Magna Carta, asas kedaulatan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Magna Carta, asas kedaulatan

PADA awal kurun ke-13, England diperintah oleh Raja John. Raja John adalah adik kepada King Richard I, yang juga dikenali sebagai Richard the Lionhearted yang terkenal kerana penglibatannya dalam Perang Salib dan pertempurannya dengan Sallehudin-al-Ayubi. Apabila King Richard I mangkat, King John dinobat menjadi raja.

Semasa baginda dinobatkan, England masih mempunyai beberapa jajahan di Perancis. Namun demikian, tanah jajahan tersebut telah jatuh ke tangan Raja Perancis. Baginda cuba untuk merampas semula tanah jajahan tersebut melalui suatu ekspedisi perang pada tahun 1214, tetapi selepas suatu pertempuran di Bounvines, Perancis, Raja Philip II akhirnya menamatkan ekspedisi tersebut.

Ekspedisi perang King John di Perancis mendapat tentangan oleh pemilik-pemilik hartanah di England yang dikenali sebagai barons. Mereka antara lain tidak berpuas hati dengan dasar kewangannya yang antara lain meninggikan cukai dikenakan terhadap mereka dan selepas kekalahan King John di Bouvines, baron-baron tersebut memberontak. Peperangan akhirnya tercetus di antara baron-baron yang memberontak dan King John serta mereka yang masih setia dengannya.

Baron-baron yang memberontak membuat beberapa tuntutan kepada King John bagi melindungi apa yang mereka lihat sebagai hak-hak mereka. Rundingan damai diadakan dan bagi mengelakkan daripada peperangan menjadi lebih teruk, King John telah menandatangani suatu piagam yang dikenali sebagai ‘Magna Carta’.

Magna Carta merupakan suatu piagam yang begitu penting dalam sejarah England dan undang-undang common law di seluruh dunia. Buat pertama kalinya, kuasa seorang raja di England telah dihadkan melalui sebuah perjanjian di antara golongan pemilik hartanah dan pemerintah.

Antara klausa yang paling penting, dan masih mempunyai kuat kuasa undang-undang di United Kingdom adalah klausa 39 yang menyatakan bahawa tidak ada orang yang bebas boleh dihukum penjara atau dirampas harta tanpa melalui suatu proses undang-undang. Inilah yang dikenali sebagai kedaulatan undang-undang atau ‘rule of law’.

Manga Carta menjadi asas kepada prinsip yang masih diguna pakai sehingga kini bahawa kuasa pemerintah tidak mutlak. Ia dilihat sebagai suatu piagam yang menjanjikan hak-hak individu di England, yang mana sebelum ini hak-hak individu tersebut tidak terjamin mahupun terpelihara.

Sebenarnya mereka yang memeterai Magna Carta tidak pun memikirkan hak atau kebebasan golongan biasa. Golongan serf di England pada masa itu tidak mempunyai hak. ‘Orang bebas’ yang disebut dalam Magna Carta adalah golongan yang berada, bukan golongan serf yang sering ditindas.

Magna Carta itu sendiri tidak dapat menyelesaikan kemelut di antara Raja John dan baron-baron yang memberontak. Piagam itu telah dimungkiri oleh Raja John, sama seperti janji baron-baron untuk setia kepada Raja John.

Tetapi kesan Magna Carta jauh melangkaui pihak-pihak yang memeterainya. Magna Carta menjadi titik permulaan kedaulatan undang-undang dan keperlembagaan; kontrak sosial pemerintah dan yang diperintah.

Tanggapan asas bahawa seorang individu tidak boleh dihukum kecuali melalui proses undang-undang ini akan dikembang dan diperhalusi menjadi hak-hak asasi yang dijamin dalam sesuatu dokumen seperti perlembagaan.

Magna Carta telah mempengaruhi pengasas negara Amerika Syarikat dalam merangka perlembagaan mereka selepas mendapat kemerdekaan daripada British. Dan ‘bayang’ Magna Carta dapat dilihat dalam perlembagaan negara-negara bekas jajahan British yang lain.

Tahun depan merupakan ulang tahun 700 tahun termeterainya Magna Carta. United Kingdom dan seluruh dunia akan meraikan apa yang dikatakan oleh hakim tersohor England, Lord Denning, sebagai “...dokumen perlembagaan yang terhebat sepanjang zaman – batu asas kebebasan individu terhadap kuasa arbitari pemerintah zalim.”


* Penulis seorang peguam muda yang mengamal undang-undang sebagai rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur.

0 Komentar untuk " Magna Carta, asas kedaulatan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ