Teknologi pintar kunci penyelesaian pelbagai isu - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Teknologi pintar kunci penyelesaian pelbagai isu

MENJELANG tahun 2030 dijangka sejumlah 15 peratus rakyat Malaysia akan mencecah usia 60 tahun manakala 20.4 peratus usia yang sama pada 2050, menjadikan negara memiliki rakyat warga tua yang tinggi.

Sehubungan itu, pelan rancangan negara perlu ada dalam menangani masalah warga emas ini khususnya dalam menyediakan perumahan pintar yang serba lengkap dengan teknologi terkini untuk kemudahan dan keselesaan kehidupan harian mereka.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Awam Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Izian Abdul Karim, masa depan sektor perumahan negara mantap jika keperluan rakyat membeli rumah mampu milik boleh dilaksanakan.


Semua orang perlu memiliki rumah sendiri tetapi adakah mereka mampu membeli rumah jika ia terlalu mahal, kerana itu tindakan perlu ada dalam membina rumah yang boleh dibeli dengan kadar harga berpatutan.


Lokasi perumahan strategik
"Pembinaan rumah juga perlu dibuat di kawasan sesuai dengan suasana dan alam sekitar yang nyaman, pelbagai kaum boleh mendiaminya dengan harmoni di samping keselamatan persekitaran yang terjamin," katanya pada forum Agenda Sains Mega, Malaysia 2050 anjuran Akademi Sains Malaysia (ASM).
Beliau mencadangkan sektor perumahan perlu menggunakan teknologi terkini dari segi kelengkapan dalam rumah termasuk reka bentuk, sistem telekomunikasi serta bahan binaan bermutu tinggi. Setiap rumah juga perlu pintar, sihat dan selamat dengan kehijauan alam sekitar dan bagi mencapai hasrat ini perlu ada perubahan dari segi polisi bagi melindungi hak pembeli.
Rumah juga perlu lebih banyak dibina untuk pekerja swasta dengan gaya dan reka bentuk yang mampu bertahan lama. Untuk itu perlu ada perancangan sesuai, polisi dan garis panduan khusus dari segi lokasi pembinaan, kepentingan masyarakat dan juga kajian dan pembangunan (R&D).
Bagi bidang infrastruktur, matlamat perlu ada bagi memastikan ia lebih mantap, cemerlang dan berkesan sesuai dengan keperluan penduduk dan dalam masa sama pembinaannya tidak mengganggu alam semula jadi.
Tangani pelbagai isu
Menurut seorang lagi ahli panel forum itu, Mohd Nawi Dul, berkata ada banyak isu yang perlu ditangani bagi sektor ini kerana ia merangkumi kemudahan asas jalan raya, pelabuhan dan lapangan terbang yang memerlukan keselamatan yang sentiasa dipantau rapi.
Bagi tempoh lima tahun lalu RM470 juta dibelanjakan kerajaan bagi membaik pulih jalan raya di seluruh negara menyebabkan ia menjadi cabaran besar bagi menanggung kos yang amat tinggi itu. Kerana itu, pelan induk perlu ada bagi menghasilkan kemudahan asas lebih baik dan tahan lama dengan penggunaan bahan binaan yang baik.
Infrastruktur juga perlu memastikan keselamatan pengguna dengan alam sekitar yang tidak dicemar, menggunakan lebih banyak teknologi hijau dan kemudahan ini menjadi pemangkin pembangunan negara. Bagi bidang pengangkutan, mengikut data tahun lalu, 1.2 juta rakyat Malaysia memiliki kereta sendiri dan ia dijangka meningkat 5.4 juta pada tahun 2035, kerana itu apakah persediaan untuk menampung jumlah kenderaan terlalu tinggi ini.
Dr Francis S P Ng berkata, adakah Malaysia juga bersedia menggunakan teknologi terkininya dalam bidang pengangkutan bagi mendahului negara lain di Asia? Pengangkutan awam negara perlu diberi perhatian khusus kerana ketika ini ia masih belum mencapai tahap memuaskan, hanya dengan cara ini orang ramai kurang menggunakan kenderaan sendiri untuk ke tempat kerja dan masalah kesesakan jalan raya boleh diatasi.
Begitu juga sistem pengangkutan kereta api, Malaysia perlu menggunakan kereta api laju sehebat Jepun jika mahu menjadi negara maju. Begitu juga pengangkutan udara dan laut perlu diperbaiki.
Ada banyak sungai di negara kita yang dipinggirkan, sedangkan ia boleh dimajukan menjadi laluan trafik yang boleh menjana ekonomi di sekitarnya.
Teknologi berkembang pesat
Bagi bidang elektrikal dan elektronik, pelaburan RM161.8 bilion dibuat di sektor ini yang juga jumlah tertinggi berbanding sektor lain dan menjelang tahun 2020 dijangka RM54.3 bilion jumlah pelaburan dengan 157,000 peluang pekerjaan baharu.
Untuk itu, apakah persiapan Malaysia dalam pembangunan sektor ini yang dijangka akan terus berkembang dengan kehadiran pelabur asing.
Pensyarah Kanan Pusat Kuasa Tenaga Lanjutan Universiti Malaya (UM) Dr Che Hang Seng, berkata bidang ini akan sentiasa berkembang pesat dengan teknologi terkini pada peringkat global yang turut sampai negara ini.
"Malaysia perlu tahu hala tuju yang mahu dibawa, adakah bersedia menggunakan teknologi silikon contohnya dan cukupkan tenaga kerja yang diperlukan berikutan perkembangan pesat ini," katanya.
Pengurusan alam sekitar
Mengenai bidang alam sekitar, Pengarah Institut Kajian Tenaga Solar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Kamaruzzaman Sopian, berkata kerosakan yang berlaku ke atas alam sekitar perlu dipandang serius kerana ia memberi kesan besar kepada manusia.
Beliau mencadangkan supaya penggunaan arang batu dikurangkan kerana impaknya besar kepada pencemaran alam dan kesihatan manusia.
"Pembuangan sampah juga perlu diperbaiki dengan mengubah sikap rakyat yang lebih peka dan mengurangkan sampah di samping menanam lebih banyak pokok untuk menghijaukan kawasan," katanya.
Di samping itu, undang-undang dan penguatkuasaan perlu lebih cekap dan kerajaan berusaha mengawal pemanasan global supaya Malaysia terus selesa didiami menjelang tahun 2050. Ambil contoh apa yang berlaku di Cameron Highlands ketika ini. Disebabkan terlalu rakus menarah bukit untuk sektor pertanian, akibatnya nyawa melayang dan alam sekitar rosak. Tindakan tegas perlu dilakukan untuk memulihkannya.
Beliau mencadangkan sungai dibersih dan dibangunkan, paip bocor di merata tempat diganti, simpan air hujan untuk kegunaan harian dan tanah diperbaiki untuk pembangunan menggunakan teknologi terkini.

Related Post

0 Komentar untuk " Teknologi pintar kunci penyelesaian pelbagai isu "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ