Fenomena Islam Demokrat, Arab Spring kelirukan Barat - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Fenomena Islam Demokrat, Arab Spring kelirukan Barat

Perjuangan golongan Islam Demokrat mempunyai tiga ciri utama iaitu ideologi, kepentingan dan budaya kerana ini yang menjadi perbezaan utama berdasarkan apa yang berlaku di negara Arab dan Asia.

Bagaimanapun, kesederhanaan menjadi titik tolak bagi mengendalikan tiga ciri utama itu bagi mewujudkan kata sepakat dan pencapaian matlamat sebenar sesebuah negara, kata Presiden Partai Keadilan Sejahtera (PKS) Indonesia, Dr Anis Matta pada Perbincangan Meja Bulat Islamis Demokrat yang dianjurkan Pergerakan Kesederhanaan Global (GMMF) dan Pusat Kajian STRATA, Jabatan Fiqh Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) .

Beliau berkata, semua parti politik di Indonesia menyedari hal ini menyebabkan wujud sayap khusus berbentuk agama dan kebajikan walaupun ia parti yang berideologi komunis dan sosialis.

"Rakyat Indonesia tidak boleh menerima parti yang ganas dan terlalu keras perjuangannya, contohnya parti komunis dan pelampau Islam seperti Jemaah Islamiah (JI), semua mereka kini tidak lagi beroperasi," katanya.

Kebangkitan 'Arab Spring'

Kebangkitan Arab atau 'Arab Spring' contohnya berjaya mengubah dunia Islam seluruhnya bila rakyat bangkit menentang pemerintahan diktator yang tidak disenangi kerana tidak memperjuangkan hak rakyat kecuali kesenangan diri sendiri.

Bermula di Tunisia pada 2010, kemudian Algeria, Libya, Bahrain, Yaman, Syria dan hingga kini dunia Arab terus terjebak dalam kancah peperangan yang tidak pasti apakah kesudahannya.

Keadaan ini menjadi tumpuan negara Barat, malah tidak kurang yang menentang untuk menggagalkannya seperti yang berlaku di Mesir yang kembali kepada pemerintahan tentera. Pemimpin ketika ini, Jeneral Abdel Fattah El Sisi walaupun mengadakan pilihan raya umum, tetapi dianggap cubaan itu hanya mengaburi mata umum.

Apa sebenar yang berlaku ketika ini, Barat khususnya Amerika Syarikat (AS) dan Eropah bimbang kepentingan ekonomi mereka terjejas bila berlaku perubahan yang mereka sendiri gagal memahaminya.

Ini termasuk isu minyak petrol dan penjualan senjata yang menjadi pasaran utama negara berkenaan menyebabkan mereka masuk campur dan berusaha untuk menggagalkan kebangkitan Arab Spring ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah dan Ketua Editor Rangkaian TV Alhiwar United Kingdom, Dr Azzam Tamimi berpendapat, kebangkitan negara Arab sebenarnya untuk perjuangan rakyat yang mahukan perubahan pemerintahan kuku besi.

Menurutnya, kebimbangan Barat adalah disebabkan tidak faham dengan perjuangan Islamis Demokrat sebenarnya dan mereka lebih menjaga kepentingan mereka di negara terbabit.

Saifuddin (kanan) pada perbincangan mengenai Islam Demokrat anjuran bersama Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), Strata Research dan Jabatan Fiqh UIAM, di Kuala Lumpur baru-baru ini. - Foto Surianie Mohd Hanif

Fenomena Islam Demokrat

Fenomena Islam Demokrat berlaku disebabkan faktor termasuk kecemerlangan Islam sudah merosot berbanding pada zaman kegemilangan melahirkan ramai cendekiawan seperti Ibnu Sina serta banyak ahli Sufi, kerana itu mereka mahukan peradaban Islam kembali hebat seperti pada zaman Cordoba di Sepanyol.

Ini juga adalah reaksi umat Islam juga menolak penjajahan Barat yang mengubah banyak perkara, bukan saja fizikal, tetapi lebih penting lagi mental menjadikan mereka mengagung-agungkan penjajah.

Dalam masa sama, moral mereka terjejas teruk dengan arus budaya Barat yang merosakkan peradaban Umat Islam sebenarnya.

"Erti perjuangan Islamis Demokrat sebenarnya ialah kebangkitan semula rakyat yang merasakan mereka dipinggirkan, miskin, pemimpin seperti diktator dan mengembalikan hak mereka sebagai manusia, bukan bermakna mereka mahu menolak Barat sepenuhnya.

"Kerana itu Barat perlu memahami apakah perjuangan sebenar mereka, kerana Islam itu sendiri adalah agama dan kehidupan bukan disekularkan iaitu memisahkan agama dan kehidupan manusia," katanya.

Beliau berpendapat, walaupun Mesir gagal dalam perjuangannya, tidak semestinya negara Arab lain turut gagal kerana setiap perjuangan memang sukar dicapai dan memerlukan masa lebih lama.

Bagaimanapun, perjuangan masih diteruskan meskipun ia memakan masa yang lama dan sejarah mengajar kita untuk bersabar dan bertahan apa juga rintangan yang menghalang.

Bagi Dr Driss Bouanou, negaranya, Maghribi bernasib baik dan tidak terjebak dalam perjuangan 'Arab Spring' disebabkan pemerintahnya yang memang demokratik dan memberikan kuasa kepada rakyatnya untuk membangunkan negara.

"Kami hidup aman damai dengan pelbagai kemudahan disediakan dan rakyat berpuas hati serta memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan ekonomi, sosial dan politik seluruhnya tanpa ada banyak masalah," katanya yang juga ahli Jawatankuasa Perhubungan Antarabangsa Timur Tengah dan Rantau Asia.

Beliau berkata, perjuangan Islam Demokrat sudah sekian lama dilaksanakan sepenuhnya di Maghribi kerana itu rakyatnya diberi pilihan untuk menyertai mana-mana parti politik yang sesuai yang mana ketika ini ada empat parti politik utama.

Dr Azzam Tamimi (kiri) dan Dr Anis Matta.

Dr Driss mencadangkan supaya Barat melihat secara terperinci apakah sebenarnya perjuangan Islam Demokrat dan dalam masa sama lihat sendiri apakah perjuangan sebenar demokrasi yang dilaung-laungkan oleh mereka itu, sama ada tulen atau sebaliknya.

Jangan pandai mengkritik

"Kita tidak mahu mereka hanya pandai mengkritik negara Islam, sedangkan hakikat sebenarnya mereka menentang kerana bimbang kepentingan mereka terjejas," katanya

Ciri utama demokrasi adalah perjuangan yang mementingkan perpaduan, keamanan serta ada keseimbangan dalam semua segi bukan berbentuk ekstrem dan mengamalkan keganasan dengan membunuh sesuka hati dengan kejam.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad pula berpendapat pejuang Islam Demokrat perlu berani bersuara menegur kesilapan pemerintah contohnya kes rasuah, ekonomi merudum serta berlaku ketidakadilan.

Mereka juga perlu berani untuk bertindak bagi memastikan perjuangan berjaya dicapai sepenuhnya. Kegagalan di Mesir bukan satu penamat atau petanda bahawa ia gagal, tetapi perjalanan masih panjang, kerana itu ia perlu diteruskan dengan tabah, sabar dan berani.

0 Komentar untuk " Fenomena Islam Demokrat, Arab Spring kelirukan Barat "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ