Industri pertanian perlukan sokongan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Industri pertanian perlukan sokongan

INDUSTRI pertanian perlu diberi sokongan kukuh bagi memastikan golongan yang terlibat dengan industri itu hidup dalam keadaan baik dari segi pendapatan dan jaminan kehidupan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata,  inisiatif yang pernah dilakukan pada masa lalu perlu diteruskan serta diperkasakan untuk membantu petani, penternak dan nelayan.

“Usaha ini perlu dilaksanakan dengan gigih agar mereka dapat menerima jaminan masa depan lebih baik dan perolehan pendapatan yang tinggi dalam meningkatkan taraf hidup.

“Oleh itu, inisiatif memodenkan industri pertanian perlu diteruskan dengan memperkenalkan teknologi berserta inovasi terkini,” katanya ketika berucap di Majlis Penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) dan Hari Peladang, Penternak, dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2014 di Serdang, semalam.

Muhyiddin berkata, kita sudah mempunyai kepakaran teknologi yang datangnya daripada anak muda dan kerana itu MAHA 2014 menekankan inovasi dengan ‘Agroteknologi Pemangkin Transformasi’.

“Mungkin sebahagian petani sebelum ini tidak menyedari apa diusahakan mereka mampu menghasilkan pendapatan lumayan kerana pertanian merupakan bidang komersil yang memiliki peluang besar.

“Jadi saya harap lebih ramai anak muda terlibat dalam bidang pertanian kerana mereka bukan sahaja boleh menjadi petani malah usahawan tani dan pengusaha dalam mempertingkatkan pengeluaran produk berasaskan pertanian,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga Sabtu, MAHA 2014 berjaya mencatat 2.5 juta pengunjung.

“Tahun ini seramai 1,100 peniaga telah menyertai MAHA 2014 di mana kita memberi tumpuan kepada perdagangan dan perniagaan dengan dua hari pertama MAHA dikhaskan untuk tujuan dagangan.

“Kita juga berjaya mencatat perolehan sebanyak RM144 juta dengan jualan langsung sebanyak RM44 juta dan potensi perniagaan bernilai RM180 juta,” katanya.

MAHA dan HPPNK 2014 berlangsung selama 11 hari bermula 20 hingga 30 November  di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang menyaksikan orang ramai berpusu-pusu berkunjung ke situ terutamanya pada hari terakhir semalam.

0 Komentar untuk " Industri pertanian perlukan sokongan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ