Hari Habitat Sedunia disambut pada Isnin pertama bulan Oktober pada setiap tahun secara global. Sambutan Hari Habitat Sedunia dianjurkan oleh semua negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk Malaysia bagi meningkatkan kesedaran akan kepentingan membangunkan petempatan manusia yang lebih sempurna, selesa dan kondusif.
Hari Habitat Sedunia mula disambut pada tahun 1986 dengan objektif meningkatkan kesedaran seluruh masyarakat dunia mengenai perihal keadaan petempatan manusia semasa, hak setiap individu untuk memiliki tempat tinggal, jaringan sistem pengangkutan, kemudahan asas yang sempurna serta selesa dan mengingatkan masyarakat antarabangsa mengenai tanggungjawab masing-masing terhadap masa depan penempatan tamadun manusia itu sendiri.
Tidak dapat dinafikan, sudah banyak usaha diambil oleh kerajaan sejak kemerdekaan pada tahun 1957 bagi meningkatkan taraf hidup rakyat. Segala usaha ini dilakukan dengan jayanya melalui pengenalan serta pelaksanaan dasar semasa sejak tahun 1950 seperti Dasar Ekonomi Baru dan lain-lain lagi. Melalui usaha yang dilakukan oleh pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, beliau telah mengusahakan Rancangan Malaysia Kesepuluh 2011-2015 yang mengandungi aspirasi Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Model Baru Ekonomi yang berteraskan matlamat menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020.
Persekitaran tidak menentu
Pada masa sama, negara juga terdedah dengan persekitaran yang tidak menentu pada peringkat global. Ada pelbagai cabaran yang perlu dilalui bagi terus menjamin kesejahteraan penduduk dalam negara kita. Sejajar dengan sambutan Hari Habitat Sedunia serta proses pembentangan belanjawan negara beberapa langkah boleh diambil oleh pihak kerajaan bagi terus menjamin kesejahteraan hidup rakyat.
Antara aspek yang boleh diberikan penekanan ialah dengan memberi fokus kepada masalah kemiskinan bandar, isu gelandangan serta penambahbaikan kemudahan pengangkutan awam.
Tidak dapat dinafikan bahawa, kepesatan ekonomi negara selama ini dengan pembangunan prasarana yang serba canggih dan moden menyebabkan bandar menjadi pusat tumpuan penduduk dalam negara kita untuk menetap serta mencari rezeki. Bandar juga menjadi pilihan orang ramai untuk tinggal dengan adanya peluang pekerjaan yang banyak. Justeru, berlakulah penghijrahan inter dan intra bandar.
Peluang ekonomi, pendidikan dan kehidupan sosial yang berkualiti yang banyak terdapat di bandar juga menjadi tarikan utama proses penghijrahan ini berlaku. Namun, tanpa persediaan dari segi taraf pendidikan, kekurangan tempat tinggal mampu milik serta peningkatan kos sara hidup menyebabkan ramai penduduk bandar tersisih daripada rentak kerancakan pembangunan bandar itu sendiri. Maka dengan itu, penduduk bandar ini dianggap sebagai 'miskin' di tengah kemewahan bandar.
Jika masalah perumahan yang selesa dan berpatutan menjadi isu kepada penduduk bandar, keruntuhan sosial akan terjadi serta peningkatan kes jenayah. Inilah istilah 'kemiskinan bandar' wujud seperti di bandar raya Kuala Lumpur, Johor Bharu atau Pulau Pinang.
Isu gelandangan
Gelandangan di kota juga telah mendapat perhatian. Tidak ada sesiapa yang pasti kenapa perkara ini berlaku di dalam negara kita. Untuk mencari tempat berteduh dan kawasan bagi mengelak daripada panas dan hujan golongan gelandangan terpaksa tidur di kawasan terbuka seperti di bawah jambatan, tepian hentian bas, di bawah pokok rendang di tengah kota dengan susunan kotak dan sebagainya.
Kerajaan memberi peruntukan untuk menubuhkan lebih banyak Pusat Sehenti Intervensi seperti 'Anjung Singgah' yang bertujuan membantu serta melindungi golongan gelandangan terbabit terutamanya wanita, kanak-kanak, warga tua, orang kurang upaya (OKU) dan lain-lain. Penubuhan pusat seperti ini adalah penting bagi menangani isu yang membabitkan golongan terbabit yang sentiasa terdedah dengan risiko bahaya kehidupan seharian tanpa mempunyai sebarang tempat perlindungan di kota. Pada era globalisasi ini juga, penggunaan kemudahan pengangkutan awam adalah penting bagi berjimat. Ramai pengguna mula menggunakan pengangkutan alternatif ini bagi memudahkan mereka menuju ke destinasi. Lantaran, mereka menggunakan bas, teksi, LRT, Monorel dan KTM Komuter sebagai pengangkutan utama.
Tegasnya, suasana habitat membabitkan pelbagai aspek kehidupan menjadi faktor sejauh mana keselesaan dan kesejahteraan kita.
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USM)
0 Komentar untuk " Memperkasa pembangunan petempatan lebih sempurna, selesa "