Kos pengurusan banjir makin bertambah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kos pengurusan banjir makin bertambah

Kejadian banjir yang begitu kerap berlaku di negara ini menyebabkan Malaysia dilihat memerlukan sebuah akta berkaitan kawalan bencana yang bukan sahaja membabitkan alam sekitar, tetapi juga industri bagi menguatkuasakan undang-undang yang lebih berkesan terhadap mereka yang melakukan kesalahan ini terutama merosakkan alam sekitar.

 Akta dicadangkan dikenali sebagai Akta Bencana Negara bukan sahaja menyediakan undang-undang berkesan terhadap penjenayah alam sekitar, tetapi juga dilihat sebagai satu pendekatan yang agresif bagi mengelakkan kejadian kemusnahan alam sekitar yang boleh membawa kesan kepada berlakunya bencana.

 Walaupun isu membabitkan alam sekitar pada masa ini dilihat tertakluk di bawah penguatkuasaan Jabatan Alam Sekitar, namun kerajaan boleh menimbang untuk meletakkan akta yang dicadangkan ini di bawah jabatan tertentu atau menubuhkan satu jabatan khusus yang boleh bertindak sebagai penyelaras dalam usaha menangani kegiatan penjenayah alam sekitar.

 Perkara ini ditimbulkan Timbalan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Ogu Salim Omar, ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Senario Pengurusan Bencana Alam Sekitar pada Persidangan Kebangsaan Bencana Banjir anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selesai masalah penjenayah alam sekitar

Sehubungan itu, Ogu Salim meminta MPN memikirkan bagaimana akta berkenaan dapat direalisasikan seterusnya memberi penyelesaian kepada masalah penjenayah alam sekitar dan pada masa sama menyediakan satu pendekatan agresif untuk mengelakkan kejadian yang boleh disebut sebagai mafia alam sekitar yang boleh mengakibatkan kepada kejadian bencana.

Jelasnya, pada masa ini tumpuan kepada kejadian bencana lebih kepada tindak balas dan bukannya tindakan pencegahan. Pada masa sama, beliau juga meminta Unit Perancang Ekonomi (UPE) supaya melihat peruntukan terhadap perkara berkaitan keselamatan dan bencana kerana apa yang berlaku, agensi terbabit dengan bencana kekurangan dari segi perkakasan dan peralatan.

"Apabila dikejutkan dengan sesuatu kejadian bencana baharu kita sedar kelengkapan yang dimiliki agensi berkaitan bencana tidak mencukupi dan kita perlu meningkatkan kekuatan agensi terbabit," katanya.

Mengambil contoh Cameron Highlands, beliau berkata, pihaknya menghadapi sedikit kesulitan ketika kerja-kerja merobohkan struktur yang dibina pekebun sayur yang didakwa haram kerana tiada pihak di kawasan tanah tinggi berkenaan yang mahu meminjamkan jentera mereka dan hanya menggunakan dua jentera dipinjam dari kawasan lain.

  Ogu Salim berkata, dalam soal pengurusan bencana, MKN bertindak sebagai Agensi Peneraju dan pihaknya bekerjasama dengan agensi terbabit dalam operasi untuk bencana tertentu seperti bencana maritim yang dilaksanakan dengan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia; bencana udara (Jabatan Penerbangan Awam); jerebu (JAS); wabak penyakit, kemalangan biologi (Kementerian Kesihatan) dan bencana membabitkan kimia, radiologi dan nuklear dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Lembaga Pelesenan Tenaga Nuklear.

 Sementara itu, Ogu Salim menggariskan beberapa isu dan cabaran dalam pengurusan bencana di negara ini dengan satu daripadanya adalah mengarusperdanakan konsep pengurusan risiko bencana dalam pelaksanaan dasar membabitkan perancangan dan pembangunan negara oleh agensi berkaitan yang mana ia dilaksanakan pada peringkat pusat, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Perkukuh pengurusan bencana

Cabaran seterusnya adalah memperkukuhkan pengurusan bencana di semua peringkat terutama di daerah yang mana menurutnya pada peringkat berkenaan, jawatankuasa bencana diterajui oleh Pegawai Daerah dan mereka ini sering bertukar, oleh itu pada peringkat permulaan mereka tidak begitu mengetahui risiko dan bencana yang boleh berlaku di daerah berkenaan sedangkan mereka perlu tahu tanggungjawab perlu dimainkan.

 Beliau juga berkata, kerajaan juga perlu memperuntukkan sumber kewangan munasabah dalam pengurusan risiko yang mana perkara ini tidak begitu diberi penekanan yang menyebabkan bila berlaku bencana, daerah atau negeri tidak mempunyai kewangan mencukupi menanganinya dan tindakan segera tidak dapat diambil, justeru bidang ini perlu diperkemas dan diperkukuhkan.


PROJEK tebatan mengurangkan impak banjir. - Foto hiasan

  Ogu Salim berkata, meningkatkan pendidikan dan kesedaran serta kesukarelawan turut menjadi cabaran dalam pengurusan risiko di samping meminta pihak swasta turut bekerjasama dalam menangani kejadian bencana di negara ini.

 Katanya, melihat kepada negara jiran Indonesia, oleh kerana banyak bencana menimpa negara berkenaan mereka dilihat lebih cekap dalam menanganinya dan Malaysia perlu mencontohi negara berkenaan.

 Dalam perkembangan sama, Timbalan Pengarah Ekonomi Alam Sekitar dan Sumber Asli, UPE JPM, Mohamad Razif Abdul Mubin, berkata sekitar dekad 80-an kerosakan yang dialami negara akibat kejadian banjir berjumlah kira-kira RM100 juta setahun dan ia meningkat kepada RM900 juta setahun pada dekad 2000.

"Pada masa ini pula, jumlah kerosakan sekitar RM1 bilion setahun membabitkan kawasan seluas 26,000 kilometer persegi dengan penduduk yang terjejas kira-kira 5.7 juta orang," katanya dalam ucaptama bertajuk Impak Banjir Terhadap Pembangunan.

Meminimumkan kesan banjir, pengurusan risiko

Oleh itu katanya, langkah perlu diambil dalam meminimumkan kesan banjir dan pengurusan risiko harus menjadi agenda kerajaan Persekutuan, Negeri dan PBT selain perancangan dalam menangani masalah banjir harus membabitkan semua pihak dengan tumpuan kepada mengurangkan impak banjir.

Jelasnya, dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK), sebanyak RM5.6 bilion diperuntukkan bagi pelbagai projek untuk mengatasi banjir di seluruh negara dan jumlah ini meningkat kepada RM6.7 bilion dalam RMKe-10.

Bagi projek tebatan banjir pula, dengan peruntukan RM3 juta pada tahun 70-an iaitu pada RMK-2, ia meningkat kepada lebih RM1 bilion dalam RMKe-10 yang menyaksikan peningkatan dalam peratusan bagi keseluruhan RMK iaitu antara sifar hingga satu peratus pada RMK-2 kepada dua hingga tiga peratus pada RMKe-10, katanya.

  Bagi RMK-11 beliau berkata, fokus kerajaan dalam menangani banjir di negara ini tertumpu kepada pengukuhan persekitaran kental di samping menjayakan konsep pembangunan mampan dan pentingnya alam sekitar dijaga dan dirancang dengan sebaiknya.

0 Komentar untuk " Kos pengurusan banjir makin bertambah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ