DALAM tulisan yang berjudul Choose the Middle Path, (New Straits Times, Sabtu lalu), Tan Sri Johan Jaafar mengemukakan idea yang cukup bernas tentang keadaan rakyat Malaysia ketika ini. Johan menyedarkan kita bahawa akhir-akhir ini terlalu banyak isu yang  memecahbelahkan kita.

Betul kata beliau, banyak sekali permainan isu. Perkara kecil menjadi besar kerana kita berpolemik kasar. Naratif kecil dikembangkan menjadi naratif besar. Sebagai contoh, hal anjing  yang boleh ditegur di peringkat asas, telah dibawa ke tahap nasional dan dunia. Apabila komentar dan serangan dibuat berlebih-lebihan, berlakulah peristiwa pecah-belah.

Terdengarlah syarahan yang mengatakan penganjur acara pegang anjing ialah ahli dalam golongan musuh Islam, dipengaruhi Yahudi. Itulah naratif besar yang saya maksudkan. Sepatutnya kemukakan teguran biasa, tetapi dilaksanakan syarahan berapi-api.

Jika disebutkan sepintas lalu pun cukup, misalnya katakan begini: Orang Islam janganlah memeluk anjing. Jika anjing lapar dan sakit, berusahalah memberi makan dan mengubatinya. Itu saja. Kenyataan seperti itu memenuhi rasa kemanusiaan yang direstui Islam. Kemudian, kemukakanlah hadis tentangnya.

Setelah saya membaca tulisan Johan dengan rapi, saya mengulangi bacaan sajak Nota kepada Perpecahan dalam buku Kota Kaca karya Nilamsuri. Nilamsuri ialah nama pena bagi Haniza Hamzah. Penyair wanita ini saya kira akan segera naik ke tahap Zurinah Hassan dan Siti Zainon Ismail. Perkara penting dalam sajak itu ialah protagonis berasa kecewa kerana masyarakat kita berpecah-belah.

Baris pertama dalam sajak Nota kepada Perpecahan berbunyi: Hati berdebu dalam gesit rancang. Bagi pelajar puisi yang di tahap sederhana dan bawah, baris itu lambat memberikan makna. Tingkat kekomunikatifannya rendah, namun tingkat estetikanya tinggi. Bagi pembaca puisi yang telah tahu tentang selok-belok bahasa padat, baris itu amat bermakna. Baris itu seakan-akan menyambut dan menyambung kenyataan Johan, bahawa perpecahan selalunya disebabkan oleh agenda peribadi sesetengah tokoh. Frasa ‘gesit rancang’ bermaksud perancangan para strategis politik untuk naik sendiri, atau menyokong tokoh yang disukainya.

Apabila ada hasrat besar untuk naik, atau untuk menaikkan pihak yang disokong, maka segala isu digunakan seboleh-bolehnya. Penggunaan isu dengan penekanan makna yang dirancang menyebabkan masyarakat berpecah-belah. Nilamsuri menambah lagi: Kalbu berhabuk dalam cetus rencam/ perpecahan semakin mendalam.

Kita mungkin sudah sedar, bahawa isu kalimah ALLAH, isu hukum hudud, isu menteri besar wanita, isu anjing yang baru disebutkan di atas, dan pelbagai isu lain ialah wadah untuk berpolemik. Sebenarnya, berpolemik tidak mengapa, kerana polemik menjanjikan pertambahan ilmu, tetapi yang dirisaukan oleh Johan dan Nilamsuri ialah polemik yang memperuncing konflik, iaitu polemik yang menyebabkan perpecahan menjadi-jadi. Menurut Johan, “We developed a mentality of “us” versus “them”. Tidaklah kita kira sangat siapakah us dan siapa pula them, tetapi perlawanan yang sengit dan antagonistik antara sesama kita amat menyedihkan dan perlu dihentikan.

Sajak Nota kepada Perpecahan elok dijadikan aforisme, iaitu dengan cara ditulis dalam bentuk poster. Dalam menyuarakan aforisme, kita ambil sebahagian sajak tersebut. Bahagian akhir ini sudah cukup baik untuk peringatan:  Duhai engkau yang bernama perpecahan/ kembalilah menyatu membahu/ dalam jabat emas perakuan/ atas nama persahabatan.

Rakyat Malaysia berupaya untuk bersahabat baik. Pertentangan pelajar dengan pentadbir di Universiti Malaya baru-baru ini ialah perulangan peristiwa tahun 1974, dan itu mungkin akan membawa peristiwa lain yang ada iras-iras sama. Tokoh penentang utama dalam tahun 1974 menyertai Umno dalam tahun 1982, kemudian dikeluarkan dari Umno dalam tahun 1998.

Itu ialah pola, dan adakah pola itu akan diikuti? Bacalah sejarah kegiatan Anwar Ibrahim dan Ibrahim Ali.

Jika kita mahu melihat segala-galanya secara positif, kita fikirkan pola. Berfikirlah dalam keadaan tenang, jangan cemas dan jangan terlalu garang. Berlainan tidak mengapa, tetapi janganlah menuju ke arah perpecahan. Fahamilah bahawa politik sejati itu mesra.

*Datuk Rahman Shaari ialah penerima Sea Write Award pada tahun 2007, dan penerima Anugerah Penyair Gapena 2013. Beliau ialah mantan profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya.