Ketua pembangkang Selangor letak jawatan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Ketua pembangkang Selangor letak jawatan

Ketua Pembangkang Selangor Datuk Shamsuddin Mohd Lias menunjukkan surat penolakan jawatan pengerusi PAC dan makluman memulangkan kereta kepada kerajaan negeri di Shah Alam, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 8 Disember, 2014.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Datuk Shamsuddin Mohd Lias meletakkan jawatannya ha‎ri ini selepas menolak jawatan sebagai pengerusi Kira-Kira Wang Awam (PAC) negeri.

Shamsuddin berkata, jawatan ketua pembangkang yang mewajibkannya menjadi pengerusi PAC itu tidak lebih seperti menjadikannya sebagai boneka kerajaan Pakatan Rakyat (PR).

"Saya tiada pilihan melainkan sama ada saya mempertahankaan prinsip yang menjadi asas integriti saya atau menerima tawaran di mana kuasa hanya pada nama.

"Tetapi tangan saya terikat rapi serta terpaksa tunduk dengan tekanan apabila menjadi pengerusi PAC kelak," katanya pada sidang media di Shah Alam, hari ini.
Beliau berkata, jawatan dalam PAC itu tidak bermotifkan konsep demokrasi dan keadilan seperti yang digembar-gemburkan kerajaan PR Selangor.

Katanya, komposisi 7 ahli jawatankuasa itu berat sebelah; 5 Adun PR, 1 Adun BN (Jeram), serta dirinya.

"Kuasa tetap adalah berpihak di tangan PR, pengerusi PAC yang diwakili BN hanyalah menjadi boneka semata-mata. Apa ertinya jawatan kalau tiada kuasa," katanya.

Lima AJK PAC PR terbabit adalah Adun Sekinchan Ng Suee Lim, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Kajang), Rodziah Ismail (Batu Tiga), Ng Tien Chee (Balakong) dan Dr Abdul Rani Osman (Meru).

Katanya, tawaran jawatan itu ada muslihat politik kerana ia bakal dijadikan dasar PR untuk menuntut hak yang sama di Parlimen.

DUN Selangor pada 4 Disember lalu meluluskan pindaan peraturan tetap 68(1) bagi mewajibkan ketua pembangkang menjadi pengerusi PAC.

Adun Sungai Burong itu turut memulangkan kereta rasmi Toyota Camry yang diserahkan kerajaan negeri kepadanya bulan lalu kerana menganggap pemberian itu tidak ikhlas.

Katanya, Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali mengambil kesempatan meraih keuntungan politik dengan publisiti seolah-olah kemudahan kereta itu diberi semasa pentadbirannya.

Sedangkan menurut Shamsuddin, kereta itu diberi sejak pentadbiran menteri besar terdahulu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Nampaknya pemberian kereta Khalid lebih ikhlas kerana beliau memberi secara terus kepada saya tanpa hebohan publisiti kepada media dan menunjuk-nunjuk.

"Tetapi menteri besar baru yang bukan meluluskan pemberian kereta ini menghebohkan kepada semua seolah-olah beliau yang meluluskan pemberian tersebut seperti lembu punya susu sapi dapat nama," katanya.

Beliau turut mencabar Azmin memecat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penasihat ekonomi Selangor selepas Sultan Selangor menarik balik darjah kebesaran "Datuk Seri".

Katanya, tindakan Anwar mempertikaikan intergriti institusi raja dan menimbulkan kekacauan politik di Selangor hanya untuk memenuhi cita-citanya dan isterinya, Dr Wan Azizah menjadi menteri besar.

"Jika benar Azmin ingin mempertahankan prinsip integriti, beliau hendaklah berani menamatkan khidmat ahli Parlimen Permatang Pauh sebagai penasihat ekonomi Selangor," katanya. – 8 Disember, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/ketua-pembangkang-selangor-letak-jawatan#sthash.93zONM3I.dpuf
0 Komentar untuk " Ketua pembangkang Selangor letak jawatan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ