Anak muda itu, Datuk Abdul Malik Mydin yang kini berusia 39 tahun menjadi rakyat Malaysia dan Asia Tenggara pertama berjaya mengharungi selat yang memisahkan England dari negara Eropah lain.
Beliau merupakan antara rakyat Malaysia terawal yang meniupkan semangat 'Malaysia Boleh’ dengan melakukan perkara yang sebelum ini dianggap mustahil oleh penduduk negara ini.
Pencapaian Malik dan wira-wira negara lain seperti M. Magendran dan N. Mohandas yang berjaya sampai ke puncak Gunung Everest serta Datuk Azhar Mansor yang belayar mengelilingi dunia secara solo telah memberikan inspirasi dan keyakinan kepada rakyat Malaysia untuk mencipta pelbagai kejayaan lain selepas itu.
Namun, tidak ramai yang mengetahui bagaimana minat Malik untuk menjadi perenang selat boleh tercetus. Sebenarnya, beliau sudah memasang impian itu sejak kecil lagi.
Menurut Malik, ketika beliau berusia enam tahun, seorang penduduk kampungnya telah berenang dari Batu Maung ke Butterworth untuk mengutip dana bagi sebuah sekolah Cina di Butterworth pada 1981.
“Apa yang mengagumkan saya, dia cuma seorang nelayan. Dia dianggap sebagai seorang legenda di kampung saya sebab namanya ada dalam buku sejarah. Lelaki itu yang telah memberikan saya inspirasi.
“Semasa kecil, saya berazam untuk berenang merentasi Selat Pulau Pinang suatu hari nanti dan selepas berhenti daripada sukan lumba basikal, baru saya dapat lakukannya pada 1999,” katanya ketika ditemui di pejabat beliau di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut Malik, beliau tidak pernah terfikir untuk berenang merentasi Selat Inggeris pun kerana impiannya hanya berenang di Selat Pulau Pinang. Selepas menawan Selat Pulau Pinang, Ketua UMNO Bahagian Bagan, Datuk Abdul Latif Mirasa bertanya apa rancangannya selepas itu dalam satu karnival di Bagan.
“Saya kata hendak berenang di Selat Inggeris tetapi saya sendiri tidak tahu Selat Inggeris macam mana pada masa itu. Datuk Latif terus umum kata saya hendak berenang di Selat Inggeris.
“Apabila beliau sudah umum dan Perdana Menteri pada masa itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad pun sudah sokong, saya kena laksanakan cabaran itu dan tidak boleh tarik balik. Saya harus berterima kasih kepada Datuk Latiff kerana dia yang umumkan perkara ini,” ujarnya.
Walaupun berjaya menawan Selat Inggeris yang menjadi impian semua perenang jarak jauh dunia, Malik sebenarnya tidak pernah mengikuti sebarang latihan renang secara formal sehinggalah beliau mengumumkan mahu menyeberangi selat itu.
Komitmen
Sebelum itu, memang Malik pandai berenang tetapi sekadar berenang gaya kampung atau cara 'koboi’ sahaja. Sebagai budak kampung yang membesar di kawasan berdekatan laut dan menjadikan pantai sebagai tempat bermain, sudah sewajibnya perlu pandai berenang jika tidak mahu menjadi bahan ejekan rakan-rakan.
“Rumah saya terletak kira-kira 50 meter sahaja dari pantai. Itu tempat saya berenang. Budak kampung kalau tidak tahu berenang, teruklah,” katanya.
Malah, semasa melakukan renangan amal dari Padang Kota ke Butterworth untuk mengutip dana bagi Tabung Kosovo pada 1999, Malik berenang gaya kampung sahaja dan hanya berbekalkan stamina sebagai bekas pelumba basikal negara.
Semasa hendak memulakan renangan itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ketika itu, Datuk Seri Yahaya Abdul Hamid terkejut apabila diberitahu beliau tidak berlatih berenang tetapi hanya berjoging.
Dari situ, Malik mula mendapatkan latihan renang daripada jurulatih pertamanya dari Afrika Selatan, Dr. H.S Liberberg yang membawa beliau berlatih berenang di sebuah kolam renang di Alor Setar, Kedah. “Dia terkejut tengok cara saya berenang. Dia cakap saya berenang macam kura-kura,” kata Malik.
Jurulatih yang banyak melatih dan memperbetulkan teknik renang Malik ialah John Van Wisse yang merupakan jaguh renang marathon dari Australia. Van Wisse telah melatih 14 perenang merentasi Selat Inggeris termasuk Malik.
Pada 3 Ogos 2003, Malik mencipta sejarah untuk negara dengan menawan Selat Inggeris. Walaupun berhadapan suhu air sejuk antara 16 dan 18 darjah Celsius serta ombak setinggi hingga dua meter, Malik berjaya mengharungi cabaran itu dalam masa 17 jam 42 minit.
Sebelum merentasi selat itu, Malik membuktikan beliau seorang perenang jarak jauh laut terbuka yang hebat dengan mengharungi beberapa renangan jarak jauh. Ini termasuk berenang sejauh 11 kilometer membawa obor Sukan SEA Ke-21 dari Jeti Bukit Tambun ke Pulau Aman, Pulau Pinang pada Mei 2001, berenang pergi balik dari Bagan Ajam, Butterworth ke Padang Kota, pertandingan merentasi Tasik Zurich di Switzerland sejauh 26.4 kilometer pada 4 Ogos 2002 dan merentasi Selat Langkawi sejauh 48 kilometer pada 25 Mei 2003.
Apa yang dilakukan oleh Malik tidak mungkin dapat dicapai sekiranya tidak ada komitmen dan keazaman yang kuat. “Bukan senang untuk berjaya. Kita akan lalui banyak kegagalan. Malah, saya sendiri ambil masa lebih dua tahun untuk yakinkan Tun Mahathir bahawa saya boleh merentasi Selat Inggeris,” kata Malik.
Bekas pemenang pingat emas dalam sukan lumba basikal di Sukan Malaysia 1994 dan 1996 itu kini menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Human Voyage (M) Sdn. Bhd. yang menganjurkan Kejohanan Cabaran Basikal Bukit Antarabangsa Langkawi (LIMBC) sejak 2010.
Harapan Malik kini ialah menjadikan Malaysia sebagai pusat latihan sukan lumba basikal dunia dan mengangkat taraf kejohanan berbasikal di negara ini ke tahap lebih tinggi, setanding dengan Tour de France satu hari nanti.