Akta Hasutan cegah mudarat - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Akta Hasutan cegah mudarat

TIADA siapa boleh nafikan bahawa isu paling mendapat sambutan hangat dalam Perhimpunan Agung Umno yang berakhir Sabtu lepas ialah pengekalan Akta Hasutan yang diisytiharkan Presiden parti Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Ternyata segala keresahan yang dirasai rakyat  selama ini akhirnya dijernihkan oleh Presiden Umno dalam perhimpunan parti yang mewakili orang Melayu-Islam terbanyak.

Ramai menganggap Presiden Umno benar-benar mendengar dan menyelami suara hati rakyat majoriti yang inginkan Akta Hasutan dikekalkan. Bahkan ada juga yang memuji keberanian Najib mengumumkan pendirian yang boleh menyebabkan beliau dicemuh dan tidak popular dalam kalangan aktivis hak asasi manusia.

Bagi penulis, Malaysia tetap memerlukan undang-undang yang bersifat pencegahan untuk mengurus struktur masyarakat berbilang kaum dan agama yang hakikatnya begitu rapuh dan mudah terangsang dengan apa jua bentuk provokasi.

Lebih membimbangkan kiranya wujud pula kelompok ekstremis yang mengambil kesempatan untuk membiakkan rasa marah dan curiga hingga sanggup melakukan pelbagai tindakan tidak wajar yang boleh menggugat kesejahteraan negara.

Bagi orang Islam, penulis sarankan agar  kekal rasional dan tidak mudah melatah apabila dikhabarkan dengan pelbagai berita palsu yang mampu merangsang perlakuan songsang, mengundang kemudaratan yang lebih besar. Memanglah api kemarahan amat mudah menyemarak dalam diri terutamanya apabila dilemparkan dengan pelbagai tohmahan dan tuduhan palsu yang menyentuh agama dan kepentingan kaum.

Namun, apa yang lebih mustahak ialah agar umat terus berpegang kepada prinsip dan nilai Islam sejati dalam mendepani sebarang bentuk cubaan dan gugahan untuk menggugat perpaduan kaum dan keamanan negara secara keseluruhannya.

Persoalan yang pastinya akan dibangkitkan oleh kelompok aktivis hak asasi manusia ialah apakah pengekalan akta hasutan ini akan memberi indikasi bahawa negara berundur ke belakang kerana tidak memenuhi prinsip hak asasi yang mendaulatkan kebebasan bersuara.

Yang pasti kebebasan bersuara bukan bermakna kebebasan menghina. Kebebasan bersuara juga bukan bermakna kebebasan memfitnah dan mengadu-domba. Kebebasan bersuara juga tidak akan bermakna sekiranya natijah yang berlaku lebih memporak-perandakan hidup manusia sehingga menjejaskan keharmonian dunia.

Sebab itulah konsep kebebasan mutlak seperti yang dicanangkan Barat dengan meletakkan pertimbangan manusiawi sebagai faktor utama penentuan baik buruk sesuatu perkara tidak bersesuaian dengan suasana di Malaysia.

Penolakan Islam terhadap kebebasan mutlak bukan bermakna Islam menentang kebebasan bersuara secara total. Islam juga tidak pernah mengekang hak dan kebebasan individu menyatakan pandangan mahupun pendapat. Malah Islamlah satu-satunya agama yang menjelaskan secara tuntas maksud kebebasan bersuara berbanding agama-agama lain.

Prinsip kebebasan bersuara menurut Islam tidak bersifat mutlak. Islam mendukung kebebasan bersuara selagi kebebasan tersebut dilakukan dengan penuh tanggungjawab, sentiasa berada dalam lingkungan batas-batas akhlak dan adab tanpa sekali-kali mencetuskan kemudaratan sama ada kepada diri sendiri mahupun kepada orang lain. Dengan kata lain kebebasan bersuara harus mengambil kira faktor masyarakat terbanyak dan tidak hanya berasaskan nilai individualistik dan materialistik sempit acuan Barat.

Sebab itulah untuk memastikan keharmonian negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia terus terpelihara, perlu ada pendekatan pencegahan seperti Akta Hasutan yang mengekang perlakuan mencabuli kehormatan dengan menghina mana-mana agama dan kaum.

Ini selaras dengan prinsip Islam yang sentiasa mempertimbangkan antara kebaikan dan kemudaratan. Dalam kaedah fekah yang masyhur jika berlakunya pertembungan antara kebaikan dan kemudaratan, maka satu kaedah menukilkan ‘dar’u mafasid muqaddam ‘ala jalbi  al-masalih’ iaitu menolak kemudaratan mestilah didahulukan daripada mengambil kebaikan.

Umpamanya dalam konteks perbincangan kita, sebarang bentuk perlakuan atau tindakan berupa hasutan yang boleh mencetuskan huru-hara, kesengsaraan dan kerosakan nyawa dan harta-benda mestilah dikekang dan dihalang sama sekali, walaupun terpaksa menafikan kebebasan bersuara segelintir.

Kesimpulannya, tidak ada salahnya untuk mengekang hak segelintir individu demi kepentingan dan hak rakyat terbanyak. Tidak ada salahnya menafikan kebebasan individu yang memudaratkan bagi memastikan keharmonian dan kesejahteraan hidup masyarakat berbilang kaum di negara ini terus terpelihara.

* Penulis ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

0 Komentar untuk " Akta Hasutan cegah mudarat "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ