Nasihat demi kemaslahatan umat - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Nasihat demi kemaslahatan umat

ISLAM memberikan perhatian yang serius dalam hal nasihat-menasihati, termasuk nasihat untuk pemimpin. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Agama adalah nasihat.” Para sahabat bertanya, “Untuk siapa?” Baginda menjawab, “Untuk ALLAH, kitab-Nya, Rasul-Nya, para pemimpin kaum Muslimin, dan untuk seluruh umat Islam.” (Riwayat Muslim dan Nasa’i).

Hal ini menunjukkan pentingnya memberi nasihat kepada para pemimpin demi kemaslahatan umat (rakyat) dan termasuk amalan yang mulia, bahkan termasuk jihad fi sabilillah. (Riwayat Ahmad).

Memberi nasihat kepada pemimpin sebagaimana dijelaskan Imam Nawawi, bererti menolong pemimpin dalam menjalankan kebenaran, mentaatinya dalam kebaikan, mengingatkannya dengan lemah-lembut atas kesalahan yang diperbuatnya, mengingatkan kelalaiannya atas hak-hak kaum Muslimin, tidak memberontaknya, dan membantunya dalam menciptakan stabiliti negara.

Dalam perjalanan sejarah, para ulama dan pemimpin Islam telah memberikan teladan yang baik dalam memberi nasihat kepada pemimpin. Seperti nasihat yang pernah dilakukan oleh Ali bin Ali Talib kepada Gabnor Mesir, Malik bin Harith al-Asytar.

Berikut nasihatnya, “Ketahuilah wahai Malik, aku telah mengangkatmu menjadi seorang gabenor dari sebuah negeri yang dalam sejarahnya berpengalaman dengan pemerintahan yang baik dan buruk. Sesungguhnya orang-orang akan melihat segala urusanmu, sebagaimana engkau dahulu urusan para pemimpin sebelummu. Rakyat akan mengawasimu sebagaimana engkau mengawasi pemerintahan sebelumnya.”

“Mereka akan berbicara tentangmu, sebagaimana engkau berbicara tentang mereka. Sesungguhnya rakyat akan berkata yang baik-baik tentang urusan mereka yang berbuat baik kepadanya. Mereka akan menyembunyikan semua bukti daripada tindakanmu.

Kerana itu, harta terbesar akan engkau peroleh jika engkau dapat menghimpun harta daripada perbuatan baikmu. Jagalah keinginan agar selalu di bawah kendali dan jauhkan dirimu dari hal-hal yang terlarang. Dengan sikap waspada, engkau akan mampu membuat keputusan di antara sesuatu yang baik atau tidak baik untuk rakyatmu."

“Kembangkan kasih sayang dan sayangilah rakyatmu dengan lemah-lembut. Jadikanlah itu sebagai sumber kebijakan dan berkat bagi mereka. Jangan bersikap kasar dan jangan memiliki sesuatu yang menjadi milik dan hak mereka.”

“Mereka adalah makhluk yang lemah, bahkan kadang-kadang melakukan kesalahan. Maka berikanlah ampunan dan maafmu sebagaimana engkau memohon ampunan dan maaf dari ALLAH.

Sesungguhnya engkau berada di atas mereka dan urusan mereka ada di pundakmu. Sedangkan ALLAH berada di atas orang yang mengangkatmu. ALLAH telah menyerahkan urusan mereka kepadamu dan menguji dirimu dengan urusan mereka.”

Manakala nasihat Imam Ghazali kepada pemimpin bangsa: “Sesungguhnya kerosakan rakyat disebabkan oleh kerosakan para penguasanya, dan kerosakan penguasa disebabkan kerosakan ulama, dan kerosakan ulama disebabkan oleh kerosakan cinta harta dan kedudukan, dan barang siapa dikuasai oleh cinta duniawi ia tidak akan mampu mengurus rakyat, apa lagi penguasanya ALLAH sebagai tempat meminta segala persoalan.” (Ihya’ Ulumuddin, juz 11, hal. 381).

Usaha-usaha perbaikan politik yang dilakukan Imam Ghazali dengan menerapkan amar makruf nahi munkar kepada ulama sekali gus kepada penguasa (pemimpin negara). Al-Ghazali pun telah menunjukkan dirinya sebagai ulama yang memiliki fikiran cemerlang, yang disegani dan diterima oleh para pejabat negara serta para ulama pada zamannya.

Kepada pemimpin negara, ia memberi nasihat bagaimana cara suatu sistem kenegaraan yang mempertimbangkan adab untuk kemaslahatan bersama, dengan pemimpin yang mempunyai integriti tinggi didukung dengan kekuatan syariah.

Semoga ALLAH SWT menanamkan sifat keberanian (asy-syaja’ah) kepada masyarakat untuk menyampaikan nasihat secara hikmah kepada siapa sahaja, termasuk kepada para pemimpin dan ulama tatkala melakukan kekhilafan dan penyelewengan sebagai tanggungjawab rakyat kepada mereka (pemimpin).

* Ini adalah pendapat peribadi penulis yang dipetik dari blog beliau sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Sinar Harian Online.

0 Komentar untuk " Nasihat demi kemaslahatan umat "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ