tetapi lebih dikenali sebagai Masjid Beijing. Seterusnya, masjid berseni bina Cina yang kedua, Masjid Muhammadiah di Taman Tasek Jaya, Ipoh, Perak telah dirasmikan pada 2013 dan yang terbaharu ialah Masjid Cina Negeri Melaka pada tahun ini.

Persoalan yang ditimbulkan, “di manakah imam Cina yang akan mengimami solat di masjid Cina?” Soalan yang cukup bagus. Kita mempunyai cukup Cina Muslim yang layak untuk menjadi imam.

Bekas Timbalan Presiden MACMA, Ir Dr Mohd Fuad Yeoh (Yeoh Keat Hian) mempunyai doktor falsafah dalam bidang pengajian Islam dan fasih berbahasa Arab.

Selain beliau, Ustaz Hussein Yee juga fasih berbahasa Arab dan hebat dalam berdakwah; beliau sekarang mengetuai Yayasan Al-Khadeem. Ramai lagi Cina Muslim dari MACMA dan pertubuhan bukan kerajaan lain yang giat berdakwah tetapi tidak dikenali ramai. Mereka ini boleh sahaja menjadi imam di masjid-masjid Cina.

Ramai Cina Muslim yang fasih Mandarin bekerja dengan jabatan-jabatan agama negeri, tetapi untuk menyampaikan dakwah Islam dalam bahasa ibunda mereka ini merupakan satu cabaran kerana tidak semua perkataan Arab mudah untuk diterjemahkan. Lagipun, bukan semua orang Cina boleh berbahasa Mandarin kerana tidak semuanya belajar di sekolah Cina.

Bagi penulis, tidak salah jika kita mempunyai imam Cina Muslim yang fasih berbahasa Melayu atau Inggeris, dan mengimami masjid Cina serta menyampaikan khutbah dalam bahasa Melayu atau Inggeris.

Bukankah Malaysia sudah merdeka sejak 1957? Bukankah semua bangsa Malaysia memahami bahasa kebangsaan dan juga bahasa Inggeris? Kebolehan berbahasa Mandarin merupakan satu kelebihan tetapi ia bukan kemestian.

Kesimpulannya, walaupun gerakan Cina Muslim tidak terlibat secara langsung dalam “pembinaan orang sehingga menjadi ulama”, tetapi ruang untuk insan cross over mendalami ajaran Islam cukup banyak, contohnya di IDIP atau lain-lain institusi latihan yang disediakan oleh kerajaan dan majlis agama Islam negeri.

Cina Muslim Malaysia tidak perlu gusar jika dianggap mualaf seumur hidup.

Abaikan sahaja pandangan sebegini. Usah jadikan beberapa kes mualaf yang tidak berjaya sebagai penghalang untuk maju ke hadapan. Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubahnya.

* Penulis ialah Pengerusi MACMA Kelantan & AJK Perkim Kelantan.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis yang dipetik dari blog beliau sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Sinar Harian Online.

0 Komentar untuk " Menjawab kritikan Cina Muslim "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ