Dakwah jalanan diterima ramai - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Dakwah jalanan diterima ramai

WAKTU semakin berganjak berlari meninggalkan kita, zaman semakin berubah dengan munculnya pelbagai teknologi moden namun, dakwah tetap seperti dahulu fokusnya masih sama iaitu amar makruf nahi mungkar.

Street dakwah atau dakwah jalanan mula mendapat perhatian masyarakat  sejak dua, tiga tahun kebelakangan ini.

 Ramai pihak sama ada jabatan agama Islam, pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGO), penuntut, pelajar atau individu perseorangan tampil dan berlumba-lumba menjayakan program sebegini.

Langsung tidak mengharapkan apa-apa ganjaran, mereka melakukannya dengan seikhlas hati untuk mendidik dan mengajak umat manusia ke arah kebaikan.

Menepati kehendak semasa, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menerusi Unit Informasi Islam, Bahagian Pembangunan Ummah tidak mahu ketinggalan melepaskan peluang untuk turut serta dalam merancakkan lagi street dakwah (dakwah jalanan) yang mana memberi fokus utama kepada sasaran masyarakat yang belum Islam.

Agenda utamanya adalah untuk mengurangkan salah tanggapan bukan Islam terhadap agama Islam dan institusi yang menguruskan hal ehwal Islam di Negeri Selangor khususnya Mais serta Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Program Mega Street Dakwah Selangor 2014 yang berlangsung pada 29 dan 30 November lalu  dirasmikan oleh  Setiausaha Mais, Datuk Bakhtiar Hussin bertempat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Simbolik pelancaran program pada kali ini adalah dengan penyerahan bendera (MSDS 2014) kepada empat ketua Skuad Kader Mais bagi mewakili daerah Klang, Petaling, Gombak dan Hulu Langat.

Program (MSDS 2014) ini dilaksanakan oleh Sekretariat Perwakilan Kader Mais (Sukarelawan Mais) di bawah seliaan Unit Informasi Islam, Bahagian Pembangunan Ummah Mais yang memberi tumpuan kepada empat daerah utama di Lembah Klang.

Dalam ucapan perasmiannya, Bakhtiar menyarankan supaya di masa akan datang diharapkan lebih ramai lagi sukarelawan daripada pelbagai peringkat usia dan bangsa dapat berganding bahu, bersama membantu Mais merealisasikan impian mewujudkan sebuah masyarakat yang membangun, maju dan sejahtera di  Selangor.

Seramai 150  kader Mais terlibat dan berjaya mendekati 1,000 individu bukan Islam di sekitar pusat beli-belah seperti Mid Valley, Sunway Pyramid, Metro Kajang, Giant Batu Caves, AEON Rawang, AEON Klang, dan IOI Mall Puchong.

0 Komentar untuk " Dakwah jalanan diterima ramai "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ