Banjir makin kritikal, PAS dan PKR rayu sumbangan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Banjir makin kritikal, PAS dan PKR rayu sumbangan

Sebahagian besar kawasan DUN Salor tenggelam dan jalan ke Salor ditutup untuk kenderaan ringan tengah hari tadi. – Gambar The Malaysian Insider, 25 Disember, 2014.

Berikutan keadaan banjir dianggap kritikal khususnya di Kelantan dan Terengganu, serta Pahang dan Perak, PAS dan PKR melancarkan tabung kutipan dan menggerakkan usaha menyalurkan bantuan kepada mangsa yang semakin bertambah.

Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata angkatan muda parti itu sedang berusaha mengumpulkan sekurang-kurangnya RM10,000 selain dalam bentuk barangan sebagai bantuan.

"Kami menyeru orang ramai menyalurkan sumbangan masing-masing melalui pelbagai pertubuhan dan jawatankuasa yang dibentuk pelbagai pihak bagi memberi bantuan kepada mangsa banjir.

"Ini peluang terbaik kita semua bekerjasama memastikan aspek keselamatan dan kebersihan terjaga, seterusnya menawarkan bantuan yang sesuai untuk sementara waktu hingga situasi reda dan bantuan lain diusahakan kemudian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata, parti itu melalui tabung bencana Harakahnya, mengharapkan bantuan orang ramai mampu mengurangkan beban mangsa.

"Mangsa memerlukan bantuan memandangkan di Kelantan boleh dikatakan terputus terus hubungan darat dan semakin kritikal. Sementara di Terengganu pula, banyak kawasan yang sudah mula ditenggelami air.

"Maka kita seluruh rakyat Malaysia harus membantu mereka yang sedang berdepan dengan musibah ini. Kita juga mendoakan agar keadaan kembali pulih," kata Salahuddin yang juga pengerusi Majlis Tindakan Bencana Alam PAS Pusat kepada Harakahdaily.

Sebarang bantuan boleh dimasukkan ke tabung bencana Harakah menerusi akaun Maybank 564070130442 sementara bagi mereka yang berminat menyumbang kepada usaha Pemuda PKR, mereka boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Islamic Bank di atas nama Khidmat Seri Setia bernombor 3810876621 atau menghubungi Nadzira 0122494613.

Pada masa sama, satu lagi rakan Pakatan Rakyat (PR), DAP berkata, Putrajaya perlu menggembleng semua sumber yang ada bagi mengurangkan keadaan banjir yang dianggap terburuk dalam sejarah negara ini, termasuk mengisytiharkan keadaan darurat jika perlu.

Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata kerajaan persekutuan perlu menubuhkan operasi di kawasan yang belum banjir tetapi mungkin akan terjejas teruk sekiranya hujan berterusan.

"Jika keadaan darurat perlu diisytiharkan bagi memastikan satu mobilisasi berskala besar dapat diselaraskan, maka Putrajaya mesti segera mengisytiharkan darurat.

"Sekiranya agensi persekutuan terus mengambil sikap sambil lewa dan tidak nampak keperluan bertindak segera, maka perdana menteri hendaklah kembali ke negara ini dengan serta-merta bersama kayu golfnya bagi menimbulkan rasa 'takut' ahli Majlis Keselamatan Negara supaya mereka segera bertindak.

"Majlis itu tidak boleh berehat hinggalah bencana banjir ini berakhir," katanya dalam satu kenyataan.

The Washington Post melaporkan hari ini, Datuk Seri Najib Razak sedang bermain golf bersama Presiden Amerika Syarikat Barack Obama yang sedang menghabiskan cuti Krismas di pengkalan Marine Corps, Kanehoe Bay, Hawaii bersama rakan dan keluarga termasuk Joe Paulsen dan Mike Brush.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Salor menyeru orang ramai menghulur bantuan dan sumbangan kemanusiaan susulan aduan banjir kali ini paling dahsyat dan amat membimbangkan.

"Sebahagian besar DUN Salor tenggelam. Setiap detik paras air di Kota Baru semakin meningkat sedikit demi sedikit.

"Saya menerima panggilan telefon dan SMS daripada pelbagai pihak yang mengadu memerlukan pertolongan kecemasan. Keadaan semasa boleh disifatkan kritikal dan cemas," katanya.

Beliau juga menyeru sumbangan disalurkan melalui tabung kecemasan banjir Yayasan Darul Hijrah di akaun 5660 1060 9934 Maybank Islamic.

Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengarahkan jentera PAS di semua peringkat meneliti keperluan munasabah kepada mangsa banjir dan menghulur bantuan sedaya termampu kepada mereka.

"Kepada seluruh petugas dari badan dan agensi kerajaan, PAS meminta agar urusan bantuan dilaksanakan dengan penuh amanah dan adil tanpa mengira latar belakang politik.

"Insya-Allah, dedikasi anda akan dihitung pahala serta bakal beroleh ganjaran di sisi Allah kelak," beliau dipetik berkata, sambil mengesyorkan kerajaan persekutuan mengadakan peruntukan khas bagi setiap keluarga dan individu mangsa banjir, khususnya pelajar.

Semalam, Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata, dakwaan kononnya Kelantan diisytiharkan darurat berikutan keadaan banjir buruk melanda negeri itu tidak benar sama sekali.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed juga menegaskan tiada keperluan Kelantan diisytiharkan darurat ketika ini, walaupun keadaan banjir yang melanda negeri ini semakin buruk. – 25 Disember, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/banjir-makin-kritikal-pas-dan-pkr-rayu-sumbangan#sthash.YI929ZUu.dpuf
0 Komentar untuk " Banjir makin kritikal, PAS dan PKR rayu sumbangan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ