Kepimpinan Islam Dan Musyawarah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kepimpinan Islam Dan Musyawarah


"  Kecelaruan dan kepincangan kehidupan di dunia kini semakin parah. Keadaan masyarakat kini berada dalam keadaan terumbang – ambing. Tambahan lagi apabila runtuhnya institusi agama, kelemahan para ulama, dan hilangnya kepimpinan islam di muka bumi ini. Natijahnya, perkara ini mengundang kepada kerosakan yang mengheret umat islam kea rah lembah kehancuran. Hal ini juga mengakibatkan politik, ekonomi, dan sosial menjadi tidak stabil. Dari sudut politik, kita lihat betapa ramainya pimpinan yang mengamalkan penyelewengan dan rasuah serta berfoya – foya dengan duniawi.

Dalam ekonomi pula, amalan riba’ seolah – olah menjadi syarat wajib kepada sesebuah perniagaan dan bisnes. Dalam sudut sosial, kes jenayah semakin berleluasa seterusnya mengugat keselamatan hidup masyarakat, apatah lagi bilamana Kanun Jenayah Syariah tidak dilaksanakan. Oleh itu, musuh- musuh islam telah mengintai peluang ini dan terus mengatur strategi untuk menjatuhkan Islam. Namun kita harus bersyukur kerana masih wujud golongan ulama dan agamawan yang mempertahankan dan memperjuangkan syiar islam.

Permasalahannya, mereka ini sering ditolak dan dihina oleh masyarakat. Meskipun mereka membawa perkara yang hak namun akibat kejahilan masyarakat dan keseronokan duniawi golongan yang batil terus dipuja dan disanjung tinggi. Oleh kerana itu, golongan agamawan dan para ulama berusaha untuk mengembalikan kepimpinan Islam walaupun di sana penuh dengan mehnah dan tribulasi yang harus ditempuh. Mereka ingin mengulang kembali sejarah kegemilangan Islam suatu ketika dahulu yang mana Islam Berjaya menguasai ¾ dunia selama 800 tahun.

Sejarah ini perlu diselami oleh seluruh lapisan masyarakat supaya mereka sedar bagaimana keadaan Islam masa kini. Era kepimpinan Islam telah bermula sejak 1400 tahun dahulu, iaitu pada zaman Nabi Muhammad S.A.W. Ketika itu baginda dilantik menjadi Ketua Negara Madinah dan membina Negara tersebut berpaksikan Al – Quran dan Sunnah serta sistem kepimpinan Islam yang syumul.

Pertamanya, Rasulullah S.A.W. menggubal perlembagaan Madinah berteraskan keadilan dan keharmonian. Antara isi kandungannya ialah Islam adalah agama rasmi, orang bukan Islam boleh mengamalkan agama masing – masing, semua penduduk mesti mempertahankan negara Madinah, dan sebagainya.

Akhirnya, kesatuan ummah berjaya dibentuk baginda meskipun sebelum ini masyarakat arab terkenal dengan sentimen kabilah dan suku serta sifat assobiyah yang begitu tinggi. Keamanan dan keharmonian terus dinikmati oleh umat Islam hasil kepimpinan Islam yang diperkenalkan oleh Rasulullah S.A.W. Seterusnya, era kepimpinan ini diteruskan oleh Sayidina Abu Bakar As – Siddiq setelah kewafatan Rasulullah S.A.W. Kewibawaan Sayidina Abu Bakar dalam kepimpinan berjaya menyekat gerakan Al – Riddah, golongan yang enggan membayar zakat, dan nabi palsu.

Kemudian beliau juga mengumpulkan Al – Quran setelah ramai para huffaz syahid di medan perang. Selain itu, beliau juga berjaya meluaskna pengaruh Islam hingga ke Rom dan Parsi. Selepas itu, empayar Islam diperkukuhkan lagi pada zaman Saiyidina Umar Al – Khattab. Ketika itu kerajaan Islam di bawah pimpinan beliau berjaya membebaskan Baitulmaqdis di Palestin dan meluaskan lagi pengaruh Islam.

Kemudian, buat pertama kalinya kerajaan Islam menubuhkan system jabatan seperti Institut Baitulmal, Jabatan Polis, dan sebagainya. Sistem yang diperkenalkan oleh Saiyidina Umar ini memperkemaskan dan memajukan lagi kedaulatan Islam itu sendiri. Oleh itu, tidak asing lah mengapa beliau digelar ‘Amirul Mukminin’. Kemudian kepimpinan beralih ke tangan Sayidina Uthman Al – Affan.

Beliau terus mempertahankan sistem ketenteraan dengan membentuk tentera Armada. Buat julung kalinya Islam mempunyai barisan tentera laut pada zaman itu. Antara sumbangan terbesar beliau ialah pengumpulan Al – Quran dalam bentuk mashaf. Sterusnya, kegemilangan Islam terus menyinar di mata dunia di bawah pimpinan Sayidina Ali bin Abi Talib. Rentetan daripada sejarah di atas kita dapat lihat bahawa gemilangnya Islam dengan kepimpinanya serta segala kebajikan dan kemaslahatan umat Islam terjamin. Ini membuktikan bahawa kepimpinan Islam adalah satu sistem yang diberkati dan dirahmati Allah.

Namun begitu, antara asas yang membawa kepada kesatuan dan kegemilangan dalam kepimpinan Islam adalah musyawarah. Ia adalah amalan sunnah Rasulullah S.A.W. Musyawarah berkumpul untuk membincangkan atau menyelesaikan sesuatu masalah yang tiada atau tidak jelas dalam nas termasuk hal – hal duniawi. Kata Sayidina Umar Al – Khattab r.a “ Aku tidak pernah melihat manusia yang paling suka bermesyuarat dengan sahabat –sahabatnya sebagaimana Nabi Muhammad S.A.W.

Contohnya, ketika Rasulullah S.A.W. menguruskan tawanan perang Badar dengan musyawarah. Sayidina Umar mencadangkan agar dibunuh semua tawanan itu. Adapun Sayidina Abu Bakar mencadangkan mana – mana tawanan yang ada harta benda dan kekayaan di bumi Mekah mereka boleh tebus dengan kekayaan mereka. Namun bagi mereka yang tidak mempunyai harta tetapi mempunyai ilmu, mereka harus mengajar 10 orang kanak – kanak Madinah bagi setiap orang sehingga pandai membaca dan menulis. Selain itu, sebelum perang Uhud Rasulullah S.A.W. bermusyawarah dengan ahli – ahlinya terlebih dahulu.

Nabi mencadangkan agar bertahan di dalam kota Madinah tetapi golongan pemuda mencadangakan agar berperang di luar Madinah dan nabi menerima cadangan tersebut. Selain itu, sebelum perang Khandak Nabi Muhammad S.A.W. bermusyawarah dengan para sahabat mengenai strategi peperangan. Pelbagai cadangan yang dikemukakan tetapi nabi memilih cadangan Salman Al – Farisi agar menggali parit di sekeliling Madinah. Kemudian perlantikan Sayidina Abu Bakar menjadi khalifah juga melalui sisitem musyawarah.

Di sini saya akan nyakatan mengapa system musyawarah difokukan sedangkan banyak lagi system kepimpinan Islam yang lain seperti Kanun Jenayah, Konsep Berkebajikan, Al – Quran, As – Sunnah, dan lain –lain. Ini adalah kerana musyawarah adalah satu jalan yang paling terbaik untuk kita membuat keputusan, menyatukan fikrah, menguji kesetiaan pada jemaah, dan sebagainya.

Sebenarnya sistem musyawarah ini adalah tempat kita bertukar – tukar pandangan, berbeza pendapat dan pada akhirnya akan mendapat kata putus atau keputusan yang dipersetujui dan boleh diterima semua pihak. Namun begitu, etika – etika musyawarah perlu dijaga dan dipatuhi.

Antaranya, mesti meraikan pendapat orang lain, jangan merasakan pendapat kita sahaja yang betul, mengakui kelebihan orang lain, dan sebagainya. Seterusnya, apabila keputusan dalam musyawarah telah disepakati janganlah kita memprotes di belakang mesyuarat malah patuhi keputusan itu kerana ada hikmah di sebalik musyawatah yang dilakukan.

Justeru itu, kepimpinan Islam dan musyawarah tidak dapat dipisahkan kerana ia diperlukan dalam membuat sesuatu keputusan. Walaupun musyawarah adalah kuasa tertinggi sesuatu organisasi, namun tidak dinafikan kuasa seorang Ketua, Amir, Presiden boleh membuat keputusan sendiri atau ijtihad pada sesuatu masa tertentu. Oleh itu, jalan musyawarah mesti dilakukan mengikut landasan yang benar kerana musyawarah yang diberkati Allah pasti membuahkan keputusan yang tidak menyeleweng daripada agama. والله أعلم "

Related Post

0 Komentar untuk " Kepimpinan Islam Dan Musyawarah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ