Cina Muslim hero perpaduan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Cina Muslim hero perpaduan

MAJORITI Cina Muslim di Malaysia sekarang adalah mereka yang mendapat hidayah ALLAH dan tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan Muslim di negara China. Mereka sering kali tercari-cari identiti sendiri; bagaimana ingin menjadi seorang Islam yang sejati, di samping mengamalkan adat dan kebudayaan Cina serta menjadi seorang rakyat Malaysia dalam suasana masyarakat majmuk.

Proses mewujudkan perpaduan mengambil masa lama kerana kesan segregasi (segregation) dalam masyarakat kita akibat dasar pecah dan perintah pihak British sejak sebelum kemerdekaan lagi. Dasar tersebut bukan saja dilaksanakan dalam bidang politik tetapi juga ekonomi, sosial, pendidikan dan budaya. Sebagai contoh, kaum Melayu bergiat dalam pertanian di kampung, kaum Cina dalam perniagaan di bandar manakala kaum India di estet.

Segregasi ini ditebalkan lagi dengan ruang pendidikan yang berbeza di mana pendidikan vernakular menggunakan bahasa pengantar yang berbeza. Jelas dasar pecah dan perintah telah membina jurang di antara kaum. Ia bertambah buruk apabila perbezaan kerap ditonjolkan berbanding persamaan.

Oleh itu, kerajaan melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) telah memperkenalkan slogan Unity in Diversity iaitu perpaduan dalam kepelbagaian dengan membina pelbagai bentuk jambatan politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan budaya.

Mengapa Cina Muslim mampu memainkan peranan yang lebih efektif dari Melayu dan Cina bukan Muslim? Bukankah mereka ini dilihat sebagai pengkhianat bangsa sendiri serta parasit kepada bangsa lain?

Dalam realiti di Malaysia, golongan Cina merupakan kaum yang kedua terbesar selepas Melayu dan mereka juga mempunyai kuasa ekonomi, pada umumnya. Maka, secara tidak langsung, golongan Cina Muslim mempunyai peranan sebagai pencetus perpaduan nasional dengan menjadi jambatan antara kaum.

Mereka rapat dengan kaum Melayu kerana bersaudara dalam Islam dan pada masa sama masih sayang dengan kaum dan budaya Cina yang merupakan identiti mereka. Dengan mengamalkan ajaran-ajaran Islam, agama yang 'dimonopoli' oleh kaum Melayu di Malaysia, di samping mengekalkan budaya Cina yang tidak bercanggah dengan aqidah, mereka sebenarnya berupaya membina dan memupuk keharmonian antara kaum.

Ini terutamanya bagi mereka yang berkahwin campur. Mereka secara semula jadi akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjaga hati keluarga sebelah suami/isteri manakala perasaan keluarga sendiri juga tidak dilupakan. Anak-anak yang lahir dari hasil kahwin campur ini juga biasanya lebih sensitif dan celik perpaduan kerana mereka mempunyai saudara-mara yang berlainan kaum dan agama.

Ini menjadikan mereka lebih bertoleransi, iaitu mereka sedar mereka berbeza namun menghormati norma antara satu sama lain. Mereka bukan sahaja menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan memakai baju Melayu dan songkok atau baju kurung, malah juga menyambut Tahun Baru Cina dengan memakai samfu atau ceongsam.

Anak-anak ini merupakan golongan yang tidak boleh bermegah dengan ketuanan Melayu mahupun berbangga dengan semangat keCinaan mereka kerana darah kedua-duanya mengalir di dalam diri mereka. Mereka lebih mudah melihat bahawa ALLAH telah menjadikan manusia berbagai-bagai bangsa dan suku supaya mereka saling kenal mengenali antara satu sama lain. Mereka sedar bahawa yang paling mulia di sisi ALLAH adalah mereka yang bertakwa, bukannya terletak pada bangsa atau ras.

Cina Muslim yang berilmu dan beriltizam dalam mencari ilmu tahu membezakan antara ajaran Islam dan sensitiviti adat Melayu serta terus mengamalkan adat Cina yang tidak bercanggah dengan aqidah. Tidak salah untuk mengamalkan budaya Melayu yang baik seperti bersalaman ketika berjumpa.

Tidak hilang identiti Cina jika Cina Muslim dilihat berpakaian baju Melayu dan bersongkok kerana mata mereka tetap sepet dan lidah mereka juga mungkin tetap pelat. Juga tidak hilang identiti Islam semata-mata berpakaian tradisi seperti samfu dan ceongsam selagi ia menutup aurat sebagaimana yang dituntut syariat.

Cina Muslim dan generasi seterusnya berbangga sebagai rakyat Malaysia dan lebih suka dikenali sebagai bangsa Malaysia. Mereka inilah yang boleh dan seharusnya menjadi hero perpaduan nasional. Usahlah berbangga dengan bangsa Melayu, Cina, mahupun Cina Muslim. Sesungguhnya, yang paling mulia antara kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertakwa.

*Penulis ialah Pengerusi Macma Kelantan & AJK Perkim Kelantan.

0 Komentar untuk " Cina Muslim hero perpaduan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ