Adun muda Yap Soo Huey uji demokrasi DAP di Pulau Pinang - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Adun muda Yap Soo Huey uji demokrasi DAP di Pulau Pinang

Wakil rakyat DAP penggal pertama, Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tikus di Pulau Pinang Yap Soo Huey ketika ditemubual The Malaysian Insider, baru-baru ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 7 Disember, 2014.

Apabila Yap Soo Huey, wakil rakyat penggal pertama DAP Pulau Pinang, menghamburkan soalan demi soalan kepada kerajaan negeri berhubung kontroversi pelan penambakan Gurney Drive semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), ia menarik perhatian ramai.

Ia bukan saja kerana pada usia 32, beliau sebagai orang muda dan baru berani menyoal kerajaan negeri yang ditadbir partinya sendiri, tetapi juga kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Tikus itu mewakili generasi baru profesional dan aktivis yang tertarik menyertai DAP sebagai parti yang menyokong idea pembaharuan.

Kemasukannya dalam politik, daripada karier dalam bidang sains, dan kemenangannya pada pilihan raya umum (PRU) pertama disertainya tahun lepas, juga menjelaskan kenapa Pemuda Umno bimbang dengan keupayaan parti pembangkang menyuntik darah muda dalam barisan kepimpinannya.

Pendirian Yap yang kritikal terhadap isu pembangunan menguji toleransi terhadap demokrasi yang disokong DAP semasa ia berkuasa.
“Sebagai seorang penyokong kerajaan yang 'junior,' sebenarnya agak susah hendak menyoal pimpinan atasan,” katanya dalam satu temubual dengan The Malaysian Insider.

“Tetapi, asas kepada persidangan DUN bukan hanya untuk memuji kerajaan, tetapi untuk berbincang.

“Akhirnya, DAP masih perlu buktikan yang ia berpegang kepada kod demokrasinya,” katanya.

Yap berkata dia sedar sebarang gambaran negatif terhadap pentadbiran DAP boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap parti itu dalam usahanya mengambil alih kerajaan persekutuan.

Jadi, memang secara semulajadi dia akan lebih berhati-hati setiap kali menyoal kerajaan negeri, tetapi katanya, dia tidak pernah ditegur kerana tindakannya itu.

Malah, isyarat jelas yang kerajaan negeri sekarang mengamalkan demokrasi membantu DAP merapatkan jurang budaya, khususnya dalam menarik orang Melayu kepada parti majoriti Cina itu.

“Sekarang, sejak DAP menjadi kerajaan di Pulau Pinang, ramai di kalangan komuniti Melayu sudah biasa dengan kami.

"Mereka sudah mula lebih terbuka dengan kami. Trend itu agak jelas dilihat,” katanya.

Yap berkata, sesetengah isu yang besar tidak boleh hanya dibincangkan secara tertutup.

“Kita sepatutnya boleh membincangkannya secara terbuka supaya orang ramai tahu mengenai keputusan dan pertimbangan yang dibuat yang melibatkan mereka.

"Hanya itu caranya menggalakkan satu masyarakat yang berhubung daripada segi sosial dan politik dan berpengetahuan, serta kerajaan yang telus dan bertanggungjawab,” katanya.

Hijrah ke bidang politik

Yap, pelajar sains, menyertai politik secara kebetulan.

Selepas memperolehi ijazah dalam bioteknologi dari Monash University di Australia, anak jati Pulau Pinang itu sedang bekerja sebagai ahli virologi di Melbourne ketika bertemu orang kuat DAP, Liew Chin Tong dan Lim Guan Eng, beberapa tahun lepas.

Sejak pergi ke Australia pada 2001, Yap sentiasa mengambil tahu tentang perkembangan di Malaysia dan sering mengunjungi blog di Internet, tetapi pertemuannya dengan Liew pada 2009 yang membuatkan beliau menyertai DAP.

Semuanya terjadi dengan cepat hingga pada April 2011, Yap mula bekerja dengan Lim dalam kerajaan negeri sebagai pegawai sains, teknologi dan inovasi.

Dalam masa dua tahun, dia dipilih parti untuk bertanding di kawasan DUN Pulau Tikus di mana dia dibesarkan. Beliau memenangi kerusi itu pada PRU Mei 2013.

Mengaplikasi sains dalam kerjaya politik

Yap berkata beliau mengaplikasikan apa yang dipelajarinya semasa belajar ke dalam bidang kerjanya yang baru, terutamanya daripada segi menjadikannya berdasarkan bukti dan data.

Salah satu perkara pertama dilakukannya ialah memulakan Kajian Perancangan Spatial, meliputi aspek seperti perniagaan tempatan, trafik dan rekreasi, dan kajian 3 bulan terhadap pengangkutan awam dan penggunaan bas.

Beliau juga perlu menangani masalah pembangunan yang kontroversi.

Terdapat sebuah Kampung Siam berusia 150 tahun di mana penduduknya berdepan pengusiran kerana hendak dibangunkan dengan projek pemodenan, yang menarik minat pihak media.

Bagaimanapun, isu penambakan tanah Gurney Drive sesuatu yang sensitif kerana kerajaan negeri mempunyai kepentingan dalam syarikat yang menjalankannya, tetapi Yap tidak teragak-agak membangkitkan soalan mengenainya menyentuh aspek alam sekitar.

Ini terutamanya kerana dia sudah memeriksa Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) projek itu, yang diluluskan Jabatan Alam Sekitar tanpa memberi respon kepada reaksi rasmi orang ramai yang menyuarakan pelbagai kebimbangan.

“Sains ialah tentang bertanya soalan.

“Latihan teknikal saya buatkan saya yakin dan selesa membaca laporan teknikal, dan bertanya soalan,” kata.

Komuniti Pulau Tikus makin berkurangan

Beliau juga membangkitkan tekanan yang dihadapi masyarakat tradisional Pulau Tikus, seperti akibat kenaikan kadar sewa dan kehilangan pelanggan kepada pasar raya besar dan pusat membeli-belah yang baru.

“Banyak kedai runcit sudah ditutup.

“Kalau tiada tindakan campur tangan atau usaha mengurangkan, kita akan lihat komuniti di Pulau Tikus makin kecil,” katanya.

Yap berkata beliau bekerja seolah-olah dia tidak akan ada penggal kedua, walaupun dia berharap dipilih semula supaya dia boleh melihat hasil kerjanya.

Sama ada beliau akan kekal dalam kerajaan atau tidak, kemahiran yang diperolehinya sebagai Adun akan berguna buatnya dan dia merancang memanfaatkannya.

Begitu juga aktivisme beliau terhadap apa yang dia rasakan baik untuk kawasannya.

“Saya tinggal di Pulau Tikus seluruh hidup saya. Rumah keluarga saya di Pulau Tikus.

“Apabila saya berumur 60 atau 70 tahun nanti, saya mahu terus berjalan-jalan di sekitar Pulau Tikus tanpa rasa malu kerana pernah memperjuangkan nasib penduduk di sini,” katanya. – 7 Disember, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/adun-muda-yap-soo-huey-uji-demokrasi-dap-di-pulau-pinang#sthash.Bx5PLuXW.dpuf
0 Komentar untuk " Adun muda Yap Soo Huey uji demokrasi DAP di Pulau Pinang "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ