UNTUK sekian lama sejak MAS ditubuhkan pada 1971, kebanyakan penerbangan saya ke luar negara adalah dengan menaiki kapal terbang milik rakyat ini.

Rasa kesetiaan dan mesra dilayani mereka yang tahu budaya sendiri, juga pilihan makanan yang dinikmati beberapa kali sebelum tiba ke destinasi, menjadikan penerbangannya enak di mata dan di hati.

Era pengemasan MAS bermula dengan Tan Sri Huat Lai menjadi CEO dan berterusan di bawah Tan Sri Abdul Aziz Rahman. Menurunnya reputasi MAS, di satu pihak, dan terlepasnya pemilikannya ke dalam tangan swasta, lebih tepat disebut individu, menyaksikan nasib syarikat penerbangan rakyat ini bertambah buruk secara mendadak.

Langkah yang membuatkan MAS hanya menjalankan bisnes penerbangan sedangkan pemilik kapal terbang terdiri daripada pihak lain juga tidak berdaya menghembuskan nafas baru. Langkah accounting ini dipanggil kosmetik atau hiasan sahaja.

Pemilik membeli kapal terbang, menanggung kosnya, sedangkan MAS menyewa daripada pemiliknya, dan menanggung kos sendiri. Kedua-duanya dipanggil profit centre atau ‘pusat keuntungan’. Sebenarnya ia pusat keuntungan dan kerugian. Apa yang terbukti berlaku ialah kedua-duanya menjadi pusat kerugian...

Bukan itu saja, urutan selanjutnya menyaksikan pula pengurusan baharu MAS memilih jalan senang dalam penjanaan wang: menjual bangunan dan harta benda (aset) yang sudah terkumpul berpuluh tahun. Walaupun ia satu alternatif untuk menggembleng wang ke dalam tabungan syarikat, namun ia bukan sesuatu luar biasa.

Bercakap tentang ‘wau kucing’ ini, saya terjumpa Tan Sri Aziz (penama di atas) di lobi Menara 1 KLCC beberapa hari lepas. Aziz beritahu beliau baharu berjumpa Tun Dr Mahathir berkenaan MAS. Perinciannya tidak saya ketahui.

Saya tidak tahu pada hari itu juga MAS mengadakan EGM atau Mesyuarat Agung Tergempar, di bawah kelolaan pemegang syer terbesar, Khazanah Nasional Berhad, untuk MAS dikeluarkan dari senarai syarikat awam di Bursa Malaysia.

Sebagai reaksi biasa di mana-mana saja baik di New York, London, Tokyo, Frankfurt atau Hong Kong, orang akan bertanya apa yang akan terjadi. Soal siapa bakal pembeli dan bagaimana pula struktur pengurusan dan lembaga pengarah.

Lazimnya di Malaysia, apabila berlaku kejadian yang menggugat imaginasi rakyat yang sebegini rupa, akan timbullah senario di mana golongan ‘peramas angka’ (number crunchers) menjadi pemain-pemain utama dengan menggunakan bahasa angka yang hanya boleh difahami mereka.

Dua tahun dahulu saya berkesempatan mengikuti perdebatan antara Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin dengan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli di Karangkraf di Shah Alam. Walaupun sukar untuk memilih siapa pemenang dalam perdebatan itu, nyata sekali kedua-duanya menampilkan bakat komunikasi politik yang tinggi. Namun begitu, satu hujah yang berbentuk global daripada Khairy adalah amat lantang.

"Rafizi bercakap sebagai akauntan. Tetapi kita mesti ingat bahawa akauntanlah yang banyak meranapkan kompeni-kompeni besar.”

Khairy dipercayai banyak mengikuti perkembangan di Amerika Syarikat di mana akauntan yang menjadi CEO meruntuhkan firma-firma gergasi. Selalunya rahsia terbuka lama selepas penipuan bermula.

Dengan menggunakan temasya dan ramasan angka, CEO-CEO yang terdiri daripada akauntan menyorok angka yang boleh menjadi informasi buruk. Perbuatan begitu diulang bertahun-tahun sehingga akhirnya tidak dapat ditutupkan lagi, lalu meletup sebagai skandal.

Dengan berilhamkan skandal begini, filem-filem seperti Wall Street dan The Wolf of Wall Street mencapai rekod box-office. (Wall Street ialah nama jalan di New York di mana terletaknya Bursa New York).

Jika Ketua Pemuda Umno sudah melahirkan keraguannya terhadap akauntan yang begitu banyak bilangannya mengerjakan wang rakyat di firma awam dan private, maka sesuailah bagi beliau melakukan sesuatu supaya kemungkinan buruk seperti yang berlaku di AS (negara kapitalis nombor satu dunia yang kita teladani) dapat dielakkan. Sebenarnya ia sudah lama berlaku, tetapi tidak digembar-gemburkan seperti di AS.

Adalah relevan disebutkan bahawa ramai CEO terdahulu yang besar dan berjaya terdiri daripada bukan akauntan, seperti Tan Sri Rashdan Baba (lulusan pertanian), Tan Sri Jamaludin, TNB (jurutera), Tan Sri Farouk, Datuk Malek Marikan dan Datuk Abdul Rahman Hamidon selain daripada dua bekas CEO MAS yang disebutkan di atas.


* Tan Sri Adam A. Kadir ialah bekas Presiden Senat